Sunday, 26 July 2015

Jalan Cinta

Kini aku berada di hari terakhir bulan mulia ini.

 Langit dipandang sepi. Tiba-tiba terkenang semula. Tujuh tahun lalu..
Aku mendongak langit. Petang ini rasanya lain. Berbeza dari hari-hari sebelumnya. Sudah berbelas tahun menemui dan meninggalkan bulan mulia ini tanpa erti, tanpa menghayati keistimewaannya yang sangat agung.

...
Alhamdulillah, hari ni Allah bagi peluang untuk tahu. Eh, bukan! Untuk rasa dan hayati kerana tahu itu sudah lama.

Dalam usrah tadi, naqibah kata waktu Ramadhan pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Bayangkanlah, jika kita dapat lihat sendiri pintu-pintu langit itu dibuka, mesti tidak henti-henti kita berdoa untuk memohon rahmat dan kasih sayangNya dan syurga sebagai tempat kembali.
Aku berjalan pulang ke asrama pulang dari masjid; tempat liqa' usrah kami. Buat pertama kali rasa bahagia mengiringi membayangkan pintu langit terbuka untuk aku; hamba yang hina. Hati memohon supaya dikurniakan banyak lagi keindahan seperti ini. Keindahan mengenaliMu dan mendalami kalam-kalamMu.

Di usrah ini aku belajar membaca makna dalam al quran. Lantas, aku beli cepat-cepat terjemahan al quran comel yang dijual kakak itu. Kakak ajar bertadabbur, mengahafal ayat al quran, mendalami sirah. Dia memberi kitab sirah besar untuk kami dalami dan bentangkan.

Namun, tak lama bulatan gembira kami bertahan. Halangan menimpa dan kakak sudah tidak dibenarkan datang kembali ke sekolah kami.

Hati kembali menyepii. Kenapa di dalam kelas tidak seperti ini perasaanya? Bahkan bahannya sama atau mungkin lebih.

Aku rindu pertemuan itu. Dua tahun tanpa pertemuan indah itu lagi. Alhamdulillah, ada kesan-kesan yang ditinggal. Tadabbur al quran itu nikmat dan menghiasi tahun-tahun aku di situ.

Tiba di INTEC, aku diajak ke usrah. Pantas aku terima kerana aku terlalu rindu. Rindu pada perasaan-perasaan dulu yang kini kering. Moga Allah rahmati dan ganjari usaha kakak itu yang mula-mula mengenalkan kami dan memberi rasa keindahan berusrah itu. Kesungguhannya mentarbiyah hati-hati kami yang dahulunya seakan gersang, menghidupkannya dengan ayat-ayat Allah yang indah itu memang takkan dilupakan.

Allah mengatur hidup hamba-hambaNya dengan sebaiknya. Segala puji bagi Allah yang mengenalkan aku pada jalan ini; yang sangat aku cintai dan berharap akan terus ditempuhi hingga ke akhirnya untuk menggapai redhaMu. Jalan ini panjang dan tak senang pun, tapi sungguh makin lama makin cantik.

Sungguh, masa depanku sudah ada, Dia sudah tahu dan sudah rancang sebaiknya.
Moga Allah thabatkan dan tak pisahkan aku lagi dengan jalan indah ini kerana aku yakin ini jalan terbaik ke syurgaNya.

No comments:

Post a Comment