Labels

Coretan hati (24) Tarbiyah Diri (15) nota untuk adik.. (9) in love with medicine? (8) Cerita Hidup (6) DnT (1) tarbiyah (1) thabat (1)
Showing posts with label Tarbiyah Diri. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah Diri. Show all posts

Sunday, 26 July 2015

Petikan Muntalaq

“Sesungguhnya kebahagiaan itu ialah, anda hidup
Untuk pemikiran yang benar dan kukuh
Untuk akidah terbesar yang menyelesaikan,
Permasalahan alam yang lampau
Menjawab persoalan mereka yang kebingungan...
Semasa mereka sedar dan cerdik boleh berfikir
Dari manakah aku datang? Ke manakah aku hendak pergi?
Kenapa aku diciptakan? Adakah aku hidup kembali?
Lalu bersinarlah keyakinan di dalam jiwa
Terusir segala keraguan yang degil
Terdidiklah fikiran yang waras
Terciptalah akhlak yang mulia
Dan kembalilah setiap akal yang menyeleweng
kepada jalan yang benar dan lurus
Hidupmu akan dikurniakan nilai
Oleh Tuhanmu agar hidupmu terbina
Supaya matamu memandang di segala ufuk
Ke arah cita-cita yang tinggi
Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat
Di sanalah kamu hidup kekal dan tidak fana’
Kau tudung bumimu dengan langit
dan para malaikat menjadi saksi

Itulah akidah Islam untuk muslim yang bahagia
Itulah asas, itulah tiang serinya
Sesiapa yang hidup memikulnya sambil memekik
dengan namanya; dialah orang yang berbahagia"
-Yusuf al-Qaqdawi-

Tika seorang ukhti bertanya "Bagaimana kita hidup kerana Allah?"
Terdetik di hati tatkala itu, adakah hanya berniat untuk belajar, bekerja, berukhuwah dan melakukan segala perkara kerana Allah?

 Tapi, sebenarnya susah untuk kita mengikhlaskan rutin-rutin harian kita hanya kerana Allah.

 Lalu, Allah datangkan syair yang dikarang oleh ulama' terkenal ini melalui bulatan gembira.

 Sepotong baris tertulis, "Lalu hiduplah kamu di dunia untuk akhirat"
 Jawapannya ada di bahagian atas baris tersebut,
Mempunyai fikrah atau pemikiran yang kukuh.
Kerana fikrahlah yang akan menggerakkan amal.
Dan menundukkan hati dan menggerakkan seluruh anggota badan untuk berjuang di atas jalanNya.
Dan apabila hidup diinfakkan untuk jalan dakwah, segala yang dilakukan mudah berorientasikanNya.
Kerana perjalanan ini payah, menuntut kesabaran dan pengorbanan yang besar.
Namun, tenang dan bahagia akan dirasai apabila semuanya dinasabkan kepada Yang Maha Kekal
Biarlah hidup segalanya untuk Dia, Pencipta kita.
Dan moga obses kepadaNya melebihi segala keindahan dan kenikmatan di dunia.
Hari yang dipenuhi perjuangan dan kesabaran hari ini. Sakit kepala dek berfikir hari ini melebihi sakit kepala bermain chess berjam-jam dari pagi ke malam. Namun, sakit kepala kini lebih bermakna dan menuntut cintaNya. Moga Allah terus sabarkan dan thabatkan kami di jalanNya.

Orang Pelik Lagi

"Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah)."
(At-Taubah 9:92)

"Ambillah bekalan dari pendirian segolongan orang... Islam yang dating bertemu Rasulullah saw untuk berjihad. Namun, Rasulullah saw terpaksa menolak kerana tidak cukup kenderaan membawa mereka. Mereka beredar sedangkan air mata mereka berlinangan lantaran sedih terhalang daripada memperolehi penghormatan dan kemuliaan jihad serta peluang syahid di jalan Allah. Sedangkan tabiat manusia, mereka akan gembira apabila terlepas daripada bahaya dan dia akan menjauhkan diri daripada peperangan. Namun, iman yang benar telah memperbetulkan neraca. Lantas, iman menjadikan mati di jalan Allah sebagai syahid, segala kesakitan dalam dakwah menegakkan kebenaran adalah penghormatan, dan segala yang menjadi lusuh dan fana dengan sebab pengislahan adalah abadi."

(Bekalan Dalam Jalan Dakwah)

Saturday, 4 July 2015

Salahkah Untuk Bersedih?

Tengah bersedih dan sudah lama perasaan ini ditanggung. Entah kenapa ujian sangat kecil kalau dibanding dengan saudara-saudara seislam yang sedang berjuang, yang sedang kelaparan dan ketakutan. Malunya. Apa yang disedihkan hanyalah kerana lemahnya iman, kurangnya kemampuan untuk berjihad melawan nafsu diri.

Kerana itu sahajakah? Bukan, ada yang lebih-lebih utama. Kerana merasakan terlalu pentingkan diri. Kerana takut dek ingin melaju meninggalkan yang lain terkontang-kanting di belakang.

Hidup kita sangat diatur oleh Allah. Bahkan, setiap detik, Dia Tuhan kita memerhatikan kita. Tapi, entahlah, kenapa terlalu risau sedangkan Allah telah menggelarkan dirinya Al-Wakeel. Berimanlah, janganlah terlalu memenatkan diri memikirkan masa depan, memikirkan perkara yang memang sudah tentu tak dapat dicapai dek akal. Serahkanlah semuanya padaNya. Percayalah yang Dia akan menguruskan segalanya dengan terbaik. Kadang, walau tidak terbaik di mata engkau, tapi itulah yang terbaik untuk engkau, untuk dunia dan akhirat engkau.

Tadi, berkongsi tentang surah Yusuf. Satu surah yang bertemakan narrative, sangat manusiawi. Alhamdulillah, hati tersentuh dan terubat. Salah seorang dari kami berkongsi ayat favouritenya.

" Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. " (Yusuf:100)

Katanya, kalau kita rasa diri kita malang, cuba baca surah Yusuf, akan rasa yang ada orang lebih malang dari kita. Cuba selusuri kisah hidup nabi Yusuf. Dari kecil, terpisah dari bapa tersayang dek kedengkian abang-abangnya, kemudian dipenjara walau bukan kerana kesalahannya. Kesedihannya seakan menimpa-nimpa. Namun, di sepanjang jalan itu, cintanya terhadap Penciptanya makin bertambah. Semakin kuat pergantungan hatinya terhadap Allah.

Di penghujungnya, kegembiraan berganda. Setekah dibebaskan dari penjara, dilantik sebagai pemimpin Negara dan bertemu semula dengan ayah dan saudara tercinta. Dan dia tidak pernah lupa pada Dia yang selalu berada di sisinya ketika keseorangan.

"..Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara.."

Satu hari nanti akan bertemu kegembiraan. Jangan mengalah, jangan menyerah. Namun, biarlah di sepanjang perjalanan itu, ada rasa yang Dia sentiasa menemani. Dia melihat tawamu dan Dia melihat tangismu. Berdoalah banyak-banyak, berbicara dan mengadu padaNya. Dia tahu semua masalahmu, namun Dia ingin sangat jika Engkau turut menjadikan Dia yang terutama di hatimu.
 
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al-baqarah:186)
 
 
Bersabar dan bercintalah. Inilah masanya. Satu hari nanti engkau pasti akan rindu saat-saat sukar ini. Masanya akan tiba untuk engkau berehat. Jadi, jangan putus asa untuk terus bekerja. Dan bekerja hanya keranaNya, agar Dia redha akan engkau. Dan redha dengan kehidupan engkau, dengan tugas-tugas di muka bumi. Biar buruk di mata manusia, namun cantik di mataNya. Biar semua orang tak nampak, hanya dia yang ketahui.



Saturday, 27 June 2015

Dari dulu Dia bersama..


A001 



Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut.


Ayat 1 dari surah Al-Insaan. Sudah lama dihafal surah ini, hampir 8 tahun. Baru kini surah ini dapat dihayati apabila Allah beri peluang kami untuk mentadabbur bersama-sama di dalam liqa' usrah. Dan ayat pertama ini sangat menyentuh hati. Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan diri dari kegelapan kepada cahaya.

Mengikut bacaan dari Safwatut Tafasir, ayat ini bertujuan mengingatkan manusia kembali terhadap asal penciptaannya, bahawa dahulunya dia merupakan sesuatu yang tidak diketahui, dilupakan dan dia terlalu kecil sekecil kuman berasal dari tulang sulbi ayahnya, yang juga berasal dari air yang hina yang tidak diketahui oleh sesiapa pun kewujudannya kecuali Dia yang ingin menciptakannya.

Ayat ini sangat menyentuh hati terutamanya bagi ana sebagai student medic. Bayangkan sahajalah dahulunya, ana ni sperm je. Apa itu sperm kan? Berasal dari tulang sulbi ayah (yang ni kita boleh cerita panjang nanti) dan yang paling penting, sperm ni kecil sangat. Dan ayah akan hasilkan banyak sperm, berjuta-juta. Dan salah satunya kita. Bayangkan betapa kecilnya kita. Selepas ini, dengan air mani itu sperm peroleh tenaga untuk berenang bertemu ovum; sebahagian dari diri kita dan akhirnya mulalah terbentuknya zygote, fetus dan akhirnya kita dilahirkan di bumi.

Pada permulaannya, kita sangat kecil, yang tidak diketahui pun kewujudannya. Mak ayah kita pun tak tahu yang kita akan lahir. Namun, Dia Tuhan Kita telah menjaga kita sejak mula kita lahir. Dia memenangkan kita untuk bersenyawa dengan ovum dan menjaga kita sepanjang di alam Rahim. Tiada cacat cela di badan kita sedangkan sebagaimana yang diketahui peratusan untuk cacat itu terlalu banyak. Namun, Dia menyelamatkan kita dan akhirnya kita dilahirkan sebagai insan yang sempurna.

Bagaimana pula dengan makanan kita. Dia memastikan dari awal penciptaan hingga ke dewasa, makanan kita tetap terjaga. Boleh baca kitab tauhid zindani.

Akhir ini, jiwa rasa kosong. Sudah banyak usaha namun tetap kosong. Malu ingin berkata, tetapi hingga diri terus putus asa. Namun, Allah sedarkan. Kenapa harus berputus asa terhadapNya. Sedangkan dari dulu Dia yang menjaga, Dia yang bersama. Di dalam setiap keadaan, Dia yang setia mendengar rintihan, Dia yang menunaikan segala permintaan. Dia yang mengeluarkan diri dari kesesatan dan kejahilan. Kenapa ingin berputus asa dariNya? Rahmatnya terlalu luas.

Itu satu ujian. Perasaan future itu ujian. Jika ujian orang lain hingga ditimpa musibah dan perlu kepada berjihad berperang melawan musuh. Ujian aku hanyalah melawan nafsu sendiri. Rupanya susah tetapi kan rahsia ujian itu adalah untuk hambaNya kembali mengadu tunduk padaNya. Ujian itu kan adalah untuk menyucikan dosa yang ada supaya satu masa nanti bertemuNya dalam keadaan suci. Maka, kenapa berpaling? Kenapa tidak memohon padaNya dengan rendah hati? Memohon ditetapkan dan ditingkatkan keimanan? Memohon dikuatkan untuk menghadapi segala.

Penyesalan diri itu satu kurnia. Alhamdulillah Allah sudi hadirkan rasa sakit apabila futur itu. Supaya kita sedaya upaya menyembuhkannya kembali. Terus usahaaa!! Moga Allah terus kuatkan mu dengan kata-katamu. Jangan berhenti kerana ini adalah satu bekalan untuk engkau bertemuNya.

Saturday, 10 January 2015

Jahiliyah

Tadi berlaku discussion soal study, kenapa time spm dulu boleh skor, skrg tak boleh?
Dulu...
1. byk buat soalan
2. rajin study
3. byk homework mungkin
4. fokus dalam kelas
A: Kalau dulu, tak perlu study pun lepas kelas, tapi boleh je skor, sebab mmg dah faham dan dapat dalam kelas..
B, C dan D: Betul2.. Agaknya kenapa ye?
A: Sebab HATI..
B tersentap T.T
B teringat syair imam syafie
" Aku mengadu kepada (guruku) Waki' buruk hafalanku.
Lalu dia (guruku) menasihatiku agar meninggalkan maksiat.
Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya.
Dan cahaya Allah tidak akan diberi kepada ahli maksiat. "
Sekarang B dah besar. Orang kata makin besar, makin banyak dosa. Mungkin sebab itu. Tapi B rasa macam ilmu mengenai Islam dah bertambah, dan dah semakin berubah kepada kebaikan..
Namun, mungkin masih ada yang tak kene dengan hati. Adakah hati bertambah khusyuk seiring bertambahnya ilmu2 itu? Adakah hati makin ikhlas? Adakah hati makin redha dengan ketentuan Allah? Adakah ayat2 al quran yg dihafal masih terjaga hafalannya? ( yg ni sgt tersentap )
Solat jika ditinggalkan adalah dosa besar.. namun, bagaimana dengan ibadah hati?
Bagaimana jika kita tidak redha dengan ketentuan Allah? Dosa besarkah itu?
Bagaimana menjaga hati?
Hiasilah ia dengan iman..
Sabda Rasulullah SAW.:
" Tiga perkara yang barangsiapa terdapat padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu):
Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya,
Dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah,
Dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".
Untuk huraian ketiga tu, bayangkan kita melangkah titian sirat yg bwhnya neraka, dan kita dah pun berjaya memasukkan satu kaki ke dalam syurga, pastu tinggal satu kaki je lagi. tapi kita tak nak masuk secara keseluruhan, nak jugak rasa neraka tu sikit..
Betul ke mcm tu sebenarnya? takkan la.. klu kte dah rasa syurga, kita akan terus berlari2 di dalamnya dan memang tak nak keluar dah.. tak nak pun rasa neraka walaupun sedikit.
Itulah seolah2 kita benci jahiliyyah itu sepertimana membenci neraka..
Begitu juga dengan iman, jika kita ingin merasakan kemanisannya, jangan masuk sikit2 ke dalam islam, masuklah secara keseluruhannya. Tidak Islam itu bercampur dengan jahiliyyah lagi. tiada kelabu, sama ada hitam atau putih. Hati tidak akan mampu pun mengumpul dua cinta. Sama ada cinta Allah yang mengisi atau cinta dunia atau cinta hiburan mungkin.
Dah bersediakah wahai diri untuk bermujahadah tinggalkan semua jahiliyyah diri untuk betul2 merasai kemanisan iman? Sungguh, jahiliyyah itu akan melambatkan perjalanan ini..
Umpama jika kita mendaki bukit membawa beg yang terkandung batu bata. Lambatkan kita sampai? Tapi jika kita membuangnya, pasti perjalanan ini lebih mudah. Begitu juga jahiliyyah kan?
Tapi bak kata angelpakaigucci, memang super saiyya la orang yang mampu berubah 100% bila terima hidayah seperti mus'ab bin umair yang sanggup meninggalkan segala kemewahan demi islam dan berakhir dengan jenazahnya yang tak cukup kain pun untuk dikafankan.
takpe2, kita berubah sedikit2, berperingkat2, buang sikit2 batu itu, moga lama2 kosong la beg kita..
Teringat zaman mula2 menerima tarbiyah ini, rasa ingin berubah kepada kebaikan tetapi sangat takut akan ujian yang menimpa sepanjang perjalanan itu. Tapi kata kakak usrah, sesungguhnya memang ianya pahit kerana syurga kan manis. Dan kata2 ini terus menjadi pegangan..
Alhamdulillah atas segala nikmat yg diberi. Terima kasih pada individu2 yg membantu proses perubahan ini.. Moga Allah mengganjari kalian..

Buah Melaka

Sepetang memasak bersama2 
" Akak, kenapa buah melaka ni tak timbul-timbul."
" Betul la, dah lama tunggu ni."
Mereka terus menunggu buah melaka itu timbul sambil mengaut-ngaut buih yang menghalang pandangan.
Tiba-tiba, " Eh, korang dah masukkan ke belum buah melaka dalam tu?"
" Eh, kiranya takde la buah melaka dalam ni. Memang takkan timbul la tunggu lama mana pun. "
Semua ketawa bersama2.. tapi terfikir,,
Selama di dunia ni, kita mengaku kita beriman dan kita beramal dengannya. Bahkan dalam bulan Ramdhan ini, semua orang Islam menggiatkan lagi amalan2 soleh dek rahmat dan pahala yang berganda-ganda di bulan Ramadhan.
tapi,, kadang2 terasa takut, di padang mahsyar nanti, bila kita tertunggu2 apa amalan yg akan menyelamatkan kita.
kita tunggu solat kita,,
kita tunggu hafalan kita, moga2 surah al baqarah dan ali imran berebut2 menyelamatkan kita,,
kita tunggu sedekah kita,,
kita tunggu ahli keluarga kita, tunggu sahabat2 yg sgt rapat berharap mereka selamatkan kita,,
kita tunggu qiyam kita,,
kita tunggu zikir2 kita,,
kita tunggu semua benda yg ada kemungkinan utk kita di akhirat kelak..
tapi, macam mana kalau mereka semua ni tak datang2 ketika kita seru2 mereka, ketika mana kita hampir ditarik ke neraka.
Surah al haqqah menceritakan pemandangan hari akhirat yg sangat menggerunkan..
(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, -
"Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; -
"Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!
"Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar,
"Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.
"Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya),
Betul ke selama ini ibadah kita ikhlas kerana Allah, betul ke ibadah kita setiap hari betul2 khusyuk mengharapkan keredhaanNya?
Solat kita setiap hari adakah berupa manifestasi syukur terhadap Pencipta atau sekadar rutin? adakah kita sentiasa menanti-nantikannya, rindu untuk berbicara dengan Yang Maha Mendengar atau adakah kerana terpaksa?
Zikir kita adakah dengan hati? Hafalan dan bacaan kita selari tak dengan amalan kita? Sedekah kita cukupkah untuk bawa kita ke syurga?
Ahli keluarga kita, sahabat2 rapat kita, adakah kita berhubungan dengan mereka kerana Allah. Berukhuwah, sayang-menyayangi dan saling menasihati untuk ke syurga bersama2?
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".
( al kahfi:103-104 )
Orang yg PALING rugi, org yg menyangka dia telah berbuat baik tapi semua sia2.. :')
Makin lama, makin banyak yg diketahui, tapi kadang pelik kenapa tak makin bertambah amalan, tak makin bertambah manis pun akhlak. Bila sendiri je, datang balik jahiliyyah2 yg dulu kita bertaubat tak nak lakukan dah.
Moga Ramadhan kali ni mengubah diri ini dan semua orang sepenuhnya. Ada kemungkinan je ini ramdhan terakhir. Dah takde masa yg sepatutnya disiakan. Sudah sampai masanya infaqkan seluruh diri ini untuk Islam.
Ya Allah, lindungilah kami dari sifat malas dan berputus asa.
Kurniakanlah kami ikhlas dalam segala amat perbuatan. Jadikanlah diriMu yang mendominasi dalam hati-hati kami.
Kurniakanlah sahabat2 yg sentiasa mengingatkan kami kepadaMu bukan menjauhkan :')
Terima kasih atas petang yg sgt indah. Moga kita berukhuwah keranaNya. Moga kita dapat berseronok juga di syurgaNya suatu hari nanti 

hATi

Ketika masa lapang, mudah rasa futur, tercari-cari semuala kesibukan.
Tapi ketika kembali sibuk, tercari-cari masa lapang, kerana rasa ibadah sgt tak terurus, mutabaah tak penuh bertanda, tak sempat nak menghayati betul2 ibadah, qiyam sekejap, baca quran sedikkit, solat sekejap, mathurat time masak sebab nak terkejar2 study, kelas, meeting etc..
Sekarang cuti, jom perbanyakkan ibadah lg2 ibadah hati..
Jom cari Allah kerana perjalanan mencariNya adalah sepanjang hidup..
Jaga tarbiyah diri esp tarbiyah dzatiyah,,
Jgn biarkan tarbiyah yg dah lama dipupuk ini hilang,,
Jgn biarkan 'nyawa' ini hilang..
Kerana sungguh tarbiyah itu ibarat nyawa,
Tanpanya hidup ini mcm sang mati yg bergerak,,
Tanpa mengenal tujuan sebenar hidup sbg hamba dan khalifahNya, apa lah gunanya diri ini..
Sungguh perjalanan dlm dnt ini sgt susah,,
Mujahadahnya banyak kerana cita2 kita adalah syurga,
Namun ia adalah gerakan yg menghidupkan..
Yang membuatkan hidup ini bererti dan bahagia,
Segala puji bagi Allah yg mempertemukan kita dgn jalan ini,, jgn biarkan cuti ini membuatkan kita reggression

Setiap ibadah itu ada rupa bentuknya, iaitu amalan anggota luaran dan ada hakikatnya, iaitu amalan hati.
Solat, rupa bentuknya qiam, ruku', sujud dan semua rukun-rukunnya. Hakikatnya khusyu'.
Puasa, rupa bentuknya tinggalkan perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga maghrib. Hakikatnya taqwa.
Haji, rupa bentuknya wuquf, tawaf, sa'ei dan semua rukun-rukun serta wajib-wajibnya. Hakikatnya membesarkan syi'ar-syi'ar Allah.
Doa, rupa bentuknya menadah tangan melafazkan ayat-ayat dan ungkapan-ungkapan tertentu yang dihafaz atau dibaca. Hakikatnya rasa kehinaan dan keberhajatan kepadaNya.
Zikir, rupa bentuknya mengucap tahlil, tahmid, tasbih dan lain-lain. Hakikatnya menghayati keagungan Allah, mencintaiNya, takut kepadaNya, mengharap rahmatNya.
Sesungguhnya yang diambil kira adalah amalan hati, sebelum amalan lisan dan anggota badan. "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan bentuk badan kamu. Tetapi Dia melihat kepada hati kamu." Maksud Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Dan esok adalah:
"hari didedahkan segala yang terpendam di dalam hati” (At-Toriq:9)
“hari dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada” (Al-‘Aadiaat:10)
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);” (Asy-Syu’araa’:88-89)
Dan syurga itu disediakan untuk: “orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.” (Qaf:33)

TuhAn Kita

Jika satu persoalan penting diajukan pada kita, siapakah Allah?
" Allah itu tuhan aku "
Hanya itukah jawapan kita? Jom tengok jawapan nabi Ibrahim.,
"Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;
"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,
"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;
"Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku;
"Dan (Dia lah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat;
( asy-syu'araa: 78-82 )
masih panjang perjalanan untuk mengenali-Mu 

keTakuTan

First time ada orang tanya apa benda yang korang paling takut? Perkara yang takut sangat untuk dihadapi?
Kalau dulu, waktu sekolah rendah ke, sekolah menengah ke, perkara yang paling takut sangat untuk dihadapi kalau ibu bapa kita meninggal dunia sebelum kita. Sebab kita sangat sayangkan mereka, kita tak tahu apa jadi dengan hidup tanpa mereka dan mereka adalah segala-galanya bagi kita.
Tapi Allah tarik abah dulu, Allah sayangkan abah kan. Allah tarik kita punya kesayangan, Allah tarik seorang yang menjadi tempat pergantungan kita di dunia.
Namun, apa yang terjadi menyebabkan kita lebih yakin dengan akhirat. Kita lebih yakin yang dunia hanya sementara. Kita yakin yang perpisahan ini adalah untuk pertemuan di syurga yang kekal abadi. Menyebabkan kita bergantung dan berharap pada Allah sahaja untuk mempertemukan kami kembali. Abah mungkin sudah selesai tugasnya, bagaimana dengan kita pula.
Tiba-tiba, di sini kita jumpa cinta Allah. Kita jumpa satu nikmat besar yang kita tak pernah rasa pun sebelum ini. Kita jumpa Islam yang sebenar, kita jumpa manisnya beribadah dan kita jumpa dakwah dan tarbiyah.
Tapi sebenarnya Allah yang jumpakan kita dengan semua ini kerana Dia lah yang mengatur hidup kita.
Kita sentiasa diingatkan dengan matlamat hidup sebagai hamba dan khalifah, diingatkan tentang akhirat yang kekal abadi dan dunia hanya sementara.
Dengan kehidupan yang Allah bagi, segala nikmat yang ada pada diri dan dengan segala rahmatNya, tidakkah menjadikan diri cinta padaNya melebihi yang lain.
Bayangkan, di hadapan kita ada terbentang bumi yang hijau dan langit yang biru,
Tiba-tiba di sana ada pelangi,
Bayangkan pula,kita duduk di tepi pantai yang indah,
Menikmati panorama matahari terbenam.
Dan bayangkan lagi, di malam yang gelap gelita,
Tiba-tiba di langit, bintang-bintang berkerlipan.
Jika hati dah cukup tersentuh melihat ciptaan Allah ini yang sememangnya Allah jadikan untuk kenikmatan kita, apatah lagi apabila melihat wajah penciptanya itu; nikmat yang terbaik yang Allah kurniakan pada hamba-hambaNya. Hamba yang dari dunia lagi sepanjang hidupnya sangat mengharapkan dan mendambakan pertemuan itu. Jadi hamba ini akan bersungguh-sungguh, cuba menjadi hamba dan khalifah yang terbaik, menginfakkan diri, jiwa dan hartanya hanya untuk Allah. Dan balasannya;
" Pada hari itu, wajah (mu'min) berseri-seri. Memandang kepada Tuhannya. "
(75:22-23)

Apa yang ditakuti sangat jika pada hari itu, jika kita terhijab dari melihat Allah;
" Sekali-kali tidak! Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang dari (melihat) Tuhannya. "
(83:15)

" Sesungguhya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolaknya janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik di hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitya. "
(3:77)

Takut sangat jika Allah tak pandang kita pun, Allah tak berkata-kata dengan kita pun.
Apa akan jadi pada kita sebab pada hari itu yang tiada pertolongan melainkan dariNya.
Namun, apa gunanya jika perasaan takut itu tidak dizahirkan dengan amalan, diri tetap malas, susah nak berjihad dengan nafsu sendiri, leka dengan hiburan-hiburan dunia dan kufur dengan nikmatNya.
Tapi Allah Maha Pengampun dan sentiasa menerima taubat hambaNya selagi tidak mensyirikkannya, jadi terus-terusan minta ampun dan kembali padaNya. Selagi diri kita ingin berubah untuk mendekatkan diri padaNya, Dia sentiasa ada membantu perjalanan kita.
Dan dalam keadaan diri yang selalu lupa, seronok sangat ada yang selalu mengingatkan. Ingatkan saya sentiasa tentang pertemuan denganNya dan moga kita semua dapat jumpa Allah sama2.. 

Tuesday, 9 December 2014

Allah, thabatkan hati ini..

Lama sudah meninggalkan hidup senang lenang itu. Dulu, masa banyak sangat terluang begitu sahaja, sia-sia mungkin. Tetapi kini masa seakan tidak memberi peluang langsung untuk diri berehat-rehat lagi.

Alhamdulillah, Allah temukan dengan jalan ini yang memang sangat mencabar, sangat banyak liku-liku yang perlu dilalui tetapi ini memang gerakan yang menghidupkan. Menghidupkan hati-hati yang dahulu penuh dengan hiburan dan matlamat dunia.


Kini sudah tiba masanya untuk bergerak, Allah telah sedarkan kita dengan matlamat hidup, keimanan tentang hari akhirat dan hidup yang berpaksikan padaNya semata. Namun, kebahagiaan itu perlu disebarkan, bukan untuk kepentingan diri semata. Memang takkan pernah ingin diri digelar orang yang menyembunyikan kebenaran oleh Allah kerana orang ini memang dimurkai Allah.


Kita dicipta Allah terlalu sempurna jika dibandingkan dengan yang lain. Allah beri kita kesihatan, kepandaian untuk menilai, kewarasan, kesedaran tentang agama indah ini dan banyak lagi yang sebenarnya ramai tidak miliki. Namun, apakah semua ini digunakan dengan baik? Pernah lihat di hospital, seorang anak yang kelihatan cacat dan agak terencat menjaga ibunya di hospital. MasyaAllah sangat anak ini, dia cuba untuk melaksanakan tugasnya semampu mungkin. Jika itu yang dia mampu lakukan untuk Allah, dia lakukan. Namun, dengan kekurangan yang dia miliki, dia tidak mampu pun untuk menyambung pelajaran dan menyumbang dalam bidang lain. Dengan daya yang dimilikinya dia guna sebaik mungkin untuk menunaikan perintah Allah iaitu berbakti pada ibu bapa.


Tapi kita..

Kita punya banyak kelebihan dan nikmat yang Allah beri. Namun, adakah dengan segala nikmat yang diberi itu kita kufur? Lawan kufur itu syukur. Dan tanda kesyukuran itu adalah berkongsi dan menyebarkan kebaikan menggunakan apa yang dimiliki. 

Diri sangat ingin menggunakan segala kebaikan dan nikmat yang ada untuk ummah, menginfakkan diri untuk Islam kerana Allah menjanjikan syurga untuk mereka;



" Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang berinfak pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan. "

(ali imran: 133-134)

Berinfak itu bukan setakat pada harta, namun jiwa, masa, tenaga dan banyak lagi.

Banyak kelebihan yang Allah beri, apa yang paling nikmat adalah Allah bagi kefahaman tentang Islam. Kefahaman ini membuatkan diri terus berasa ingin menyebarkan kebahagiaan hidup dalam Islam yang sebenar. Banyk orang yang mampu di'reach'. Tapi banyak yang ditinggalkan begitu sahaja tanpa 'follow up' tarbiyah mereka. Tapi mereka itu orang-orang yang kita cinta. Bagaimana? Diri mengadu, " aku kesuntukan masa, aku tiada daya untuk membawa mereka semua ". Sedih terpaksa meninggalkan begitu sahaja. Sekarang, sudah ada yang hanyut. Entah bagaimana nak bawa mereka kembali semula. Dan tiba-tiba Allah datangkan mereka yang berkehendakkan tarbiyah lagi seperti dahulu, namun, diri memang tidak sampai hati untuk meninggalkan kerana takut mereka turut hanyut sedangkan mereka orang-orang yang sangat dicintai keranaNya.

Miliki kelebihan mudah diberi kefahaman itu adalah sangat menguntungkan. Bukan semua orang kelebihannya pada mendengar. Dengan kelebihan itu, diri mampu faham dengan baik apa yang disampaikan doktor dalam lecture. Namun, sekali lagi diri diuji untuk memberi atau menyimpannya sendiri. Bukan tidak mahu, namun tidak cukup masa, tidak mampu seimbangkan antara pelajaran dan amanah yang dipikul.

Tetapi hati terlalu ingin untuk menyumbang, segala apa kelebihan yang ada pada diri ingin digunakan untuk Islam, membantu sahabat-sahabat. 

Moga Allah thabatkan hati untuk terus berada dalam jalan ini. Biar penat sekalipun semuanya pasti ada balasan di sisiNya. Kita hidup di dunia ni kan tak lama. Berehat-rehat dalam syurga lah, wahai manusia yang disayangi Allah ini..




Saturday, 6 December 2014

Kehidupan

Disember 2014 sudah hampir ke pertengahannya. Berakhirnya bulan ini menandakan masuknya tahun baru, 2015. Usianya pun mencapai 22 tahun, meningkat setahun lagi. Banyak benda yang perlu dicapai sebelum berakhirnya bulan ini dan tahun ini.

Hidup semakin mencabar, makin banyak tanggungjawab dan pelajaran makin susah. Hidup sebagai pelajar perubatan klinikal memang sangat sibuk dan agak men'stress'kan. Setiap hari perlu bersedia, mengambil history, menjawab soalan-soalan doktor ketika round dan disambung dengan lecture hingga ke petang. Dengan banyaknya material dan ketidakfahaman di dalam kelas menambahkan kerisauan kerana kami mempunyai 3 minggu lagi untuk menghadapi exam OSCE dan miniOSCE.

Namun, hidup tidak terbatas pada pelajaran, kami ada tujuan dan matlamat besar dalam hidup. Kami adalah hamba dan khalifah Allah yang memegang amanah untuk memakmurkan bumi ini dan menyebarkan cintaNya di seluruh alam.

Kami adalah manusia yang ditarbiyah, punya tanggungjawab besar untuk menyambung rantaian dakwah ini kerana apa yang ingin dicapai adalah kemenangan Islam itu semula. Walau ketika ini, umat Islam ditindas sekejam-kejamnya oleh orang kafir, bumi Palestin dikuasai oleh orang Yahudi, negara Islam besar seperti Mesir dan Syria yang bergolak, namun kami yakin dan terus percaya bahawa Allah akan memenangkan agamaNya di bumi suatu hari nanti kerana itu adalah janjiNya. Kemenangan itu pasti namun sama ada kita adalah batu bata atau manusia-manusia yang berusaha ke arah kemenangan itu atau tidak, itulah yang diragukan.

Jika hidup ini semata-mata kerana dunia, maka semua urusan kita akan tertumpu pada pelajaran, pada benda yang menjamin hidup kita di masa depan, pada wang yang banyak untuk menyara keluarga. Namun, jika hidup kita adalah untuk Allah, jika kita percaya bahawa adanya kehidupan akhirat yang kekal abadi dan adanya hari penghisaban yang dihakimkan oleh Yang Maha Adil, nescaya semua yang ada di dunia ini dipandang sebelah mata kerana apa yang ada di 'sana' beribu-ribu ganda lebih bahagia.

Namun, itu tidak bermakna yang kita hanya perlu menghabiskan setiap masa menunaikan solat dan ibadah-ibadah wajib yang lain, belajar dan bekerja itu juga perlu untuk meneruskan hidup dan seterusnya menjadi duta-duta Islam yang hebat itu.

Untuk menjadikan diri benar-benar seorang hambaNya  bukan mudah. Susah sangat untuk beribadah dengan khusyuk dan ikhlas keranaNya semata-mata. Mudah sangat hati disentuh oleh perasaan-perasaan jahat; riya', takabbur, ujub, sum'ah dan sebagainya. Mudah sangat hati ini dihanyutkan syaitan untuk melakukan perkara-perkara lagha yang sia-sia. Diri kadang-kadang susah untuk redha dengan ujian yang menimpa dan susah untuk bersyukur dengan kurnian nikmat yang terlalu banyak. Untuk itu, perlu mujahadah yang tinggi untuk terus menjadikan diri seorang hamba yang terbaik, yang sentiasa melaksanakan perkara yang wajib dan meninggalkan perkara yang dilarangNya. Inilah antara kepentingan tarbiyah itu sendiri untuk mengingatkan bahawa diri hanyalah seorang hamba yang sedang dalam perjalanan menuju TuhanNya untuk dihisab amalannya. 

Namun, baik hanya untuk diri sendiri bukan tujuan utamanya, cinta dan bahagia itu perlu disebarkan. Cinta pada Allah dan bahagia berada dalam keimanan itu perlu dirasai oleh seluruh alam. Apatah lagi kini dunia sedang parah, parah dengan hiburan yang melampaui batas, bahkan umat-umat Islam sendiri terlalu hanyut dengan hiburan itu, panggung-panggung wayang dipenuhi namun masjid-masjid dan tempat-tempat pembelajaran terlalu lengang.

Kita yang faham punya tanggungjawab. Syahadah perlu disebarkan. Kita adalah saksi terhadap kalimah "tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah". Kalimah ini perlu disebarkan, dihayati dan diimani oleh seluruh alam.

Jika nisbah umat Islam adalah 1/5 daripada dunia, maka seorang perlu berdakwah kepada 4 orang yang lain. Namun, jika nisbah umat Islam yang betul-betul faham dengan agama yang diimaninya itu cumalah 1/100 maka seorang perlu mengajar 499 orang yang lain untuk sama-sama mengagungkan agama Allah ini. Terlalu banyak tanggungjawab yang sepatutunya membuat kita tak mampu bernafas dan berehat-rehat pun.

Begitulah hidup, sentiasa perlukan iman dan semangat yang kental untuk berjihad dan berjuang bersungguh-sungguh untuk mengangkat Islam ke tempat tertinggi semula. Jika kini, ramai pemimpin-pemimpin Ikhwan ditangkap dan dipenjara, mereka terpenjara dari terus menyebarkan fikrah mereka. Mesti hati mereka ingin bebas untuk terus menyebarkan cintaNya. Namun, apa yang berlaku pada kita yang terbebas ini, tidak ada rasa tanggungjawabkah dalam diri untuk terus menyambung rantai-rantai dakwah ini?

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Beralih pada apa yang dilalui sekarang. Mungkin kini adalah waktu puncak. Banyak perkara minta untuk diselesaikan dengan diberi Allah beberapa tanggungjawab baru lagi. Diri penat, tidur tidak cukup, masa dirasakan amat sedikit, tiada masa berehat-rehat dan menziarahi kawan-kawan. Banyak nota-nota perlu dihadam dan difahami. Sampaikan, ketika dalam round apabila sedang melakukan physical examination pun sangat mengantuk. Jawapan yang keluar dari mulut ketika ditanya doktor pun berterabur. Otak macam jammed sangat ketika di dalam lecture, susah untuk faham dan sebagainya. 

Bukan sahaja pelajaran, bahkan banyak perkara yang lain diabaikan; mutabaah amal sudah tidak terjaga, usrah-usrah adik tidak teratur (kasihan adik-adik ini sering diabaikan pembetukan dirinya T.T) dan banyak perkara tergendala.

Diri ingin sangat berjihad dan terus berusaha untuk menjadikan semuanya dapat dilakukan dengan sehabis baik, namun kemampuan terbatas. Kadang-kadang ada fasa-fasa kefuturan atau rasa diri sangat teruk. Sedih apabila memikirkan yang diri tak meningkat-ningkat pun, sentiasa ada di tampuk yang sama. 

Perasaan itu sangat membebankan jiwa dan menyebabkan berkurangnya amal, sampailah apabila dibicarakan kepada seorang sahabat;

" Kenapa semakin lama dalam tarbiyah ini, rasa macam diri tidak meningkat pun, sentiasa berada dekat tampuk yang sama, sentiasa jatuh pada keadaan yang sama? "

" Mungkin awak yang tidak perasan pada peningkatan itu. Awak tak nampak apa yang Allah bagi pada awak untuk setiap apa yang dimujahadahkan itu. Tidak kisahlah itu ujian yang sama atau berlainan, setiap apa yang dilalui itu akan ada ganjaran di sisi Allah. Mungkin apa yang dirasakan statik di dunia ini sebenarnya dinamik.  Seorang hamba itu memang perlu sentiasa merasakan dirinya lemah, supaya dengan itu dia tidak akan berhenti dan terus menerus meminta bantuan dari Allah Yang Maha Mendengar itu. "

Hati tersentuh dan air mata menitis memikirkan betapa kasihnya Allah memilih kita untuk merasakan perasaan ini. 

Teringat satu ayat ini dari surah ali imran;


" Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. "

Inilah perjuangan nabi bersama pengikut-pengikutnya dahulu, mereka berjihad sehabis baik, mereka tidak merasa lemah semangat pun terhadap ujian yang menimpa mereka fi sabilillah. 
Apa yang perlu dibuat adalah sabar. Kita tidak perlu segera pun mengharapkan balasan dari apa yang dikerjakan kerana jika kita yakin akhirat, maka terlalu banyak sudah ganjaran yang Allah sediakan yang tidak kita nampak. Namun, benar, untuk melakukan sesuatu yang kita tidak nampak pun balasannya di dunia, itu adalah susah.
Akan tetapi, Allah mencintai orang-orang yang sabar.

Sambungan ayat ini yang lebih menyentuh hati;

" Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. "

Mereka tidak minta balasan lagi, apa yang diminta mereka adalah supaya Allah ampunkan dosa-dosa mereka dan teguhkan pendirian mereka. Apa yang menjadi khawater hati adalah mungkin mereka pun sentiasa merasakan yang diri mereka lemah dan berdosa dan kerana itulah yang menjadi permintaan pertama mereka adalah ampunkan dosa. Dan mereka juga kadang-kadang merasakan kepenatan dan keputus asaan itu dan kerana itulah mereka meminta untuk diteguhkan pendirian.

Hubungan yang kuat dengan Allah itu adalah rahsia untuk mereka terus teguh dalam perjalanan ini. Atas setiap kelemahan mereka, mereka terus meminta agar Allah membaikinya kerana mereka yakin yang jika mereka menolong agama Allah, maka Allah akan menolong mereka dan meredhai kehidupan mereka.

Wallahu a'lam..

Saturday, 22 November 2014

Professional Muslim with ROH

Pelbagai cara Allah menunjukkan kasih sayang pada hambaNya. Kadangkala hamba itu diuji untuk kembali kepada Rabbnya. Kadangkala hamba itu diganjari dengan nikmatNya. Dan hari ini, hamba yang lemah ini dihadiahkan satu semangat baru atau suka lagi disebut diperbaharui imannya kerana semangat itu tidak bertahan lama tetapi iman lah yang akan meng'istiqamah'kan diri.

Alhamdulillah hari ini Allah pilih diri ini untuk menyertai satu program yang membicarakan tentang peranan doktor muslim bertajuk " Professional Muslim with ROH ". Sekali lagi hari ini dijumpakan dengan doktor yang amat dikagumi dan merupakan presiden FIMA; Dr Ali Mesh'al.

Dimulakan dengan penerangan tentang maqasid syariah, medical professional as Daie, berkenaan sukarelawan dan hospital Islam. Program sehari yang dikira cukup simple namun amat bermakna. Berharap sangat program ini merupakan 'turning point' untuk berubah menjadi seorang medical student yg sangat mantap agamanya, akhlaknya dan pelajarannya.

Hati cukup tersentuh dengan penyampai-penyampai yang cukup hebat. Mereka antara muslim yang sedaya-upaya cuba memasukkan nilai-nilai Islam dalam sistem perubatan di negara masing-masing. Dengan adanya doktor-doktor yang sedar akan kepentingan syariat Allah dan kesyumulan Islam ini, maka terbentuklah fiqh perubatan itu sendiri hasil dari perbincangan doktor-doktor bersama ulama' Islam. Dan diri amat kagum dengan doktor yang mengasaskannya.

Diri amat kagum dengan Presiden MRA, Dato' Dr Abdul Razak yang menceritakan tentang kerja-kerja sukarelawannya. Dia menceritakan pengalamannya di Dublin, Ireland. Dia turut menceritakan bagaimana tarbiyah di sana mengubahnya 360 degree daripada remaja yang suka berhibur kepada seorang pemuda yang mencari Allah. Dia menceritakan juga berkenaan usrah mereka yang dirasakan sangat praktikal, sangat mencontohi Rasulullah s.a.w. Selepas sahaja selesai liqa' usrah, terus melakukan praktikal. Dan, beliau turut menceritakan senior 3 tahun tua daripadanya Dato' Seri Wan Azizah yang turut berubah apabila menerima tarbiyah. Katanya, Dato' Seri bukan sahaja hebat tarbiyah namun turut hebat dalam pelajarannya sebagai medical student. Beliau mendapat gold medal untuk OnG di Royal College of Surgeon, Ireland dan namanya masih lagi terpapar di dashboard universiti hebat itu.

MasyaAllah, hebatnya doktor-doktor muslim ini. Dato' terus berkongsi pengalamannya sebagai sukarelawan. Mereka bukan sahaja melakukan kebajikan dan membahagikan bekalan namun mereka turut menyebarkan Islam. Mereka turut ke perkampungan orang asli dan mengislamkan kebanyakan dari penduduk kampung. Mereka turun ke Sabah dan Serawak, mereka turut menyelamatkan anak-anak yatim di Acheh dari dikristiankan oleh relief agency dari negara barat.

Kemudian, disambung pula dengan Dr Ishak iaitu pengasas dan presiden Hospital al Islam di Malaysia yang merupakan kerjasama dengan Hospital al Islam, Amman. Hebatnya doktor ini yang turut juga menerima tarbiyah sejak universiti lagi. Untuk mendirikan hospital itu, banyak pengorbanan dilakukan, mencari dana dan mengumpul doktor-doktor yang betul-betul sefikrah dengannya. Mereka mendirikan satu hospital yang mesra ibadah kepada pesakit di samping pekerja-pekerjanya, jururawat dan doktor merupakan daie kepada pesakit.

Kagum. Begitu kagum dengan doktor-doktor ini. Matlamat mereka yang besar adalah keredhaan Allah itu sendiri. Mereka bersungguh-sungguh dalam kerjaya, dalam belajar dan kerja-kerja kebajikan untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Mereka cuba memasukkan nilai-nilai Islam dalam kementerian kesihatan sendiri, mereka berjaya mengubah sedikit demi sedikit sistem kesihatan di Malaysia. Semua itu tidak lain dilakukan hanya kerana mereka yakin adanya akhirat dan mereka yakin pertemuan dengan Allah itu.

Mari reflect diri seorang "Aku" ini.

Aku seorang pelajar perubatan tahun 4  di Jordan University of Science and Technology.
Aku seorang yang suka belajar tetapi dengan syarat aku minat sangat untuk mendalami sesuatu ilmu itu. Hidup sebagai pelajar perubatan bermula dengan keadaan diri yang agak tidak meminati bidang ini. Sehingga tahun 2, aku masih berbelah bahagi dan terus menangis apabila terpaksa belajar anatomy yang sememangnya subjek menyeksakan. Namun, apabila ramai yang membantu dengan tanggungjawab yang besar terhadap keluarga menyebabkan diri terus menyambung juga. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan mengindahkan hidup ini. Allah mengenalkan cintaNya melalui pembelajaran ini. Dengan segala kesempurnaan terhadap tubuh badan ini, diri mana yang tidak bersyukur. Betapa ruginya seorang pelajar perubatan yang tidak mengenal penciptanya dalam pelajarannya.

Namun, apabila mula memasuki tahun 4 ini, seakan kembali berputus asa. Setiap hari akan ke hospital, taking history and present to doctor. Doctor will comment on our history and then teach us on how to do physical examination. Boring, setiap hari boringg sangat. Entah dari mana perasaan itu datang. Setiap hari ada perasaan jahat yang menghasut untuk tidak pergi ke hospital, bosan untuk mengulangi rutin yang sama.

Sudah empat minggu berlalu rotation internal medicine. Rasa diri tiada improvement. Jelous sangat tengok rakan-rakan Arab yang semakin improve, hebat apabila menjawab soalan doktor, berebut-rebut melakukan physical examination, mereka ni memang cemerlang habis la.

Sedih tengok diri yang masih terkial-kial untuk ambil history, masih malu-malu untuk melakukan physical examination, masih gagap-gagap untuk menjawab soalan doktor. Rasa diri tak berguna, rasa useless sangat. Sedih dengan diri yang tak cemerlang, tak tahu apa je modal yang ada untuk sumbang pada Islam. Sudah la tiada kepakaran lain, belajar pun main-main.

Malu. Malu sangat dengan pemimpin-pemimpin ikhwan yang sangat tekad memperjuangkan Islam. Mereka ditangkap, dipenjara dan dihukum. Mereka terpenjara dari terus menyebarkan dakwah, menyebarkan Islam yang tercinta.

Dr Badi' berkata ketika di pembicaraan : 


"Tiada masalah langsung andai dijatuhkan hukuman gantung ke atasku dan aku akan mati, kerana bagiku aku telah berbai'ah (berjanji setia) dari pertama kali aku mengenali jemaah yang barakah ini, bahawa mati di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami, maka andai terlaksana hukuman ini bagiku ia adalah seperti yang telah tertulis dengan pena di Luh Mahfuz dari awalnya, maka ia adalah ketentuan allah ke atasku yang tiada baginya jalan berlepas diri, katanya sambil tersenyum."



Aku ingin menjadi hamba Allah yang betul-betul cemerlang, yang betul-betul ingin menegakkan agama Islam. Aku nak jadi duta Islam yang sebenar-benarnya. Aku nak sangat apabila orang pandang aku, orang nampak Islam dan orang tertarik untuk mendalaminya. Jadi, diri haruslah cemerlang dalam semua aspek. Jangan jadikan kelemahan sebagai penghalang dari kejayaan tetapi teruslah membaikinya. Allah akan pandang usaha kita, mujahadah kita untuk menjadi yang terbaik. Kerana Allah telah memuliakan kita, siapa kita untuk menjatuhkannya, menyatakan yang diri tidak berguna.

I'm trying but i keep messing up. Aku cuba tapi aku selalu jatuh kembali. Aku penat, aku rasa tiada orang di sisi. Tapi aku lupa setiap hari Allah memerhati, Allah sentiasa menemani perjalanan ini.
Allah hadiahkan aku doktor-doktor dan patient-patient yang best dan sentiasa memberi support setiap hari. Tinggal aku sedar atau tidak sahaja.

Ingat, Allah pilih hamba-hambaNya. Bukan semua yang dipilih untuk melalui jalan yang sukar dan memasuki syurgaNya. Namun, hamba-hamba yang terus berusaha, berjihad pada jalanNya sahaja yang dipilihNya. Jangan culas lagi. Another 5 weeks ni kene manfaatkan betul-betul. Nak jadi diri yang baru.

Setiap hari di round;
1. Nak perbaharui niat.
2. Nak ambil history dengan baik dan betul-betul faham
3. Nak study history betul-betul
4. Tak nak malu untuk present di depan doktor
5. Nak habiskan dua lec note sehari- satu kene buat nota
6. Nak belajar dengan hati
7. Nak lebih mengenali Allah
8. Nak bantu rakan-rakan sebab nak masuk syurga sama-sama.

Cita-cita sangatlah tinggi. Moga Allah tambahkan iman.
Aku percaya dalam perjalanan ada Allah yang menemani. Jika aku jatuh, adaNya di sisi. Moga Allah ingatkan aku sentiasa tentang ini.

Tuesday, 21 October 2014

Cinta Allah

Salah satu nama-nama Allah adalah al Wadud ( Yang Maha Mencintai ).
Allah bukan sekadar tempat kita meminta, namun Dia juga tempat kita mengadu dan bercerita.
Ambillah pengajaran dari Rasulullah s.a.w tercinta ketika baginda ditolak dan dilontar bantu di Thaif hanya kerana ingin menyampaikan dakwah;
“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku?”
“Ya Allah, kepadamu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah tuhan orang yang ditindas. Engkaulah tuhanku. Kepada siapalah engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya(untuk melakukan Kebaikan) dan tiada upaya(untuk meniggalkan kejahatan) kecuali denganMu.”
“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau.”
“Hal itu tidak aku risaukan, jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun, rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku menyerahkan diri pada cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan dan menentukan kebaikan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu. Aku senantiasa mohon reda-Mu. Kerana tidak ada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu.”
Marilah kita menghayati kisah seorang wanita yang diceritakan dalam al Quran pula;
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
Allah sangat menyayangi hambaNya ini sehingga kisahnya mengadu dan bercerita pada Allah dinukilkan dalam al-Quran.
Allah sentiasa menjaga aib kita dan tak pernah mendedahkannya walaupun sebenarnya kita terlalu banya melakukan dosa.
Kenapa kita perlu mendedahkanNya.
Bercerita kepada Allah itu sangat best kerana Allah tak pernah jemu mendengar keluhan kita kerana Dia Maha Mendengar dan sangat menyayangi hambaNya. Kerana Allah lah yang paling faham akan kelemahan kita. Bagaimana kita tergamak mengadukanNya kepada manusia lain?
Mujahadah memang susah kerana balasannya syurga. Kita jatuh banyak kali. Tapi apabila kita jatuh, Dia sentiasa ada di sisi, membantu kita mendaki kembali. Kerana Allah itu Maha Pengampun dan sentiasa menerima hambaNya kembali walaupun hambaNya banyak berdosa kepadaNya, Kerana itu, diri ini tak akan pernah berputus asa untuk terus berharap pada keampunanNya dan redhaNya untuk hidup ini.
Dan kerana Allah menyatakan;
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Teruslah berusaha untuk menjadi hamba dan khalifahNya yang terbaik kerana dengan itu, walaupun payah dan banyak ujiannya, tapi nikmat yang sangat besar akan dirasai apabila Dia sentiasa menemani perjalanan ini.

Nikmat Allah

Akhir-akhir ini banyak berbicara tentang nikmat. Nikmat Allah yang memang tak terhitung. Diri berasa bahagia, miliki Tuhan yang sangat kaya dengan rahmat-Nya.

Bila dibicarakan tentang nikmat, dahulunya sentiasa menganggap nikmat itu adalah kesenangan-kesenangan yang terpancar jelas di mata manusia. Harta, kekayaan, anak yang banyak, riang gembira dan banyak lagi.

Namun, makin lama diri makin mengenal satu nikmat besar apabila menemui Islam yang sebenar, apabila mula mengenali Allah, apabila menyedari hakikat sebenar keimanan, apabila mula hidup berinteraksi dengan al-quran. Nikmat yang sangat besar apabila Allah menemukan dengan jalan dakwah dan tarbiyah ini. Akhirnya, diri yang mati suatu ketika dahulu mula hidup. Dan akan terus cuba menghidupkan orang lain.

Kenapa tarbiyah memberi kehidupan? Kerana tarbiyahlah yang mendekatkan diri dengan Allah, yang menyebabkan hati yang suatu ketika dahulu kosong walaupun ketika itu sedang menghadap-Nya. Alangkah rugi hidup yang hampir 20 tahun yang disiakan tanpa mengenal tujuan penciptaan manusia dengan sebenar-benarnya iaitu sebagai hamba dan khalifah-Nya.

Menjadi seorang hamba kepada Allah itu juga merupakan nikmat yang terbesar. Mana mungkin seorang hamba itu tidak bahagia apabila Tuhan yang menciptakannya itu telah menetapkan ke atas diriNya sifat Ar-Rahman, Maha Penyayang.

Dengan sifat itu, Allah menurunkan rahmatNya ke atas semua manusia tanpa terkecuali sesiapa pun. Walaupun manusia itu tidak beriman padaNya. Lihatlah sekeliling, langit dan bumi itu penciptaan yang sangat besar. Bagaimana langit dapat berdiri tanpa tiang? Bagaimana air masin dan tawar bertemu tanpa bercampur rasa? Dan macam-macam lagi.

Dan penciptaan manusia itu keajaiban yang sangat besar. Kerana manusia adalah sebaik-baik penciptaan, maka kita lihat setiap dari sel yang membentuk diri ini adalah yang terbaik. Tidak muingkin organ dari haiwan dapat menggantikan organ manusia. Jika kita hayati dengan baik setiap kejadian Allah pada tubuh manusia ini, mesti hati tidak akan berhenti mengagumi dan memuji penciptaanNya. Fasa semasa kita dalam rahim ibu sangatlah kritikal. Pada masa itu, macam-macam abnormality boleh berlaku. Mungkin kita dilahirkan tanpa tangan dan kaki, mungkin kita dilahirkan tanpa penglihatan dan mungkin kita dilahirkan dengan keadaan jantina yang tidak normal. Terlalu banyak kebarangkalian untuk tidak sempurna itu. Namun, Allah telah menjadikan kelahirann  kita dalam keadaan tubuh yang sangat sempurna. Jika kita dapat hayati dengan sebaik-baiknya nikmat itu, mestilah hati akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.

Bersyukur. Adakah hanya dengan kata? Hanya dengan mengucapkan alhamdulillah. Tidak, ia lebih dari itu. Apabila hati betul-betul bersyukur, perasaan itu akan terpancar pada perlakuan. Allah sudah beri segala-galanya pada kita, apakah masih susah lagi diri ini untuk menginfakkan seluruh jiwa, tenaga, harta pada jalanNya? Apakah diri tidak ingin menjadi hamba dan khalifahNya yang terbaik apabila Dia sudah memberikan segalanya yang terbaik untuk kita.

Wahai diri, belajarlah untuk bersyukur, belajarlah untuk berkorban, belajarlah untuk bermujahadah sebagai tanda cintamu dan tanda kesyukuranmu terhadap Tuhan yang satu. Dunia hanyalah sementara, akhirat adalah tempat kembali kita. Apakah diri masih ingin terus berehat-rehat lagi. Tugas untuk memakmurkan bumi Allah itu sangat berat dan perjalanan untuk memenangkan agamaNya masih panjang lagi. Adakan diri terus ingin bermain-main, berehat-rehat?

Wednesday, 1 October 2014

Hajar Ibu Ismail

Hajar..

Kisah seorang anak dan ibu yang ditinggalkan sendirian di suatu tempat yang tandus, tiada bekalan air untuk diminum. Dalam pada itu, mengenangkan anaknya yang kehausan, si ibu berlari-lari anak dari safa ke marwa. 

Dikhabarkan apa kisah di sebaliknya, ibu itu hanya berlari berulang-ulang di kawasan yg sama? Ada yg berkata mungkin kerana fatamorgana. Tertipu dengan fatamorgana ibu tersebut berlari-lari ke tempat yang sama.

Namun, di sebalik semua kisah dalam al quran ada sahaja pengajarannya, tiada satu kalam Allah yang sia-sia. Manusia hidup di dunia ada tugasnya, bukan hanya diciptakan untuk dunia, namun terdapat tujuan hidupnya; sebagai khalifah dan hamba Allah. Sungguh, di sebalik kisah Hajar ini ada pengajarannya. 

Lihatlah betapa dahsyatnya dia berusaha, berlari-lari anak antara safa dan marwa sebanyak tujuh kali dalam keadaan bumi yang tandus. Betapa kuatnya seorang ibu yang baru kelahiran bayi ini. Namun, lihatlah Allah tak mensia-siakan usahanya. Allah terus bagi ganjaran, peroleh air yang melimpah ruah hanya di bawah kaki Ismail. Ajaib bukan, tempat itu kini menjadi tumpuan ramai, air itu masih mengalir tanpa henti.

Berdasarkan kisah ini, kita dapat lihat sesuatu ganjaran itu Allah tidak kurniakan percuma sahaja. Mesti ada benda yg dikorbankan, mesti ada peluh yang dikeluarkan, mesti ada harta yg digunakan dan perlu pada jiwa yang kuat untuk bermujahadah dan mengharap pada Allah sebagai satu-satu penolongnya.

Dan kita dapat lihat juga kadang-kadang bila kita sudah penat berusaha, Allah tetap akan kurniakan ganjaran walau dalam keadaan atau di tempat lain. Jadi, kalau rasa putus asa sebab kita dah betul-betul berusaha kadang-kadang sebenarnya Allah nak simpan something untuk kita di akhirat kelak.

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan dia Maha Perkasa Maha Pengampun.”

Menarik surah al-mulk ayat kedua ini, Alah menerangkan yang sememangnya dia tidak ciptakan kita semua sia-sia dan tidak senang hidup di muka bumi ini. Setiap manusia pasti akan diuji tidak kiralah sama ada musibah ataupun berupa kenikmatan. Tidak beriman seseorang itu selagi mana mereka tidak diuji.

Dan sebenarnya sangat best apabila kita rasa yg kehidupan ini adalah satu ujian supaya kita sentiasa hadapinya dengan baik, dengan cara yang Allah inginkan, dengan amalan yang baik. Dan sebenarnya susah semua ini tanpa dipermudahkan oleh Allah. Doa supaya moga  perkataan, perbuatan, pendengaran, percakapan kita dipandu oleh Allah setiap hari sangat diperlukan.

Kalau dulu saya sangat suka ayat ni:

“Dan adapun orang-orang yang takut dengan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari hawa nafsunya. Maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya.”

( an-naziat:40-41 )

Setiap usaha yang dilakukan sangat memerlukan mujahadah. Bukan senang nak mengorbankan sesuatu, bukan senang nak keluar dari hirom dek kesejukan winter, bukan senang untuk menjadi asing dalam keadaan umat yang tenat ini, bukan senang nak mengorban keseronokan dunia untuk keseronokan dan kebahagian akhirat yang lebih kelak kekal abadi.

Bermujahadah itu sangat susah, kerana syurga itu sangat manis. Dan kemanisan sebenar apabila kita dapat bertemu Allah, tuhan yang menciptakan kita, tuhan yang bagi penglihatan pada kita yang akhirnya membuatkan kte dapat melihat warna-warna alam, salji yang cantik, pelangi yang berwarna-warni, kucing comel, yang memberikan kita nikmat ibu dan bapa yang sangat sayang pada kita. 

Bila mengenangkan betapa sayangnya ibu pada kita, maka sesungguhnya Allah sayang kita lebih dari itu kerana Allah lah yang mengurniakan kasih sayang ibu, Allah lah yang bagi kita keluarga sebegitu.

Supaya kita mendapat syurga teringgi itu, syurga firdaus untuk bertemu Allah, banyak benda yang perlu dikorbankan, dunia hanya sementara, akhirat selama-lamanya. Semoga berjaya mencari redha Allah di dunia ini dan selamat kembali kepada Allah dengan jiwa yang sejahtera. Moga kehidupan kita kehidupan mulia, dan mati kita adalah syahid.