Saturday, 13 December 2014

Pengajaran Dari Surah Al-Fil

Liqa' usrah kali ini, kami membincangkan surah al fil.

Tidakkah engkau lihat bagaimana Tuhanmu bertindak terhadap angkatan tentera bergajah ? (1) 
Tidakkah Dia jadikan rancangan jahat mereka berada dalam kesesatan? (2) 
Dan Dia telah melepaskan ke atas mereka burung-burung yang terbang berpasuk-pasukan? (3) 
Sambil melontar ke atas mereka batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; (4) 
Lalu Dia menjadikan mereka binasa seperti daun-daun yang dimakan ulat.(5) 

Berikut merupakan petikan daripada tafsir fi zilal mengenai cerita di sebalik surah itu.

Peristiwa bergajah ini sangat masyhur dalam kehidupan penduduk Semenanjung Tanah Arab yang berlaku sebelum kebangkitan Rasulullah saw (570 Masehi, abad ke 6) di mana tempoh di antara Tahun Gajah dan perutusan Rasulullah saw ialah selama 40 tahun.

Pada masa itu pemerintahan di Hijaz yang berpusat di kota Makkah adalah di dalam tangan Abdul Muttalib(datuk Nabi saw). Pemerintahan di Yaman pula dipegang oleh seorang Nasrani yang bernama Abrahah bin al-Sabbah al-Asyram. Ia adalah panglima perang dari Kerajaan Habsyi.

Abrahah telah membina sebuah gereja di Yaman atas nama Seri Maharaja Habsyah(al-Qullays). Gereja ini dihiasi indah dari peralatan yang indah dan menarik supaya perhatian orang-orang Arab dari Baitul-Haram di Makkah beralih ke gereja tersebut. Malah penduduk di Yaman sendiri telah memberi perhatian kepada Baitul-Haram.

Tetapi kaum-kaum Arab tidak berganjak. Mereka beranggapan dan bangga bahawa mereka adalah dari zuriat Ibrahim dan Ismail yang membina rumah suci itu. Mereka yakin bahawa kepercayaan mereka adalah lebih baik dari kepercayaan kaum Ahlil- Kitab yang berada disekeliling mereka. Orang Arab melihat kaum Ahlil-Kitab ini dilanda kucar-kacir dan keruntuhan.

Abrahah telah membuat keputusan untuk meruntuhkan Ka’bah supaya tumpuan orang Arab tidak lagi kepadanya. Beliau telah memimpin angkatan tentera yang ramai yang disertai dengan gajah-gajah. Ada riwayat menyatakan beribu-ribu jumlahnya. Ada barisan berkuda berperisai, ada berkenderaan unta dengan senjata tombak, kapak dan busur. Sebahagian besar daripadanya adalah barisan bergajah(ada meriwayatkan 9 atau 13 ekor) termasuk Abrahah menunggangi gajah. 60 000 orang tentera berjalan dibelakangnya. Mereka menuju serentak ke Hijaz.

Kemaraan mereka telah sampai ke pengetahuan orang-orang Arab dimerata tempat termasuk di Yaman. Seorang pembesar dari kaum bangsawan dan raja-raja Yaman bernama Zu Nafar telah bangkit dan menyeru kaum-kaumnya serta orang-orang Arab lainnya bangun menentang Abrahah demi mempertahankan Ka’bah. Seruan ini telah mendapat sambutan tetapi telah kalah dan menjadi tawanan Abrahah.

Nufayl ibn Habib al-Khath’ami juga bangkit memimpin dua kabilah Arab(Banu Khath’ami dan Banu Himyar) menentang Abrahah. Mereka juga kalah dan ditawan oleh Abrahah. Nufayl telah bersetuju menjadi pemandu jalan kepada Abrahah dalam perjalanannya ke negeri Arab itu.

Apabila angkatan Abrahah lalu di Ta’if, beberapa orang dari suku Tahaqif menemui Abrahah mengatakan Ka’bah tiada di situ tetapi di Makkah supaya Abrahah tidak mengganggu rumah suci mereka yang dibina untuk berhala al-Laata. Mereka telah menghantar penunjuk jalan bersama Abrahah.

Setelah sampai di Mughammas yang terletak di antara Ta’if dan Makkah, Abrahah telah menghantar seorang panglimanya ke Makkah. Panglima itu telah merampas dan membawa kehadapannya binatang ternak dan lain-lain kepunyaan kaum Quraisy di Tihamah termasuk 200 ekor unta milik Abdul Muttalib ibn Hasyim. Suku-suku Quraisy, Kinanah dan Huzayl dan penduduknya di Tanah Haram cuba melawan tetapi membatalkan niat mereka kerana tidak berupaya melawan tentera Abrahah.

Kemudian Abrahah menghantar utusannya ke Makkah untuk menemui ketua negeri itu supaya menyatakan kedatangannya bukanlah untuk memerangi penduduk Makkah, tetapi untuk merobohkan Ka’bah sahaja. Jika mereka tidak ingin berperang, hendaklah ketua mereka datang mengadap Abrahah.

Abdul Muttalib berkata kepada perutusan itu; “ Demi Allah, kami tidak mahu memeranginya. Kami tidak mempunyai kekuatan untuk berperang. Ka’bah ini ialah rumah Allah dan rumah kekasih-Nya Ibrahim a.s. Oleh itu, jika Allah mempertahankan rumah ini, maka itu memang rumah-Nya dan Tanah Haram-Nya, dan jika Allah membiarkanya untuk diroboh Abrahah, maka kami tidak punya kekuatan untuk mempertahankannya.” Lalu utusan itu keluar bersama Abdul Muttalib untuk menemui Abrahah.

Kata Ibn Ishaq, Abdul Muttalib adalah seorang yang sangat tampan, cantik dan hebat. Oleh itu sebaik sahaja Abrahah melihatnya, ia terus menyambutnya dengan penuh hormat. Tetapi oleh kerana beliau tidak suka dilihat oleh orang-orang Habsyah ia duduk bersama Abdul Muttalib di atas singgahsananya, lalu ia turun dan duduk di atas hamparan, kemudian mempersilakan Abdul Muttalib duduk di sampingnya. Beliau berkata kepada jurubahasanya; “ Awak tanya dia, apakah maksud kedatangannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “ Maksud kedatangan saya ialah untuk meminta tuan gabenor memulangkan kembali 200 ekor unta yang telah dirampasnya.”

Jurubahasa pun menyampaikan kepada Abrahah apa yang dinyatakan oleh Abdul Muttalib. Abrahah membalas; “ Katakan kepadanya, Beta mulanya amat memandang tinggi kepada awak, kemudian sekarang beta memandang rendah kepada awak apabila awak menyatakan maksud kedatangan awak untuk mengadap beta. Adakah wajar awak datang mengadap beta kerana hendak berunding dengan beta untuk meminta balik 200 ekor unta kepunyaan awak yang dirampas oleh beta itu, dan awak langsung tidak mahu berunding dengan beta tentang nasib rumah Ka’bah yang menjadi pegangan agama awak dan agama nenek moyang awak, sedangkan maksud kedatangan beta ialah untuk merobohkannya?”

Jawab Abdul Muttalib; “Saya ini hanya tuan punya unta-unta itu sahaja, sedangkan rumah Ka’bah ini ada tuan punyanya yang akan mempertahankannya.”

Sampuk Abrahah; “Ia tidak akan dapat menahani beta.”

Jawab Abdul Muttalib;“Tuan bebas berbuat apa yang tuan suka.” Lalu Abrahah pun memulangkan unta-untanya.

Abdul Muttalib pulang mendapatkan kaum Quraisy dan menceritakan kepada mereka apa yang telah berlaku. Ia menyuruh mereka keluar dari Kota Makkah dan berlindung di celah-celah bukit, kemudian beliau menuju ke Ka’bah dan memegang gelang pintunya, berdiri bersama sekumpulan orang Quraisy berdo’a kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya.

Ada riwayat menceritakan bahawa Abdul Muttalib telah berseloka:

Tuhanku! Hamba-Mu tiada kuasa
Kecuali mempertahankan rumahnya
Kerana itu, pertahankanlah rumah-Mu
Salib dan kekuatan mereka
Tidak akan dapat mengalahkan-Mu
Andainya Engkau hendak membiarkan mereka
Meruntuhkan kiblat kami
Maka urusan itu terserah kepada-Mu


Tentera bergajah mula menuju ke Makkah untuk meruntuhkan Ka’bah. Sebelum sampai, tiba-tiba gajah terduduk dan tidak mahu meneruskan perjalanan. Askar-askar Abrahah cuba memaksa gajah bangkit dan menghala ke Ka’bah tetapi gagal. Allah telah menahan gajah-gajah itu dari melanggar makkah. Allah telah melepaskan pasukan-pasukan burung yang melontar ke arah mereka anak-anak batu yang membinasakan mereka seperti daun-daun kering yang reput dan dimakan ulat. Abrahah turut menderita parah. Ia dibawa beserta dengan tenteranya keluar dari Makkah. Jari jemarinya gugur sebatang demi sebatang hingga sampai ke San’aa ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan jantungnya.

Selesai seorang dari kami membacakan kisah tentera bergajah abrahah ini. Sebelum ini, kami hanya mendengar kisah ini secara surface sahaja, namun hari ini Allah mengizinkan kami untuk mendalami surah ini.

Saya bertanya kepada adik-adik, "Agaknya orang-orang kafir Quraisy ni beriman atau tidak kepada Allah?"

Salah seorang menjawab, "Mereka ini macam beriman je akak, sebab mereka yakin yang Allah akan melindungi kaabah itu."

Seorang lagi menambah, "Betul la akak, dan tawakal mereka sangatlah tinggi."

Seorang bertanya, "Kiranya mereka percayalah pada Allah itu akak, tetapi kenapa mereka menyembah berhala?"

Saya menjawab, "Betul, mereka percaya Allah, sebab itulah nama anak Abdul Mutalib pun Abdullah kan. Tetapi mereka mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala-hala. Bagaimana mereka boleh tersesat dan menyembah berhala itu akan dihurai lebih lanjut pada liqa' akan datang melalui fiqh sirah dalam tajuk saki baki agama hanif."

Saya bertanya lagi, "Habis tu, betulke tindakan mereka membiarkan kaabah diruntuhkan oleh tentera abrahah itu? Betul ke tindakan Abu Talib yang hanya menyelamatkan untanya?"

Mereka berfikir lama, tiba-tiba seorang menjawab, " Mungkin betul tindakan mereka sebab mereka pasti yang mereka akan kalah, jadi mereka mengambil keputusan untuk berlindung. Mereka yakin yang Allah akan melindungi kaabah itu."

Semua masih lagi kebingungan, lalu saya menambah, "Mereka yakin yang Allah akan melindungi kaabah itu, tetapi mereka langsung bertawakal tanpa berusaha melindunginya. Kalau kita lihat keadaan sekarang, walaupun umat Islam sangat ditindas dan dihina oleh orang kafir, kita yakin yang Islam akan kembali menang dan menguasai dunia suatu hari nanti sebelum kiamat. Apakah kita hanya menunggu kemenangan itu tanpa berusaha? Apakah masa yang berlalu akan mencipta kemenangan itu tanpa ada tentera-tentera Allah yang bekerja keras, berusaha sehabis baik mengislah diri dan menyebarkan syahadah mereka ke serata dunia? Apakah Islam akan menang begitu sahaja tanpa semua ini?"

Seorang menjawab, "Tidak akak, kita perlu berusaha. Kita ingin menjadi batu-bata ke arah kemenangan Islam itu."

Saya memberi kesimpulan, "Di dalam tafsir fi zilal ini ada menyatakan "Allah tidak mahu menyerahkan urusan memelihara rumah suciNya pada kaum musyrikin arab walaupun mereka memang berbangga dengan rumah itu. Allah tidak mahu kaum Musyrikin yang mensyirikkanNya itu mempunyai jasa mempertahankan rumah itu dengan semangat jahiliyah mereka." Kerana itulah, mereka tidak melindungi kaabah. Allah tidak memilih mereka untuk  memenangkan agamaNya. Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah akan terpilih untuk tugas mulia ini."

Jika orang-orang Quraisy tidak dipilih untuk menjadi tentera Allah itu disebabkan kejahilliyahan mereka, apakah kita rasa layak untuk menjadi tentera Allah untuk memenangkan agamaNya dengan jahiliyah yang masih ada dalam diri. Mungkin kita masih bermalas-malasan, atau masih leka dengan hiburan yang sememangnya senjata orang kafir melemahkan umat Islam, atau terlalu mengejar dan leka dengan kemewahan dunia yang merupakan sementara sahaja. Dengan semua itu layakkah kita menjadi hamba yang terpilih itu. 

Mari refleksi diri dan sama-sama kikis sedikit demi sedikit jahiliyah yang sudah berkarat di hati. Kita takut semua ini akan menahan kita dari terus melaju dalam jalan dakwah dan tarbiyah ini yang kita yakin sangat akhirnya akan membawa kepada kemenangan Islam. Kerana yang hilang dari umat Islam sekarang adalah iman dan taqwanya. Jadi kita ingin menyebarkan syahadah ini dan memastikan umat Islam kembali ke landasan yang benar dan mengamalkan Islam yang sebenarnya.

Untuk mendapatkan kemenangan dan menjadikan negara maju, terdapat formulanya di dalam al Quran;

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

(an-nur:55)

Namun, jika kita kata orang-orang kafir sekarang lebih maju walaupun mereka tidak beriman, itu adalah kerana;

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)."

(al-an'am:44)

Sebelum tamatnya liqa' kami pada hari itu, sempat lagi aku menayangkan satu video berkenaan sultan muhammad al fateh.

http://www.youtube.com/watch?v=iPHcXIFcCZ8

Konstantinopel akan jatuh di tangan seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin, tentaranya sebaik-baik tentara, dan rakyatnya sebaik-baik rakyat.” 

Jika dulu, pembukaan konstantinopel dicuba dan dilakukan berkali-kali oleh pemerintah sebelumnya, namun, kata-kata Rasulullah itu benar, kota itu akan dibuka oleh sebaik-baik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat.

Salah satu kata-kata yang menyentuh jiwa kami;

"Apabila rukun kemenangan sudah dipenuhi, maka tiada sebab lagi untuk Allah menangguhkan kemenangan."

Terdetik di hati saya, "Adakah aku penyebab kelewatan kemenangan ini?"

Moga Allah kuatkan hati-hati kami untuk menyelusuri jalan-jalan ini. Jalan dakwah dan tarbiyah yang kami yakin di akhirnya akan membawa kepada kemenangan Islam. Individu muslim itu perlu dibina, kemudian bayt muslim dan akhirnya ustaziatul 'alam. 

Moga Allah bantu kami mengislah diri dan kuatkan kami dengan kata-kata kami. Moga Allah pilih kami sebagai tenteraNya dan kami berjanji pada Allah kami akan lakukan sebaiknya untuk jalan ini, untuk menyeru manusia mentauhidkanNya kembali. Kami yakin Allah akan sentiasa berada di sisi, melihat dan mendengar kami.

Kami berlindung kepada Allah dari syaitan dan nafsu jahat yang sering mencucuk-cucuk hati kami untuk kembali ke kejahilan dulu. Moga Allah matikan kami sebagai syahid.

6 comments: