Sunday, 26 July 2015

HATI

Cantik pemandangan di luar tingkap sepanjang perjalanan balik dari jami'ah. Kehijauan rumput dihiasi dengan warna-warni bunga, ada yang berwarna putih, kuning dan ungu. Seketika ternampak sekumpulan arab ber'picnic' duduk di tengah-tengah kecantikan bunga itu. Macam dalam filem hindustan lagaknya.

Termenung seketika, beginilah yang dikatakan Allah menghidupkan bumi yang mati. Jika sebelum ini di musim panas, hanya kegersangan tanah yang kelihatan, namun kini kehijauan dan warna-warni bunga menjadi hiasan.

"Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)."
(al-ankabut:63)

Jika Allah mampu menghidupkan bumi setelah matinya, tentulah Allah juga mampu menghidupkan hati yang dirasakan kian mati ini. Bukankah Allah yang memegang hati ini?

Hati itu mudah berbolak-balik. Kerana itulah Nabi Muhammad sering berdoa yang bererti;
 
"Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu"

Kenapa pentingnya penjagaan hati?

Kerana hati itu raja; sedangkan tangan, kaki, mulut, segala-galanya bahkan akal sekalipun tenteranya. Bukankah Rasulullah saw bersabda yang maksudnya;

“Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah hati."

Dan kerana manusia yang akan bertemu Allah itu hanyalah hamba yang memiliki hati yang sejahtera.
Entah kenapa akhir-akhir ini pemandangan di luar tidak lagi memberi kesan di hati sebagaimana sebelum ini. Sepatutnya ciptaan-ciptaan Allah itu akan menambah ketakwaan bagi orang-orang yang berfikir. Kata seorang ukhti;

"Ayatullah itu bukan hanya pada al-quran bahkan ciptaan Allah di sekeliling kita. Jika kita hayati, maka akan bertambah ketakwaan, ketakutan dan kecintaan kita kepadaNya. Segala neraca pertimbangan kita akan terarah padaNya sahaja."

Surah ar-rum menampar-nampar telinga;

".. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang BERFIKIR."
".. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang BERPENGETAHUAN."
".. Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu MENDENGAR."
".. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan AKAL untuk memahamiNya."

Setiap hari surah ini dibaca di dalam mathurat. Ayat-ayat yang kira sangat menyentuh hati seorang muslim itu.

Namun, kenapa susah untuk dihayati al-Quran, dihayati penciptaan Allah sehingga semua itu menambahkan ketakutan, cinta dan pengharapan padaNya untuk melahirkan ibadah yang sebenarnya itu. Adakah kerana aku tidak cukup berfikir, tidak cukup mendengar, tidak cukup tahu atau tidak cukup menggunakan akal?

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai."
(al-a'raf:179)
 
Jawapannya di sini, kerana tidak menggunakan hati. Dan hati yang hidup itulah hati yang sensitif. Sensitif dengan kekuasaan Tuhan yang mencipta alam ini yang akan melahirkan kecintaan dan ketaatan. Dan menyebabkan seorang hamba itu berusaha sebaiknya untuk meninggalkan larangan dan menjauhi perkara-perkara syubhah kerana ditakuti akan terjantuh ke dalam kawasan larangan itu.
Halal dan haram itu jelas. Namun, perkara yang syubhah itu samar-samar. Hidup di era ini menjadikan kita banyak terjerumus dengan perkara syubhah.

Namun, hanya hati yang hidup itu mampu menjauhinya dan hanya hati yang sedaya upaya menjauhi syubhah itu akan dibantu Allah untuk kembali dan terus hidup.

" Saya harap usrah selepas ini akan mengesani hati saya yang kini kian dirasakan susah untuk menerima input ketika usrah. Jika dulu, keluar sahaja usrah saya mampu menangis memuhasabahkan diri dan ia amat mengesani hati dan amalan saya, namun kini perasaan indah itu kian pudar."

Dan moga permulaan ini akan menyediakan hati yang sentiasa berkehendakkan tarbiyah dari Allah itu. Percayalah, Alla tidak akan menghampakan hambaNya.
Saling mendoakan..
https://www.youtube.com/watch?v=WM4REBjDRyU
p/s:
-boleh baca lebih dalam kitab ulum wal hikam untuk huraian lebih tentang syubhah
-ayat-ayat indah berkaitan Allah menghidupkan bumi;
http://alquranalhadi.com/…/allah-menghidupkan-bumi-dengan-a…

No comments:

Post a Comment