Wednesday, 28 December 2016

Aku dan Dakwahku Di Sana (part 1)


Jam loceng berbunyi kuat, membangunkan aku dari tidur. Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi, aku lantas mengejutkan ahli-ahli usrah kesayangan yang tidur bersama.

Hari ini kami tidur bersama di sebuah RI bertujuan untuk mengadakan liqa’ usrah sebelum waktu subuh. Pada awalnya aku seakan tidak dapat terima hakikat ini, perlu berliqa’ sebelum subuh, di waktu hari persekolahan pula. Seakan tidak masuk akal kan?

Namun, semangat ahli-ahli usrah ini yang sangat membara dan membayangkan masa depan yang pastinya akan lebih sibuk berbanding sekarang, mengapa tidak aku menyahut cabaran ini? Hakikatnya, memang susah untuk seorang nura ini mengubah tabiaatnya yang tidak baik moodnya apabila mengantuk.

Kami memulakan pagi itu dengan solat sunat tahajud fardhi. Lalu kami berkumpul membuat bulatan cinta. Dimulakan dengan bacaan al fatihah dan iftitah rabbani dari ukht mc.


Kami berqodoya nafsi, apa terjadi pada diri, pada dakwi dan pada tarbawinya? Pada setiap satu, aku ada berita dan cerita penting untuk ahli usrah kesayanganku. Sudah lama tidak berjumpa, terlalu banyak perlu di’update’.

Lalu aku memulakan, berkenaan tarbawiku. Aku menceritakan jaulahku bersama akhowat ke uk-ireland. Jarang aku menangis, namun waktu itu jiwa tidak tertahan. Air mata mengalir tak henti-henti. Aku bercerita tentang hebatnya mereka, seolah aku menjumpai para sahabat versi kini, yang rela mengorbankan bermacam-benda, jiwa, raga dan harta untuk Islam. Aku bercerita tentang mereka yang hebat ruhiyynya sehingga tidak henti-henti air mata mengalir ketika menunaikan solat. Aku meluahkan tentang jiwa hebat yang berjaya melawan dan meruntuhkan nafsunya, semata-mata kerana Allah. Walau di dunia seakan punya segala, namun dicampak jauh-jauh segala nikmat itu dan digunakan sepenuhnya untuk dakwah. Bukankah hebat mereka itu? Mereka berada di zaman ini dan di umur sebaya dengan aku. Tidakkah aku rasa tercabar? Dibandingkan dengan diri yang seakan menunggu disuap dan hanya bergerak apabila ditolak. Dibanding-banding dengan mereka, di manakah nilai dan darjat diri di mata Allah?

Dan satu kata berharga yang tersemat di jiwa sehingga sekarang.

“Gerabak dakwah ini memang akan terus berjalan walaupun tanpa kita. Tapi pernah tak kita terfikir, dengan lambatnya kita, gerabak ini akan terlambat sekali apabila kita mengikuti dan memberati.”

Aku tidak sedih tertinggal di belakang sebagaimana aku sedih jika aku yang menjadi sebab kelambatan itu. Realitinya sebab kelambatan Islam menang. Moga Allah ampunkan dosa aku, hamba yang terlalu sering lalai dengan kehidupan dan hiburan-hiburan dunia.

Dari menangis, aku bertukar ke senyuman. Kuserapkan segala kekuatan diri supaya tidak tertumpah air mata lagi. Kali ini, akan aku sampaikan satu berita sedih untuk ahli-ahli usrahku. Hampir dua minggu aku sedih, aku senyap dan berkurung di dalam bilik. Tapi kini aku kuat menerima kenyataan dan terus meluahkan. Bahawa seorang anak usrah aku meminta untuk keluar usrah atas alasan-alasan tertentu. Pada mulanya aku sangat menyalahkan diri dan tak mampu menerima kenyataan. Namun, apabila dipujuk-pujuk diri, insyaAllah pada setiap satunya ada hikmah.

Hati terbuka luas mendengar segala apa yang disampaikan malam itu. Kami meneruskan bahan sirah dan hari ini berkenaan birr maunnah dan yaumur raji’.

Selesai usrah, kami diberi masa untuk menunaikan solat witir sebelum masuk waktu subuh. Lama sujudku ketika itu. Sungguh, aku ingin menjadi seperti sahabat-sahabat itu yang rela diutus ke mana-mana sahaja untuk berdakwah. Dan akhirnya mereka syahid.

Aku memohon kepada Tuhanku untuk menjadi kesayanganNya. Jika posisi terbaikku adalah untuk ke mantiqah luar, apa salahnya.

Jernih hati ketika itu memohon supaya diberi peluang untuk membuktikan kecintaan diri ini terhadap Islam, terhadak gerakan dakwah dan tarbiah ini. Sungguh aku tak tahu, apakah yang terbaik untukku, tapi hatiku terlalu cenderung untuk bermusafir. Lalu aku memohon lama-lama untuk ditentukan sebaik mungkin posisi diri dalam dakwah.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Lama aku pandang setiap satu wajah anak-anak usrahku. Nama-nama inilah yang sering kusebut dalam solat malamku. Mohon agar mereka diampunkan dosa dan dikuatkan terus untuk bermujahadah menjadi seorang individu muslim yang hebat dan sempurna muwasofatnya.

Dan tak lama lagi mereka bakal kutinggalkan, tiada lagi perjumpaan tiap-tiap minggu. Tiada lagi debaran dek mahu melakukan penyampaian terbaik dalam setiap usrah. Tiada lagi rindu terhadap perjumpaan hati-hati yang cinta akan Tuhannya. Dan tiada lagi masakan-masakan sedap yang hanya disediakan untuk mereka. Dan tiada lagi itu dan ini.

Sedangkan matlamatku pada setiap satunya tinggi. Aku lihat potensi dan peningkatan mereka. Aku mahu mereka meniti jalan indah ini bersamaku hingga ke syurga. Setahun setengah aku mengambil masa menstabilkan usrah ini. Dengan sepenuh tenaga, sepenuh jiwa dan ragaku dan akhirnya aku terpaksa tinggalkan.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku menangis sendirian lagi. Bagaimana aku mahu tinggalkan keselesaan ini, keindahan ini? Untuk sesuatu yang aku tak pasti keadaannya. Adakah di sana akan aku berjumpa suka atau duka?

Malam raya itu, ahli rumah mengajakku bermain bunga api bersama. Sungguh, aku ingin ikut bersama, namun dek kenangkan kelemahanku untuk berqiamullail apabila tidur lewat, aku batalkan niat itu. Bukan apa, kerana di Ramadhan telah bermacam janji aku ikat dengan Tuhanku, takkan aku ingin korbankan semua itu hanya kerana hari raya ini, yang sepatutnya meraikan kejayaan dan pengembalian umat islam terhadap fitrah sucinya.

Sungguh, aku suka melihat keindahan mercun bunga api apabila diterbangkan ke langit. Salah satu keindahan yang sangat dirindukan dan dinantikan. Lalu aku berbisik,

“Apa salahnya meninggalkan sesuatu yang cantik untuk sesuatu yang lebih cantik di sana. Sabarlah wahai hati.”

Dan aku tukarkan status di whats app ku.

Seolah mendapat jawapan, apa salahnya aku korbankan satu keseronokan untuk keseronokan yang lebih di sana? Bersabarlah menanti keindahan di syurga. Lalu aku tertidur dan sempat air mata mengalir perlahan.

Aku menyahut seruan itu. Bas bergerak perlahan membawa hati yang baru pulih dan ingin memulakan langkah baru, dengan semangat dan keimanan. Sungguh, jika niat awal ini lillah, pasti Allah akan sentiasa ada di sisi hingga ke akhirnya. Pasti tiada manusia mahupun musuhnya syaitan yang mampu mematahkan. Lalu dengan sepenuh hati dia bertwakkal, walaupun dia kenal dirinya yang sebenarnya tidak mampu. Kenal akan kepenatannya setiap hari, kehilangan semangat dan mood apabila penat. Dan ini cabaran baru baginya. Sama ada jatuh atau berubah, lalu dia berserah.

 

Friday, 16 December 2016

التجرد الكاملة لله بكل خالجة في القلب وبكل حركة في الحياة

Wednesday, 9 November 2016

Tiada Duka Yang Abadi

Sering mengatakan cinta, tapi entah ke mana buktinya. Lidah tidak henti melafazkan kata itu, tapi entah ke mana hati pergi?

Hingga satu ketika, Dia menuntut hati untuk bertumpu kepadaNya, dan menuntut segala anggota untuk turut menunduk. Itulah manusia, itulah insan yang nisyan, sering terlupa dan terlalai. Atau sebenarnya itulah nura, seorang manusia lemah.

Apabila diimbau-imbau semula hidup, ketika kecil, tiada apa yang perlu dirisaukan, semua ada orang yang fikirkan, tiada duka, kesedihan. Namun, sedikit-sedikit kesenangan dunia ditarik, dan akhirnya manusia itu tahu kegembiraan dahulu tidak mungkin dan mustahil akan dicapai lagi melainkan jika Allah anugerahkannya syurga.

Jika ada kesedihan mendatang, kemudian Allah akan hadiahkan kegembiraan. Dan hidup akan terus berputar, kadang di atas, dan kadang kembali semua ke bawah. Berputar, bermacam-macam perasaan, namun biarlah hati hamba ini terus di radar tawakal yang sama, cinta dan kasih yang sama, bukan turun naik. Kerana sungguh hamba ini tidak tahu bila nyawanya akan ditarik.

Pernah tak rasa satu nikmat ditarik?

Dan kini nura diuji lagi. Kembali semula ke zaman dulu kala, waktu sekolah rendah, di mana dia kadang terasa terhina, sangat-sangat merendah diri, tiada confident dan tiada pun yang punya keyakinan bahawa satu hari nanti budak itu akan berjaya, melainkan ibu bapanya. Bahkan guru-guru, rakan sekeliling dan adik beradiknya pun kadang seakan mengejeknya, dan sungguh dia berasa sungguh kerdil dan konfidennya seakan dirobek-robek.

Dan budak itu membesar dan belajar. Dan dia sangat-sangat menghargai kedua ibu bapanya yang tak pernah membuat semangatnya luntur, yang sangat percaya pada dirinya, dan membelanya ketika tiada yang suka.

Dan akhirnya budak itu membesar, dan menjadi seorang yang sangat konfiden.

Mungkin konfiden itu kadang merobek tawakalnya pada Tuhannya, dan kini Tuhan menguji kembali. Diambil sedikit keyakinan, dan diri kembali merasa hina.

Untuk kembali bersujud, meminta dan berharap pada Dia yang satu. Supaya hilang segala sifat yang dibenciNya yang hingga kini ada pada diri.

Allah, kembalikan keyakinan untuk berdiri dan berjalan kembali. Sedikit-sedikit. Ampunkan dosa seorang hamba ini yang lupa diri satu ketika. Ujian sekarang terlalu hebat, jadikan aku orang hebat yang mampu menghadapi semuanya mengikut apa yang Engkau kehendaki.

InsyaAllah duka ini pasti akan berakhir. Tak lama lagi je, bertahan dan ikhlaslah hidup kerana Allah.

Hargai dirimu, wahai Nura. Kerana sungguh Allah telah pun menghargaimu, sejak dia kenalkan dakwah dan tarbiyah itu, maka Dia telah memilihmu. Engkau special nura, jangan jatuh kerana manusia. Hiduplah kerana Allah.

Allah, seronoknya kalau hamba ini mampu mencintaiMu sehingga dia berharap semua yang dilakukan untuk keredhaanMu, bukan untuk syurga dan nerakaMu.


 

Monday, 12 September 2016

Bestnya Jadi Murabbi

Malam itu selepas selesai liqa' usrah bersama adik-adik, aku terus bergegas ke rumah murabbiku yang berdekatan,

"Akak, bestnya jadi murabbi. Kenapa baru sekarang saya tahu. Kalau dari dulu lagi sudah tahu, takkan saya sia-siakan umur ini tanpa nikmat itu."

20 tahun berlalu, baru kini aku buka hati untuk berkenalan dan bergaul dengan junior-junior, mereka yang lebih muda daripadaku. Ini pun selepas menerima tanggungjawab berat.

"Selesai sudah kisah Habib an Najar. Sekarang, akak nak cakap something. Untuk menegakkan Islam ini, kita perlu jundi-jundi persis seperti Habib an Najjar, yang once dia tahu kebenaran, lalu bersegera untuk menyampaikan. Dan kita tahu dalam tarbiyah kita juga sangat perlukan pewaris-pewaris  yang akan menyambung rantaian dakwah ini. Semua orang cuba tutup mata dan ambil masa berfikir dan berbicara dengan Allah sejauh mana kita ingin menjadi satu. Dan akak nak bertanya, siapa di sini sudi menjadi murabbi? Tiada paksaan dan siapa yang sudi boleh mengangkat tangan."

Tanpa ragu aku mengangkat tangan. Kenapa tidak? Tiada alasan untuk aku menolak. Kerana jalan ini terlalu banyak mengubah aku, seluruh hidup seorang aku. Adakah aku ingin menyimpan nikmat ini seorang . Tidak sama sekali, aku tidak ingin menjadi hamba yang mengingkar nikmat. Atas keindahan dan kenikmatan hidup yang Allah beri ini, jadi mengapa perlu bersembunyi, bahkan berjual belilah dengan Allah. Allah bagi aku nyawa, harta, tenaga, masa, kekuatan dan yang paling besar nikmat iman dan islam, mengapa aku tak gunakan semua demi agamaNya. Sudah tentu aku ingin banyak lagi muslim yang sedar akan matlamat hidup, akan agama suci yang menuntut lahirnya lebih banyak lagi individu-individu muslim.

Dan jika aku menjadi salah satu wasilah Allah untuk menyampaikan hidayah kepada mereka, mengapa perlu ragu? Dan jika tugas ini untuk memuliakan aku, mengapa menolak? Dan jika seorang murabbi itu merupakan pewaris dakwah para rasul dan sahabat, adakah aku ingin memutuskan? Dan jika kerja ini bakal mendekatkan aku dengan Sang Pencipta, apa lagi yang aku inginkan selain itu?

Dan akan aku simpan kemas-kemas detik permulaan yang mengubah hidup aku sepenuhnya ini.

Dan ujian itu bermula. Satu-satu perkara yang aku benci untuk lakukan, aku perlu harungi.

"Bencinya buat benda ni. Tolong la, aku bukan kenal adik-adik ni pun. Kenapa perlu bertegur sapa pulak? Malu lahhh. Gaya syok sendiri pulak. Tengok la tu diorang bukan balas pun.."

Itu lah aku, mungkin dulu terlalu sombong, sehingga dengan junior tidak pernah bersembang apatah lagi memulakan perkenalan. Bagi aku, kenapa yang tua perlu memulakan, junior yang memerlukan pertolongan la yang meminta. Dan kini sebaliknya perlu dilakukan. Benci benci. Sudah la aku seorang yang tak suka bercakap, lebih suka menyendiri dan berbuat kerja berseorangan.

Kadang, hati ini meronta untuk menarik diri. Tapi aku punya pegangan sendiri. Tidak suka kalau ada kerja yang aku tidak selesaikan sehabis baik. Untuk pertama kalinya aku rasa ingin berputus asa. Sehinggalah...

"Akak, terima kasih contact saya. Akak, macam mana keadaan kat sana ye? etc..."

Akhirnya mesej itu berbalas. Berbunga hati, seakan nampak cerahnya jalan selepas ini. Kami berbalas mesej, seronoknya seakan mempunyai kekasih. Sehingga mereka sampai di sini.

Rupanya adik yang dimesej dulu tidak ingat pun akan nama kakak yang menghantar mesej ini. Dan dikurniakan beberapa mantee untuk diuruskan secara teknikal. Apalagi aku mengambil peluang sepenuhnya untuk berkenalan sebaiknya, bukankah langkah pertama dalam dakwah fardhiyah adalah tautan hati. Sehingga adik-adik ini sangat terikat denganku, setiap pertanyaan di benak semuanya ditanya padaku.

Diringkaskan cerita, akhirnya tiga orang adik sudi berusrah denganku. Tapi sungguh, ceritanya tak seringkas itu. Pertama kali aku berasa sepenat itu, perlu mengorbankan segala kerehatan cuti, sebanyak-banyak harta, dan perasaan terutamanya. Sungguh, susah untuk menukar seorang nura yang pendiam, tak suka bergaul, ego kepada seorang yang peramah, humble, sweet dan segala-galanya. Tak tipu sepanjang perjalanan itu, banyak kali ingin berputus asa menarik diri. Dan ketika itu tiada sang murabbi yang sering menguatkan dan sahabat-sahabat seusrah yang lain. Lalu kepada Dialah aku cerita segalanya, aku mohon kekuatan. Dan sehingga kini, detik inilah yang aku rindu. Sungguh aku kuat hanya keranaNya.

Satu hari ketika badanku terlalu penat dan menagih rehat, aku pasangkan satu ceramah daripada Tawfique Chowdry, tafsir surah al qalam. Dan tiba pada ayat ini,

Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. (al qalam: 48)

Dan katanya, pada ayat ini Allah mengarahkan nabi Muhammad bersabar. Seolah memujuk untuk bersabar sekejap je lagi, tak lama lagi pasti ada cahaya.  Bersabarlah kerana Allah, jangan pernah berputus asa walau sebentar. Jangan berputus asa terhadap mad'u sebagaimana nabi Yunus pernah berputus asa pada kaumnya.

Dan kerana pujukan itu, nabi Muhammad tidak berputus asa terhadap kaumnya dan kerana itu aku menerima nikmat Islam dan iman ini. Dan kerana pujukan Allah yang ini, seakan ada semangat  baru menguasai diri. Aku lantas bangun, bangkit semula dari kelelahan. Buang segala kepenatan, perasaan, ego yang menguasai diri.

Dan aku mula berusrah dengan tiga orang. Bagaimana aku mendapat ketiga-tiganya? Sungguh tak mampu diceritakan semuanya di sini.

Satu hari aku ke rumah seorang adik, ingin berkongsi tazkiran mengenai interaksi dengan al quran. Selesai solat Jemaah bersama, aku dengan membuang segala sifat malu menawarkan diri untuk berkongsi sesuatu, padahal sebelum itu aku tidak pernah melakukannya. Aku meneruskan perkongsian memandangkan tiada yang menolak. Dan yang gembiranya, kawan-kawanku yang serumah dengan adik itu seronok mendengar, namun adik yang aku harapkan mendengar malangnya bermain phone. Ujian untuk hati bersabar, lantas menggunakan cara-cara lain menyentuh hati.

Sekarang tibalah waktu untuk aku melamar mereka untuk menjadi mutarabbiku. Perasaan bergetar, jiwa berkocak tak mampu pun dituliskan di sini. Allah je yang tahu perasaan ketika itu. Namun, aku terus gagahkan diri untuk bertanya.

Aku memujuk diri,

"Nura. tiada salahnya untuk dia menolak kerana bukan itu yang engkau harapkan, namun cinta Allah pada engkau yang diharapkan lebih. Allah melihat usaha-usaha ini, dan semua out pasti tak disiakan."

Lantas aku beranikan diri bertanya, dan tiba-tiba jawapannya,

"Boleh je akak."

Terus aku bergegas berjumpa murabbi cerita akan khabar gembira ini. Hampir menangis aku kerana terlalu gembira. Namun, sudah tentu hasil seperti ini ada rahsianya. Tiap-tiap malam aku tidak berhenti-henti berdoa agar mereka menerima diriku menjadi murabbi dan agar Allah memberi aku peluang itu. Dek terikatnya hati-hati kami, aku menjadi sangat sayang kepada mereka, dan sungguh aku tahu cara ekspresikan saying yang paling besar adalah membawa mereka dekat dengan Tuhan, agar boleh sama-sama bahagia di akhirat yang lebih kekal abadi.

Dan aku mulakan usrah yang pertama, aku bawa seorang peneman kerana tidak yakin pada diri. Alhamdulillah berjalan lancar sahaja. Dan masa terus berjalan, sehingga aku dikhabarkan perlu menerima lagi dua adik untuk diusrahkan bersama.

Dan malam itu kami dijadualkan untuk ber'mabit'. Adik-adik usrahku tidak dapat hadir tiba-tiba. Malam itu hujan, aku membuat keputusan untuk meredah hujan ke rumah mereka. Dan aku sampai di bangunan itu. Waktu itu, perasaan berbelah-bahagi, tidak berkeyakinan untuk menekan loceng rumah itu. Banyak kali aku menghadapi situasi ini, tapi sebelum ini aku berjaya mengatasi perasaan malu dan tak berkeyakinan. Namun, hari ini aku kalah.

Dalam hujan aku menangis kerana tidak mampu melawan perasaan ini, kerana aku gagal mengajak adik-adikku untuk ke program. Dan Alhamdulillah, Allah mengurniakan aku seorang teman yang memujuk untuk tidak menyalahkan diri.

Dan tugas perlu disambung, aku perlu juga ke program itu, walau tidak membawa sesiapa pun bersama. Di situ aku bakal menerima algi dua orang adik. Dan bukan "yeahhhh" atau "bestnyaaa" yang aku rasakan, bahkan yang lebih kuat itu adalah bebanan. Allah, sungguh 3 orang pun aku tak mampu bawa, dan Engkau tambahkan lagi dua.

Dan malam itu aku mencari kekuatan demi kekuatan. Aku tidak terus naik bermabit bersama, tapi mengambil keputusan untuk hadir di pagi hari.

Terdengar perbualan mereka di sebelahku.

"Entunna akan dapat usrah baru! Bersama kawan-kawan dan murabbi baru. Nak tahu tak siapa murabbi baru itu?"

Sungguh, takut untuk mengakui aku sebagai murabbi baru mereka. Allah, sungguh aku tidak layak. Tapi aku takut untuk menghampakan murabbi lamanya yang berusaha sepenuh hati membina mereka. Selepas hari itu, aku berusaha bersungguh-sungguh mempertautkan hati dengan mereka. Dan ajaib, seakan hadiah dari langit Allah turunkan, mereka menjadi kesayanganku dengan cepat dan menjadi penguat dan penceria di usrah kami.

Usrah berlima pun bermula, tapi usrah ini tidak pernah dihadiri oleh kelima-limanya. Dan cabaran besar bermula, untuk menuntut komitmen mereka berusrah. Hampir enam bulan masa diambil dan akhirnya, semua mula memberi komitmen dengan usrah kami. Semua datang dengan ceria, merelakan diri bukan lagi dalam paksaan. Dan kini usrah kami menjadi enam, hadirnya seorang lagi sebagai penyeri.

Enam bulan. Dan pada enam bulan itu, seolah perjalanan perubahan seorang nura. Mungkin cerita ini sedikit-sedikit akan ditulis.

Susah, penat, perit, takut, pengorbanan dan bermacam lagi dilalui. Namun, akhirnya menjadi bahagia, rindu, sayang,, etc.

Sungguh, indah perubahan kerana Allah.

Dan pada enam bulan itu, nura seakan tidak pernah missed tahajud. Tak berhenti-henti dia berdoa. Sungguh dia menangis banyak, dan semua perkara diadukan pada Tuhannya. Dan itulah kebahagian yang dia harap akan perolehnya lagi.

 

Sunday, 11 September 2016

Kerana Di Situ Ada Cinta

Belajar tentang cinta,
Cinta yang tiada ganti,
Indah disirami basahan rindu,
Rindu kepada pemilik hati ini.

Wahai pemilik hati,
Izinkan kuberi cinta sepenuh hati,
Agar tiada yang bisa menandingi,
Dan tiada satu yang dapat menyaingi.

Sungguh getar hati ini,
Apabila disebut nama itu,
Kadang, bila ada yang menyeru,
Seakan diri ingin bingkas berdiri,
Dan berlari.

Berlari dan berlari,
Penat namun indah,
Kerana di mula perkenalan,
Seakan jatuh cinta pertama kali,
Sanggup berbuat apa,
Sungguh mendambakan satu pertemuan,
Agar bisa bersama,
Tidak akan berpisah.

Pertemuan itu,
Sangat dinanti,
Seakan di hujung,
Dan...
Diri baru di permulaan.

Mula memberi,
Mula menjual,
Dan yang dijual itu keseronokan, kerehatan, harta,
Tapi itu semua milik dunia,
Kerana cinta direlakan,
Agar si Dia membeli,
Dengan keampunan, syurga, dan pertemuan indah.

Peliknya diri,
Sanggup mencabut,
Satu-satu duri dalam diri,
Seakan ingin sembuh sepenuhnya,
Biar sakit di awalnya,
Namun apabila semuanya mampu dibuang,
Alangkah indahnya hidup,
Bersih.

Bersih dari kekotoran jahiliyah,
Yang merantai diri,
Menghalang dari menerima kebaikan.

Kerana cinta dia sanggup,
Kerana rindu dia kuat,
Kerana sayang dia berkorban.

Dan satu ketika,
Si Dia hadiahkan satu nikmat,
Hati mudah terusik,
Jiwa mudah bergoncang,
Apabila dilaungkan namaNya,
Apabila didengarkan kalam-kalamNya,
Dan sujud menjadi kerinduan hatinya setiap masa.

Sungguh, ubudiyyah itu adalah syurga dunia,
Tiada nikmat lain yang mampu menandingi,
Ketika semua perkara lain ditolak sepenuh hati,
Kerana dia tidak sanggup hatinya direnggut yang lain,
Dan berjauhan lagi.

Namun sungguh,
Perjalanan terasa panjang,
Cinta itu perlu diperjuangkan,
Agar takkan pernah kalah,
Pada si musuh yang tak henti-henti cuba menjauhkan.

Manusia,
Mudah kalah,
Memandang kiri dan kanan,
Siapa lagi yang ingin disalahkan?

Dan mula memandang ke belakang,
Mengingati saat-saat indah dulu,
Tika diri lemas dalam cinta,
Dan mula mengeluh,
Menangisi akan kehilangannya.

Wahai pemilik hati,
Jangan pernah tinggalkan diri kerdil ini,
Kerana sungguh dia tidak punya yang lain,
Sungguh..

Hamba kerdil ini merayu,
Agar jangan ditarik nikmat ini,
Diri berjanji sanggup berbuat apa,
Supaya tidak ditinggalkan lagi.




 

Monday, 5 September 2016

Banyak yang dilalui akhir-akhir ni. Bermacam perasaan bertukar ganti. Bestnya kalau dapat dituliskan dan dibaca suatu ketika nanti tika diri diambang kefuturan.

Thursday, 11 August 2016

Maaf

Tika seorang ukhti mengadu betapa susahnya ingin memaafkan. Diimbas-imbas semula kenangan, bagaimana dulu pernah dilukakan dan akhirnya mengalah dan memaafkan. Walaupun diri luarnya dipandang lembut, seolah tiada terluka sedikit pun walau sesiapa yang menyakiti, namun hatinya kadang berbara panas melebihi seseorang yang marahya tampak di luar.

Allah takdirkan itu mujahadah untuk diri ini, yang cukup lemah dalam mengawal perasaan. Dan ingin diceritakan satu kisah diri, moga-moga ada yang peroleh sesuatu.

Perjalanan Ke Alexandria

Akhirnya kami berdua mengambil keputusan untuk bergerak sendiri ke sana. Bosan berkurung di rumah, sedangkan masa kami di Mesir hanya seminggu. Disebabkan rakan-rakan di sana terlalu sibuk beraktiviti, tiada yang berkesempatan untuk melayani dan menguruskan kami.

Dan kami keluar, lalu menadah tangan,

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya, tiada daya kekuatan melainkan dari Allah"

Kali ini doa itu dengan sepenuh ikhlas dan tunduk kerana memang tiada pergantungan melainkan hanya dariNya. Sungguh, diri takut kerana berada di Negara arab ini tak seperti di eropah. Walau hakikatnya dihuni oleh mejoriti penduduk Islam, namun yang ummat harus terima sekarang, hakikatnya yang mengamalkan nilai-nilai suci Islam itu ramainya di Negara-Negara eropah. Moga Allah ampunkan ummat ini terhadap fitnah yang dicipta.

Setelah menaiki tremco menuju ke Ramsis, kami tiba di tengah-tengah jalan yang sesak. Tanpa malu, kami bertanya orang-orang sekitar cara untuk menuju ke stesen keretapi. Alhamdulillah, Allah temukan kami dengan orang-orang yang terlalu baik dan ingin membantu. Walhal hari sebelumnya, kami sudah beranggapan negative dengan rakyat-rakyat Mesir kerana kedinginannya untuk membantu. Atas rahmat Allah, perjalanan hari ni dimudahkan dan dilancarkan sebaiknya sehingga ke akhirnya.


(Kerana setiap detik perjalanan dan pengembaraan di sana terlalu bermakna, maka akanku asing-asingkan setiap ceritanya, dan hari ini yang ingin diceritakan adalah berdasarkan tuntutan di atas.)

Dikatakan ada satu perpustakaan yang merupakan terbesar di sana. Sepanjang perjalanan tadi, aku berbalas-balas mesej dengan seorang rakan, bertanya arah ke tempat-tempat yang ingin dilewati. Dan salah satu tempat tuju utama, Bibliotheca Alexandrina Egypt.

Kami tiba di pecan... Kata rakanku, perpustakaan itu tidak jauh, hanya perlu terus berjalan sehingga berjumpa. Kami pun mengambil keputusan untuk berjalan yang mana di tepi kiri kami terdampar indah laut Mediteranean. Sambil menghayati pemandangan, kami meneruskan perjalanan walau kadang keletihan dan ketidakpastian turut mengusik hati.

Tiba-tiba hujan turun, kami terus ke masjid berdekatan dan pada masa yang sama azan asar berkumandang. Kami lantas menunaikan solat di situ.

Dan perjalanan diteruskan lagi, akhirnya ternampak sign board yang menunjuk ke arah perpustakaan itu. Sedikit lega aku.

Diringkaskan cerita akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Sungguh, aku yakin inilah tempatnya dek lain seni binanya, juga seakan bertepatan dengan namanya.

Dan di situ masalah menimpa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sakitnya hatiku ketika itu tak dapat diungkap. Aku berjalan sambil memarahi.

"Ishhhh, aku tak sangka ada orang kat dunia macam ni. Orang Islam pulak tu, takde langsung budi pekerti. Tak tau ke akan ada balasan di akhirat nanti. Orang yang beriman dengan hari akhirat takkan bertingkah-laku macam ni la! Dia ni beriman ke tak entah? Patutla orang mesir ni kejam, boleh pulak menyokong as-sisi yang membunuh muslim tu. Dia ni mesti antara orangnya."

Entah mana hilang siumannya, manakan tidak hati tak habis-habis menyumpah orang itu. Sakit hati ini tak mampu diungkap. Syaitan seakan mengusai amarah.

Tiba-tiba seakan dunia terbehenti, teringat satu ayat yang pernah dikongsi seorang ukhti;

".. dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu.." (an-nur:22)


Allah....

Laju air mata mengalir.

Kenapa ayat ini tiba di saat ini? Aku taknak! Sakitnya untuk memaafkan.

Ayat itu diulang-ulang lagi. Seakan membuka ruang sedikit untuk iman menguasai hati.

Nura, itulah hidup seorang mukmin, seorang hamba bertuhankan Allah. Walau sakit, walau perit, dia akan tetap melakukan jika itu arahan dari Tuhan yang dikasihi.

Allah kata,

"Maafkan dan berlapang dada."

Seakan arahan yang bertepatan saat itu. Kenapa Allah tak tegur Nura dengan bersabar je ke berhadapan dengan orang macam tu, tapi terus ke arahan ini. Yang lebih susah, sungguhh. Maafkan dia? Atas pengembaraan susah ni, yang disebabkan dia akhirnya perjalanan jadi tak bererti? Berlapang dada? Melupakan segala? Sedangkan dari tadi aku seakan ingin berdoa agar Allah membalasnya.

Tapi,

"Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu."

Makin deras air mata mengalir.

Allah...

Entah ke mana hambaMu ingin pergi jika bukan di bumiMu? Entah bagaimana hidupnya jika bukan atas rahmatMu?

Entah apa erti hidup singkat ini jika tidak dapat pengampunan dariMu?

Tentu yang diharapkan sangat-sangat adalah pengampunan dariMu. Dengan itu dia akan peroleh kehidupan indah di akhirat yang diharap-harapkannya tiap masa, tiap detik.

Allah, mengapa Engkau bertanya? Sedang Engkau mengetahui.

Terlalu banyak dosa. Dikenang-kenang dirinya yang lampau. Sungguh banyak perintah yang tidak dilaksanakan, batasan-batasan yang dilanggar. Dan dek rahmatMu dan pegampunanMu, engkau hadiahkan aku peluang untuk bertaubat, kembali, dan mengenalMu sedikit demi sedikit, menjadikan obsesiku terhadap akhirat melebihi dunia dan menjadikan hidup ini adalah nilainya, menjadikan aku antara orang istimewa yang mengenal dunia dakwah dan tarbiyah.

Sungguh Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Siapalah hambaMu ini untuk setandingMu. Tapi, sungguh, aku hamba. Kalau itu arahanMu, maka aku akan laksanakan. Kurniakan aku sedikit rahmatMu, untuk aku mengasihi manusia lain sekelilingku.

Sambil mengesat-ngesat air mata, aku terus berjalan pada rakan yang menunggu di hujung sana. Apabila dipastikan muka mampu tersenyum, terus dia menegur rakan yang sedang khusyuk membaca. Lalu dikatakan,

"Jom pergi."

Kelihatan indahnya matahari yang hamper terbenam.

"Jom lintas ke sana, lihat lebih dekat pemandangan matahari terbenam di laut Mediteranean itu."

Aku mereenung jauh. Indah! Tiada langsung cacat cela pada ciptaannya.

Seakan keindahan itu melambangkan kasih sayang Tuhan terhadap hambaNya. Terlalu nikmat, terlalu sayang.

Sambil mengucapkan syukur, aku berbisik di hati,

"Alhamdulillah untuk ujian  ini, untuk tarbiyah ini, yang akhirnya memberi erti besar pada hari, dan pada hidupku."