
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut.
Ayat 1 dari surah Al-Insaan. Sudah lama dihafal surah ini, hampir 8 tahun. Baru kini surah ini dapat dihayati apabila Allah beri peluang kami untuk mentadabbur bersama-sama di dalam liqa' usrah. Dan ayat pertama ini sangat menyentuh hati. Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan diri dari kegelapan kepada cahaya.
Mengikut bacaan dari Safwatut Tafasir, ayat ini bertujuan mengingatkan manusia kembali terhadap asal penciptaannya, bahawa dahulunya dia merupakan sesuatu yang tidak diketahui, dilupakan dan dia terlalu kecil sekecil kuman berasal dari tulang sulbi ayahnya, yang juga berasal dari air yang hina yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kewujudannya kecuali Dia yang ingin menciptakannya.
Ayat ini sangat menyentuh hati terutamanya bagi ana sebagai student medic. Bayangkan sahajalah dahulunya, ana ni sperm je. Apa itu sperm kan? Berasal dari tulang sulbi ayah (yang ni kita boleh cerita panjang nanti) dan yang paling penting, sperm ni kecil sangat. Dan ayah akan hasilkan banyak sperm, berjuta-juta. Dan salah satunya kita. Bayangkan betapa kecilnya kita. Selepas ini, dengan air mani itu sperm peroleh tenaga untuk berenang bertemu ovum; sebahagian dari diri kita dan akhirnya mulalah terbentuknya zygote, fetus dan akhirnya kita dilahirkan di bumi.
Pada permulaannya, kita sangat kecil, yang tidak diketahui pun kewujudannya. Mak ayah kita pun tak tahu yang kita akan lahir. Namun, Dia Tuhan Kita telah menjaga kita sejak mula kita lahir. Dia memenangkan kita untuk bersenyawa dengan ovum dan menjaga kita sepanjang di alam Rahim. Tiada cacat cela di badan kita sedangkan sebagaimana yang diketahui peratusan untuk cacat itu terlalu banyak. Namun, Dia menyelamatkan kita dan akhirnya kita dilahirkan sebagai insan yang sempurna.
Bagaimana pula dengan makanan kita. Dia memastikan dari awal penciptaan hingga ke dewasa, makanan kita tetap terjaga. Boleh baca kitab tauhid zindani.
Akhir ini, jiwa rasa kosong. Sudah banyak usaha namun tetap kosong. Malu ingin berkata, tetapi hingga diri terus putus asa. Namun, Allah sedarkan. Kenapa harus berputus asa terhadapNya. Sedangkan dari dulu Dia yang menjaga, Dia yang bersama. Di dalam setiap keadaan, Dia yang setia mendengar rintihan, Dia yang menunaikan segala permintaan. Dia yang mengeluarkan diri dari kesesatan dan kejahilan. Kenapa ingin berputus asa dariNya? Rahmatnya terlalu luas.
Itu satu ujian. Perasaan future itu ujian. Jika ujian orang lain hingga ditimpa musibah dan perlu kepada berjihad berperang melawan musuh. Ujian aku hanyalah melawan nafsu sendiri. Rupanya susah tetapi kan rahsia ujian itu adalah untuk hambaNya kembali mengadu tunduk padaNya. Ujian itu kan adalah untuk menyucikan dosa yang ada supaya satu masa nanti bertemuNya dalam keadaan suci. Maka, kenapa berpaling? Kenapa tidak memohon padaNya dengan rendah hati? Memohon ditetapkan dan ditingkatkan keimanan? Memohon dikuatkan untuk menghadapi segala.
Penyesalan diri itu satu kurnia. Alhamdulillah Allah sudi hadirkan rasa sakit apabila futur itu. Supaya kita sedaya upaya menyembuhkannya kembali. Terus usahaaa!! Moga Allah terus kuatkan mu dengan kata-katamu. Jangan berhenti kerana ini adalah satu bekalan untuk engkau bertemuNya.