Friday, 9 January 2015

Aku dan Al Quran

Sungguh, hati ini sunyi. Cuti sudah berlalu hampir 3 minggu. Namun, kurasakan kosong diri ini. Cuti tidak dimanfaatkan pun untuk menambah pengetahuan, menambahkan amal, membasahkan hati, bekerja atau menulis pun. Masa banyak terbuang.


Alhamdulillah satu hari aku ditawarkan oleh seorang ukhti untuk sama-sama mengulang kembali hafalan al quran yang sudah banyak dilupakan. Dia menjadi sheikhoh yang akan memperbetulkan bacaan aku.

"Awak tak lancar ni. Jadi, awak kene ulang hafalan ini dalam solat sunat awak sebanyak 5 kali."
"Awak tak lancar juzuk ni, jadi awak kene baca juzuk ni dalam qiyam awak esok."

Macam-macam denda yang dikenakan. Baru aku tahu ini kehidupan orang yang menghafal al quran. Patutlah selama ini hafalan aku tidak lekat di ingatan lama. Itu adalah kerana aku tidak mengulang dengan bersungguh-sungguh.

Sampai satu masa aku perlu habiskan hafalan juzuk 29 pada petang itu. Aku pada mulanya sangat yakin dengan hafalan juzuk ini. Jadi aku lambat-lambatkan mengulangnya. Tiba-tiba hanya 5 jam lagi sebelum tasmi3. Aku kelam kabut membuka al quran dan menghafalnya. Aku tersekat di surah Jinn. Susah untuk menghafalnya. Hampir 2 jam aku menghabiskan masa untuk menghafalnya. Macam mana dengan baki surah yang masih belum terhafal.

Aku stress, aku jadi tertekan dengan hafalan ini. Aku seperti tidak dapat accomplish tugas hari ini. Aku tidak tahu apa perlu dilakukan tapi aku tak mampu. Aku penat, aku tahu mustahil aku dapat habiskan semua hafalan sebelum tasmi3.

Aku terduduk di sofa rumah. Mereka sedang solat berjemaah. Aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar sambil mendengar bacaan solat imam.

Sedap imam mengalunkan surah al qiyamah, sampailah tiba di satu ayat;

" Janganlah engkau (wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);"

(al qiyamah:16-17)

Air mata menitis. Allah sedang berbicara denganku, sedang memujukku. Entah kenapa hati ini terlalu sebak, dirasakan sudah lama tidak berhubung dengan Allah. Allah sentiasa ada bersama kita, cuma kita manusia selalu lupa. 

Mungkin ini kenangan termanis untuk cuti kali ini. Segala puji bagi Allah yang memaniskan hidup ini dengan cintaNya.



Jika hamba-Ku mendekati-Ku satu jengkal 
maka Aku akan mendekatinya satu hasta, 
dan jika dia mendekati-Ku satu hasta
 Aku akan mendekatinya satu depa. 
Jika dia datang pada-Ku dengan berjalan maka 
Aku akan mendatanginya dengan berlari .

(HR. Bukhari - Hadits Qudsi)

No comments:

Post a Comment