Saturday, 6 December 2014

Kehidupan

Disember 2014 sudah hampir ke pertengahannya. Berakhirnya bulan ini menandakan masuknya tahun baru, 2015. Usianya pun mencapai 22 tahun, meningkat setahun lagi. Banyak benda yang perlu dicapai sebelum berakhirnya bulan ini dan tahun ini.

Hidup semakin mencabar, makin banyak tanggungjawab dan pelajaran makin susah. Hidup sebagai pelajar perubatan klinikal memang sangat sibuk dan agak men'stress'kan. Setiap hari perlu bersedia, mengambil history, menjawab soalan-soalan doktor ketika round dan disambung dengan lecture hingga ke petang. Dengan banyaknya material dan ketidakfahaman di dalam kelas menambahkan kerisauan kerana kami mempunyai 3 minggu lagi untuk menghadapi exam OSCE dan miniOSCE.

Namun, hidup tidak terbatas pada pelajaran, kami ada tujuan dan matlamat besar dalam hidup. Kami adalah hamba dan khalifah Allah yang memegang amanah untuk memakmurkan bumi ini dan menyebarkan cintaNya di seluruh alam.

Kami adalah manusia yang ditarbiyah, punya tanggungjawab besar untuk menyambung rantaian dakwah ini kerana apa yang ingin dicapai adalah kemenangan Islam itu semula. Walau ketika ini, umat Islam ditindas sekejam-kejamnya oleh orang kafir, bumi Palestin dikuasai oleh orang Yahudi, negara Islam besar seperti Mesir dan Syria yang bergolak, namun kami yakin dan terus percaya bahawa Allah akan memenangkan agamaNya di bumi suatu hari nanti kerana itu adalah janjiNya. Kemenangan itu pasti namun sama ada kita adalah batu bata atau manusia-manusia yang berusaha ke arah kemenangan itu atau tidak, itulah yang diragukan.

Jika hidup ini semata-mata kerana dunia, maka semua urusan kita akan tertumpu pada pelajaran, pada benda yang menjamin hidup kita di masa depan, pada wang yang banyak untuk menyara keluarga. Namun, jika hidup kita adalah untuk Allah, jika kita percaya bahawa adanya kehidupan akhirat yang kekal abadi dan adanya hari penghisaban yang dihakimkan oleh Yang Maha Adil, nescaya semua yang ada di dunia ini dipandang sebelah mata kerana apa yang ada di 'sana' beribu-ribu ganda lebih bahagia.

Namun, itu tidak bermakna yang kita hanya perlu menghabiskan setiap masa menunaikan solat dan ibadah-ibadah wajib yang lain, belajar dan bekerja itu juga perlu untuk meneruskan hidup dan seterusnya menjadi duta-duta Islam yang hebat itu.

Untuk menjadikan diri benar-benar seorang hambaNya  bukan mudah. Susah sangat untuk beribadah dengan khusyuk dan ikhlas keranaNya semata-mata. Mudah sangat hati disentuh oleh perasaan-perasaan jahat; riya', takabbur, ujub, sum'ah dan sebagainya. Mudah sangat hati ini dihanyutkan syaitan untuk melakukan perkara-perkara lagha yang sia-sia. Diri kadang-kadang susah untuk redha dengan ujian yang menimpa dan susah untuk bersyukur dengan kurnian nikmat yang terlalu banyak. Untuk itu, perlu mujahadah yang tinggi untuk terus menjadikan diri seorang hamba yang terbaik, yang sentiasa melaksanakan perkara yang wajib dan meninggalkan perkara yang dilarangNya. Inilah antara kepentingan tarbiyah itu sendiri untuk mengingatkan bahawa diri hanyalah seorang hamba yang sedang dalam perjalanan menuju TuhanNya untuk dihisab amalannya. 

Namun, baik hanya untuk diri sendiri bukan tujuan utamanya, cinta dan bahagia itu perlu disebarkan. Cinta pada Allah dan bahagia berada dalam keimanan itu perlu dirasai oleh seluruh alam. Apatah lagi kini dunia sedang parah, parah dengan hiburan yang melampaui batas, bahkan umat-umat Islam sendiri terlalu hanyut dengan hiburan itu, panggung-panggung wayang dipenuhi namun masjid-masjid dan tempat-tempat pembelajaran terlalu lengang.

Kita yang faham punya tanggungjawab. Syahadah perlu disebarkan. Kita adalah saksi terhadap kalimah "tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah". Kalimah ini perlu disebarkan, dihayati dan diimani oleh seluruh alam.

Jika nisbah umat Islam adalah 1/5 daripada dunia, maka seorang perlu berdakwah kepada 4 orang yang lain. Namun, jika nisbah umat Islam yang betul-betul faham dengan agama yang diimaninya itu cumalah 1/100 maka seorang perlu mengajar 499 orang yang lain untuk sama-sama mengagungkan agama Allah ini. Terlalu banyak tanggungjawab yang sepatutunya membuat kita tak mampu bernafas dan berehat-rehat pun.

Begitulah hidup, sentiasa perlukan iman dan semangat yang kental untuk berjihad dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengangkat Islam ke tempat tertinggi semula. Jika kini, ramai pemimpin-pemimpin Ikhwan ditangkap dan dipenjara, mereka terpenjara dari terus menyebarkan fikrah mereka. Mesti hati mereka ingin bebas untuk terus menyebarkan cintaNya. Namun, apa yang berlaku pada kita yang terbebas ini, tidak ada rasa tanggungjawabkah dalam diri untuk terus menyambung rantai-rantai dakwah ini?

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Beralih pada apa yang dilalui sekarang. Mungkin kini adalah waktu puncak. Banyak perkara minta untuk diselesaikan dengan diberi Allah beberapa tanggungjawab baru lagi. Diri penat, tidur tidak cukup, masa dirasakan amat sedikit, tiada masa berehat-rehat dan menziarahi kawan-kawan. Banyak nota-nota perlu dihadam dan difahami. Sampaikan, ketika dalam round apabila sedang melakukan physical examination pun sangat mengantuk. Jawapan yang keluar dari mulut ketika ditanya doktor pun berterabur. Otak macam jammed sangat ketika di dalam lecture, susah untuk faham dan sebagainya. 

Bukan sahaja pelajaran, bahkan banyak perkara yang lain diabaikan; mutabaah amal sudah tidak terjaga, usrah-usrah adik tidak teratur (kasihan adik-adik ini sering diabaikan pembetukan dirinya T.T) dan banyak perkara tergendala.

Diri ingin sangat berjihad dan terus berusaha untuk menjadikan semuanya dapat dilakukan dengan sehabis baik, namun kemampuan terbatas. Kadang-kadang ada fasa-fasa kefuturan atau rasa diri sangat teruk. Sedih apabila memikirkan yang diri tak meningkat-ningkat pun, sentiasa ada di tampuk yang sama. 

Perasaan itu sangat membebankan jiwa dan menyebabkan berkurangnya amal, sampailah apabila dibicarakan kepada seorang sahabat;

" Kenapa semakin lama dalam tarbiyah ini, rasa macam diri tidak meningkat pun, sentiasa berada dekat tampuk yang sama, sentiasa jatuh pada keadaan yang sama? "

" Mungkin awak yang tidak perasan pada peningkatan itu. Awak tak nampak apa yang Allah bagi pada awak untuk setiap apa yang dimujahadahkan itu. Tidak kisahlah itu ujian yang sama atau berlainan, setiap apa yang dilalui itu akan ada ganjaran di sisi Allah. Mungkin apa yang dirasakan statik di dunia ini sebenarnya dinamik.  Seorang hamba itu memang perlu sentiasa merasakan dirinya lemah, supaya dengan itu dia tidak akan berhenti dan terus menerus meminta bantuan dari Allah Yang Maha Mendengar itu. "

Hati tersentuh dan air mata menitis memikirkan betapa kasihnya Allah memilih kita untuk merasakan perasaan ini. 

Teringat satu ayat ini dari surah ali imran;


" Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. "

Inilah perjuangan nabi bersama pengikut-pengikutnya dahulu, mereka berjihad sehabis baik, mereka tidak merasa lemah semangat pun terhadap ujian yang menimpa mereka fi sabilillah. 
Apa yang perlu dibuat adalah sabar. Kita tidak perlu segera pun mengharapkan balasan dari apa yang dikerjakan kerana jika kita yakin akhirat, maka terlalu banyak sudah ganjaran yang Allah sediakan yang tidak kita nampak. Namun, benar, untuk melakukan sesuatu yang kita tidak nampak pun balasannya di dunia, itu adalah susah.
Akan tetapi, Allah mencintai orang-orang yang sabar.

Sambungan ayat ini yang lebih menyentuh hati;

" Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. "

Mereka tidak minta balasan lagi, apa yang diminta mereka adalah supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka dan teguhkan pendirian mereka. Apa yang menjadi khawater hati adalah mungkin mereka pun sentiasa merasakan yang diri mereka lemah dan berdosa dan kerana itulah yang menjadi permintaan pertama mereka adalah ampunkan dosa. Dan mereka juga kadang-kadang merasakan kepenatan dan keputus asaan itu dan kerana itulah mereka meminta untuk diteguhkan pendirian.

Hubungan yang kuat dengan Allah itu adalah rahsia untuk mereka terus teguh dalam perjalanan ini. Atas setiap kelemahan mereka, mereka terus meminta agar Allah membaikinya kerana mereka yakin yang jika mereka menolong agama Allah, maka Allah akan menolong mereka dan meredhai kehidupan mereka.

Wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment