Lagi dua hari nak raya!! Seronoknya!! (ni situasi waktu jahiliyah dulu. sepatutnya sedih kan kerana ramadhan berlalu pergi)
Kak Nin, Abang Zul, K Epah dah balik. Yang lain balik malam raya, insyaAllah.
Tapi kan, Abang Ami sepatutnya dah sampai ni. Dia bertolak dua hari lalu. Pelik sangat ni kalau tak sampai lagi.
Tiba-tiba kedengaran deringan telefon. Mak angkat dan tiba-tiba mak lepas gagang telefon tu. Kenapa?
Mak kata itu panggilan dari hospital. Mak kelihatan takut dan menangis. Abah menyambut gagang itu. Abah kelihatan tenang.
Abang Ami dilaporkan menghadapi kemalangan motor dua hari lalu di Ipoh dan Alhamdulillah sekarang dilaporkan sudah stabil. Khabar ini lewat sampai kerana dia tidak sedarkan diri sebelum ini dan dompetnya telah dicuri sewaktu kemalangan menyebabkan tiada pengenalan diri.
Rahangnya patah, kaki dan tangan pun sama berbalut. Raya tanpa dapat menikmati juadah raya.
Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia hingga bertemu Ramadhan yang seterusnya. Moga semakin bertambah usia semakin bertambah amal abang seorang ni.
5 tahun kemudian..
Malam ni sudah masuk Ramadhan ke 19. Masih lagi di sekolah menghadapi trial spm. Paper Maths esok. Rindu rumah sangat-sangat. Entah kenapa kali ini rindunya lain.
Mungkin juga dek stress. Atau mungkin disebabkan dimarahi cikgu tadi. Atau mungkin disebabkan satu-satunya mug pecah tengah hari tadi.
Tiba-tiba kakak saudara datang. Pelik tapi aku tersenyum gembira kerana kedatangannya. Mungkin ingin melawat singgah sebentar kerana dia belajar di university berdekatan.
Namun, lain yang difikir, lain yang terjadi. Dia membawa khabar sedih. Katanya, abahku sudah tiada. Kemalangan di kampung siang hari tadi.
Aku terkejut. Berita ini terlalu ... entah la. Aku seakan tidak dapat menerima. Tiada tangisan. Pelikk. Namun, kaki tidak mampu lagi berpinjak di bumi. Dia, kawan baikku menyambut aku di sisi.
Mereka menyuruh aku berkemas pulang. Kenapa perlu berkemas? Aku pelik. Namun, aku terus menuruti. Lantas, aku seperti tersedar.
Nura, abah dah takde. Sedarlah!! Ketika itu juga air mata deras mengalir. Hati tak habis-habis berbisik, "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha. Nura, beriman lah dengan ayat ini. Allah tak akan uji kau kecuali apa yang engkau mampu je."
Bacaan al quran dialunkan di dalam kereta. Alhamdulillah tenang. Mahu tidur berharap agar semuanya mimpi. Terjaga apabila sudah berada di hadapan rumah. Banyak kereta. Diri berfikir, kenapa terlalu ramai orang ini. Lantas tersedar, ini semua bukanlah mimpi. Hadapi reality, nura..
Sekali lagi, kaki terasa longlai. Kelihatan orang-orang tersayang menangis. Kelihatan tubuh yang diselimuti kain putih. Ketika ini, hanya Allah yang boleh bantu kuatkan diri.
Jenazah akan dikebumikan esok pagi. Bersahur tanpa sedikitpun rasa. Semua berjaga menghabiskan bacaan al Quran untuk abah.
Jenazah abah dibawa pergi. Hati hiba. Namun, apakan daya. Semua kan pinjamanNya. Tapi, berharap dengan keizinan dan rahmatNya semoga bertemu kembali di sana.
Cikgu-cikgu datang bersama rombongan pelajar. Dari jauh mereka datang hingga ke corok kampung sekolah arab ni. Mereka menghadiahkan tahlil. Ramai sangat orang datang. Abah baik orangnyaa.
Bajunya masih bergantung dan bau abah pun masih ada. Seakan keluar sebentar sahaja.
Kereta abah dilanggar lori ketika abah hendak ke pekan beli juadah berbuka. Katanya, kemalangan teruk tapi Allah pelihara sangat. Rupa abah masih bersih dan tenang ketika dikafankan. Abah baru selesai mengazankan dan mengimamkan solat asar di masjid. Dan abah baru sahaja balik dari menunaikan umrah.
Semua menceritakan kebaikan abah. Hati terubat dan kesedihan semakin hilang. Memang Allah lebih sayangkan abah. Tentu abah sudah berbahagia di sana. Tentu abah sudah selesai tanggungjawabnya di muka bumi ini. Kami saksi dia abah yang soleh dan baik dan taat perintah Allah.
Surat khabar keluar berita tentang kemalangan itu. Baik-baik sahaja tulisannya. Walaupun diri tak mampu membaca namun tajuknya menyejukkan hati.
Sambung persekolahan dan peperiksaan. Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Abah, akak dapat straight A's. Mesti abah bangga kan. Abah, akak ambil doctor. Best kalau dapat cerita kat abah. Takpe2 kat syurga boleh bercerita panjang, insyaAllah.
Antara cerita ramadhan yang masih terakam di minda.
Ramadhan bulan ketabahan, kesabaran dan kesyukuran.
Bulan diampukan dosa dan dibuka pintu syurga. Mari kita berdoa bersama. Moga dengan ujian yang sebenarnya merupakan kasih sayangNya ini, akan terus membuatkan hati-hati kita lebih rindu syurgaNya.
" Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita "
(al-insyiqaq:7-9)
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita "
(al-insyiqaq:7-9)
No comments:
Post a Comment