Labels

Coretan hati (24) Tarbiyah Diri (15) nota untuk adik.. (9) in love with medicine? (8) Cerita Hidup (6) DnT (1) tarbiyah (1) thabat (1)
Showing posts with label Cerita Hidup. Show all posts
Showing posts with label Cerita Hidup. Show all posts

Saturday, 2 April 2016

Jaulah Mesir ^^

Seceria Sang Suria dinihari, segemerlip bintang-bintang di langit, jadilah seperti itu kepada manusia-manusia sekeliling. Mereka memerlukan cahayamu. Meski itu hanya sekadar senyuman, jangan pernah hilangkan dari dirimu, kerana tanpa pengetahuanmu, kadang senyuman itu berjaya menyentuh sebuah hati yang dalam kesedihan dan hampir berputus asa dan tatkala melihatmu, dia akan kembali memperoleh semangatnya. Kenapa aku berkata begitu? Kerana jiwa ini pernah merasainya dan dikuatkan hanya dengan satu senyuman ikhlas dari seorang sahabat.

Dan kembali kepada tajuk utama hari ini; Jaulah Mesir. Kenapa aku ingin tuliskan? Menyebarkan nikmat ini, menyebarkan cintaNya ke seluruh bumi. Jika dibelek-belek blog orang lain, tidak terjumpa apa yang aku ingini. Maka hari ini aku menulis supaya orang yang seperti aku berjumpa apa yang dicari.

Jaulah Mesir; Jaulah seorang Daie untuk memperkasakan Tarbawi dan Ruhinya.

Mungkin ini tajuknya selepas apa yang dilalui di sana dengan macam-macam tarbiyah dari Allah. Pada mulanya, hati ingin mendapat semangat-semangat dakwah daripada kisah Nabi Musa dan juga Hassan al Banna. Namun, lain perancangan Allah dan sesungguhnya ini satu perjalanan yang terlalu banyak dugaan, cabaran, ketakutan dan pergantungan yang hebat kepada Allah.

Dan mulaaa...

Dalam Kegelapan Itu

Aku mendaki Gunung Sinai berseorangan dalam kegelapan. Disebabkan ada rakan-rakan se'trip' yang terlalu laju dan ada pula terlalu lambat, maka aku di tengah-tengah. Asalnya, aku punya kawan yang menemani, namun dek kelambatan aku, dia meneruskan pendakian dahulu. Dan tinggal lah diri ini berseorangan dalam kegelapan dek tiada torch light dan phone yang hampir mati.

Situasi dua hari lepas kembali ke ingatan. Sujudku lama ketika itu, pohon agar Allah sampaikan ke tempat yang sangat dirindui itu walau belum pernah jejak. Sungguh, kisah Nabi Musa berkata-kata dengan Allah di muqaddasi Tuwa yang diulang-ulang di dalam al Quran itu sangat menyentuh hati dan membuat diri sangat merindui tempat itu. Trip tiba-tiba dibatalkan lagi. Sudah dua kali mendaftar, tapi kali ini juga dibatalkan last minute. Hampir merancang untuk hanya mengikuti trip lain ke Matrouh Siwa menikmati pemandangan.

Tiba-tiba kawanku berteriak, "Nura, ada satu trip lagi dibuka. Cuba yang ini pula." Berkali-kali hati mengucapkan syukur, keajaiban berlaku lagi. Moga-moga trip ini tidak dibatalkan. Jika tidak, akan banyak lagi masa-masa yang dibazirkan di sini sedang aku punya 9 hari sahaja.

Tiba-tiba, ada orang Arab meminta laluan untuk untanya berjalan. Kembali ke realiti, aku bergerak ke tepi sedikit. Aku terus menyambung perjalanan sambil menikmati pemandangan di langit. Langit dipenuhi dengan berjuta bintang begermilapan. Terlalu indah, tidak mampu digambarkan perasaan hati ketika itu. Sungguh, Allah ciptakan bintang itu untuk kenikmatan hatimu, manusia! Maka kembalikan hatimu pada Tuhan Pencipta seluruh alam itu,

"Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang..."
(al-mulk:5)

Keseorangan di dalam kegelapan. Mungkin ada yang membenci perkara ini dan ada juga segelintir yang menyukai. Siapa yang segelintir itu? Mereka yang tahu dan rasa walau keseorangan tapi sebenarnya berdua bersama Dia; Tuhan yang Maha Melihat dan Mendengar. Dan aku suka begitu, bila aku mampu simpan kata-kata hanya untuk Dia. Penat diri ini yang di siang hari penuh dengan pembicaraan dan pergaulan sesama manusia. Dan kepenatan ini direhatkan dengan berkata-kata denganNya. Seketika bacaan-bacaan al quran yang mengisahkan pendakian nabi Musa dialunkan.

Dan terhenti pada ayat;

Mengapa kamu datang lebih cepat daripada kaummu, wahai Musa?
Berkata Musa:" Itulah mereka sedang menyusuli aku dan aku bersegera kepada- Mu Tuhanku, agar Engkau redha ( kepadaku )".
(Taaha: 83-84)


Aku terus melajukan perjalanan. Seakan diri malu dengan nabi Musa yang bersegera untuk mencari keredhaan Allah. Maka diri ini juga ingin bersegera.

Penat. Maka aku berehat duduk seketika. Hebatnya nabi Musa. Macam mana dia mampu mendaki mendahului yang lain dan terlalu bertenaga? Tentulah disebabkan iradah yang kuat. Kerana dia telah dahulu berkenalan dengan Tuhannya, dan hatinya telah terikat dan tidak mampu lagi diputuskan. Hati yang terlalu rindu itu akan mengarahkan badannya juga untuk bersegera mencapai apa yang dirinduinya juga.

Tuhan, ikhlaskan hati ini untuk terus melaju seikhlas nabi Musa. Biar penat, biar lelah, dia tidak berhenti, bahkan terus mengguna tenaga-tenaga terakhirnya. Laju, laju wahai kaki yang melangkah, sesungguhnya engkau akan bertemu Tuhanmu nanti, tak lama lagi waktu itu.

Bersungguh-sungguhlah, berpenat-penatlah, kerana semua itu dilihat dan dinilai oleh Tuhanmu, moga-moga akan mendapat kasihan dan rahmat dari Tuhanmu, moga-moga akan ditinggikan darjat, moga-moga pertemuan itu akan indah seindah mungkin, moga-moga manusia ini tak datang dalam keadaan dinodai dengan kotoran-kotoran dosa, tapi biarlah disinari dengan keampunan dan rahmat.

Dan akhirnya aku sampai ke kemuncak. Belum masuk waktu Subuh lagi. Lalu aku segera mengambil masa-masa ini untuk berdoa. Kerana di waktu ini Tuhan terlalu dekat dengan manusia,
 
Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah S.A.W berkata, “Tuhan kita turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan menyatakan, ‘Siapa yang berdoa kepadaku, pasti aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku beri, dan sesiapa yang memohon ampun kepadaku, pasti aku ampuni.’”

Lalu azan subuh berkumandang. Wuduk diambil di balik batu dengan menggunakan air di dalam botol yang berbaki. Terlalu indah menunaikan solat di tempat terbuka seperti ini di mana kebesaran dan keagungan Allah mampu dirasai. Dan diri tunduk bersujud sehina-hinanya.

Tak lama lagi matahari akan naik dan pemandangan indah dapat dihayati. Lalu aku mengeluarkan earphone dan memasang bacaan al Quran, surah Tahaa. Salah satu surah yang menceritakan perjalanan hidup nabi Musa ketika mendapat wahyu di Gunung Sinai.

Perasaan ketika itu terlalu indah tak mampu digambarkan. Sayup-sayup suara Misyari Rasyid membacanya.

Dan tiba-tiba waktu seakan terhenti. Ayat itu menguasai hati dan membuatkan air mata deras mengalir. Inikah rahsia surah ini? Rahsia pendakian nabi Musa? Atau kepenatan aku mendaki hanya untuk menghayati ayat ini;

Dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan ( kepadamu ).
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan ( yang hak ) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingat Aku.
(Taaha:13-14)

Dirikan solat untuk mengingati Aku?

Deras lagi air mata mengalir. Allah Maha Mengetahui kekurangan diri. Sudah lama hati ini gersang, sudah lama solat tidak menjadi kekuatan. Disebabkan solat masih lagi belum khusyuk, sempurna, lalu Allah hadiahkan ayat ini untuk memperbaiki hati, diri dan amalan seharian.

Hati mula bermuhasabah.

Wahai diri, sungguh apabila engkau menggelarkan dirimu seorang seorang daie ilallah, maka mengapa hanya mulut bicara, tidak hati? Bagaimana engkau ingin menyeru pada sesuatu yang engkau tidak dekat, adakah selama ini bicaramu itu satu penipuan?

Ingatlah sabda Rasulullah;

“Dijadikan sesuatu yang paling menyenangkan hatiku ada pada saat mengerjakan shalat”

Baginda qudwah teragung menjadikan saat solat ini sebagai perkara yang paling menyenangkan hati dalam hidupnya. Rasulullah sangat mencintai Allah dan sangat menikmati pertemuan denganNya. Namun, apa yang tidak kena dengan hati hamba berdosa ini apabila solat itu kadang dilakukan hanya untuk melengkapkan kewajipan seharian. Solat awal dan berjemaah kadang hanya terasa sebagai satu rutin. Mana hilang roh solat itu? Mana hilang cinta aku ?

Apabila Baginda berkata:
 
“Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat.”
 
Solat satu kerehatan. Kerehatan dari segala permasalahan dunia dan kembali kepada Dia, Pencipta dan tujuan terutama hidup ini. Tunduk pada Dia, memuji dan mengagungkan Tuhan Yang Maha Pengasih, mengadu segala permasalahan yang menyesakkan dan memohon agar dimudahkan.

Dan engkau lalai terhadap solatmu. Apabila engkau mengucapkan "Allahu akhbar", mengatakan bahawa Tuhanmu Maha Besar dari segala permasalahanmu, dari segala nikmat-nikmat yang dikecapi, namun di mana hatimu? Sungguh Allah menyaksikan kejujuran atau pembohongan hatimu.

Matahari mula terbit, sedikit demi sedikit, membiaskan cahaya ke seluruh alam. Subhanallah, pemandangan yang tidak mampu dilakarkan. Terlalu indah mengusik hati. Lantas aku bangun mendekati tebing bersama yang lain.

Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah.
(Al hadid:16)
 

Janjiku padaMu, tidak akan aku palingkan hati ini pada yang lain selain diriMu, wahai Tuhanku.
 
 
 
 

Sunday, 26 July 2015

Kisah Ramadhan Lalu


Lagi dua hari nak raya!! Seronoknya!! (ni situasi waktu jahiliyah dulu. sepatutnya sedih kan kerana ramadhan berlalu pergi)

 Kak Nin, Abang Zul, K Epah dah balik. Yang lain balik malam raya, insyaAllah.
Tapi kan, Abang Ami sepatutnya dah sampai ni. Dia bertolak dua hari lalu. Pelik sangat ni kalau tak sampai lagi.

Tiba-tiba kedengaran deringan telefon. Mak angkat dan tiba-tiba mak lepas gagang telefon tu. Kenapa?

Mak kata itu panggilan dari hospital. Mak kelihatan takut dan menangis. Abah menyambut gagang itu. Abah kelihatan tenang.

Abang Ami dilaporkan menghadapi kemalangan motor dua hari lalu di Ipoh dan Alhamdulillah sekarang dilaporkan sudah stabil. Khabar ini lewat sampai kerana dia tidak sedarkan diri sebelum ini dan dompetnya telah dicuri sewaktu kemalangan menyebabkan tiada pengenalan diri.

Rahangnya patah, kaki dan tangan pun sama berbalut. Raya tanpa dapat menikmati juadah raya.
Alhamdulillah, Allah masih panjangkan usia hingga bertemu Ramadhan yang seterusnya. Moga semakin bertambah usia semakin bertambah amal abang seorang ni.

5 tahun kemudian..

Malam ni sudah masuk Ramadhan ke 19. Masih lagi di sekolah menghadapi trial spm. Paper Maths esok. Rindu rumah sangat-sangat. Entah kenapa kali ini rindunya lain.

Mungkin juga dek stress. Atau mungkin disebabkan dimarahi cikgu tadi. Atau mungkin disebabkan satu-satunya mug pecah tengah hari tadi.

Tiba-tiba kakak saudara datang. Pelik tapi aku tersenyum gembira kerana kedatangannya. Mungkin ingin melawat singgah sebentar kerana dia belajar di university berdekatan.

Namun, lain yang difikir, lain yang terjadi. Dia membawa khabar sedih. Katanya, abahku sudah tiada. Kemalangan di kampung siang hari tadi.

Aku terkejut. Berita ini terlalu ... entah la. Aku seakan tidak dapat menerima. Tiada tangisan. Pelikk. Namun, kaki tidak mampu lagi berpinjak di bumi. Dia, kawan baikku menyambut aku di sisi.
Mereka menyuruh aku berkemas pulang. Kenapa perlu berkemas? Aku pelik. Namun, aku terus menuruti. Lantas, aku seperti tersedar.

Nura, abah dah takde. Sedarlah!! Ketika itu juga air mata deras mengalir. Hati tak habis-habis berbisik, "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha. Nura, beriman lah dengan ayat ini. Allah tak akan uji kau kecuali apa yang engkau mampu je."

Bacaan al quran dialunkan di dalam kereta. Alhamdulillah tenang. Mahu tidur berharap agar semuanya mimpi. Terjaga apabila sudah berada di hadapan rumah. Banyak kereta. Diri berfikir, kenapa terlalu ramai orang ini. Lantas tersedar, ini semua bukanlah mimpi. Hadapi reality, nura..
Sekali lagi, kaki terasa longlai. Kelihatan orang-orang tersayang menangis. Kelihatan tubuh yang diselimuti kain putih. Ketika ini, hanya Allah yang boleh bantu kuatkan diri.

Jenazah akan dikebumikan esok pagi. Bersahur tanpa sedikitpun rasa. Semua berjaga menghabiskan bacaan al Quran untuk abah.

Jenazah abah dibawa pergi. Hati hiba. Namun, apakan daya. Semua kan pinjamanNya. Tapi, berharap dengan keizinan dan rahmatNya semoga bertemu kembali di sana.

Cikgu-cikgu datang bersama rombongan pelajar. Dari jauh mereka datang hingga ke corok kampung sekolah arab ni. Mereka menghadiahkan tahlil. Ramai sangat orang datang. Abah baik orangnyaa.
Bajunya masih bergantung dan bau abah pun masih ada. Seakan keluar sebentar sahaja.

Kereta abah dilanggar lori ketika abah hendak ke pekan beli juadah berbuka. Katanya, kemalangan teruk tapi Allah pelihara sangat. Rupa abah masih bersih dan tenang ketika dikafankan. Abah baru selesai mengazankan dan mengimamkan solat asar di masjid. Dan abah baru sahaja balik dari menunaikan umrah.

Semua menceritakan kebaikan abah. Hati terubat dan kesedihan semakin hilang. Memang Allah lebih sayangkan abah. Tentu abah sudah berbahagia di sana. Tentu abah sudah selesai tanggungjawabnya di muka bumi ini. Kami saksi dia abah yang soleh dan baik dan taat perintah Allah.

Surat khabar keluar berita tentang kemalangan itu. Baik-baik sahaja tulisannya. Walaupun diri tak mampu membaca namun tajuknya menyejukkan hati.

Sambung persekolahan dan peperiksaan. Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Abah, akak dapat straight A's. Mesti abah bangga kan. Abah, akak ambil doctor. Best kalau dapat cerita kat abah. Takpe2 kat syurga boleh bercerita panjang, insyaAllah.

Antara cerita ramadhan yang masih terakam di minda.
Ramadhan bulan ketabahan, kesabaran dan kesyukuran.
Bulan diampukan dosa dan dibuka pintu syurga. Mari kita berdoa bersama. Moga dengan ujian yang sebenarnya merupakan kasih sayangNya ini, akan terus membuatkan hati-hati kita lebih rindu syurgaNya.
 
" Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita "
(al-insyiqaq:7-9)

Jalan Cinta

Kini aku berada di hari terakhir bulan mulia ini.

 Langit dipandang sepi. Tiba-tiba terkenang semula. Tujuh tahun lalu..
Aku mendongak langit. Petang ini rasanya lain. Berbeza dari hari-hari sebelumnya. Sudah berbelas tahun menemui dan meninggalkan bulan mulia ini tanpa erti, tanpa menghayati keistimewaannya yang sangat agung.

...
Alhamdulillah, hari ni Allah bagi peluang untuk tahu. Eh, bukan! Untuk rasa dan hayati kerana tahu itu sudah lama.

Dalam usrah tadi, naqibah kata waktu Ramadhan pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Bayangkanlah, jika kita dapat lihat sendiri pintu-pintu langit itu dibuka, mesti tidak henti-henti kita berdoa untuk memohon rahmat dan kasih sayangNya dan syurga sebagai tempat kembali.
Aku berjalan pulang ke asrama pulang dari masjid; tempat liqa' usrah kami. Buat pertama kali rasa bahagia mengiringi membayangkan pintu langit terbuka untuk aku; hamba yang hina. Hati memohon supaya dikurniakan banyak lagi keindahan seperti ini. Keindahan mengenaliMu dan mendalami kalam-kalamMu.

Di usrah ini aku belajar membaca makna dalam al quran. Lantas, aku beli cepat-cepat terjemahan al quran comel yang dijual kakak itu. Kakak ajar bertadabbur, mengahafal ayat al quran, mendalami sirah. Dia memberi kitab sirah besar untuk kami dalami dan bentangkan.

Namun, tak lama bulatan gembira kami bertahan. Halangan menimpa dan kakak sudah tidak dibenarkan datang kembali ke sekolah kami.

Hati kembali menyepii. Kenapa di dalam kelas tidak seperti ini perasaanya? Bahkan bahannya sama atau mungkin lebih.

Aku rindu pertemuan itu. Dua tahun tanpa pertemuan indah itu lagi. Alhamdulillah, ada kesan-kesan yang ditinggal. Tadabbur al quran itu nikmat dan menghiasi tahun-tahun aku di situ.

Tiba di INTEC, aku diajak ke usrah. Pantas aku terima kerana aku terlalu rindu. Rindu pada perasaan-perasaan dulu yang kini kering. Moga Allah rahmati dan ganjari usaha kakak itu yang mula-mula mengenalkan kami dan memberi rasa keindahan berusrah itu. Kesungguhannya mentarbiyah hati-hati kami yang dahulunya seakan gersang, menghidupkannya dengan ayat-ayat Allah yang indah itu memang takkan dilupakan.

Allah mengatur hidup hamba-hambaNya dengan sebaiknya. Segala puji bagi Allah yang mengenalkan aku pada jalan ini; yang sangat aku cintai dan berharap akan terus ditempuhi hingga ke akhirnya untuk menggapai redhaMu. Jalan ini panjang dan tak senang pun, tapi sungguh makin lama makin cantik.

Sungguh, masa depanku sudah ada, Dia sudah tahu dan sudah rancang sebaiknya.
Moga Allah thabatkan dan tak pisahkan aku lagi dengan jalan indah ini kerana aku yakin ini jalan terbaik ke syurgaNya.

Friday, 9 January 2015

Adik Tersayang

Hari ni sedih. Sedih sebab orang tu sedih. Sedih sebab orang tu tak sihat. Sedih sebab orang tu sunyi.

Selesai solat berjemaah, aku duduk seketika bersembang dengan ibu tersayang.

" Mak bersyukur akak tak dapat ke luar negara, jadi akak tak berjauhan dengan mak. "

Terkejut aku dengan kata-kata mak. Mungkin disebabkan inilah aku tidak diterima untuk menyambung bidang perubatan di timur tengah. Disebabkan aku tidak dapat keredhaan mak untuk berjauhan dengannya. 

Abah baru sahaja meninggalkan kami di dunia Ramadhan lepas disebabkan kemalangan jalan raya. Mungkin belum habis kesedihan dan kesunyian mak. Ditambah pula dengan adik yang sakit. Sakitnya long life disease, relapse remitting. Jika adik sihat, mak gembira. Jika adik sakit, kelihatan mak turut berduka tapi makin lama mak makin kuat, sudah tidak nampak tangisan lagi padanya.

Keinginanku untuk ke luar negara sangat memuncak. Aku ingin berubah dan aku sedar di sana aku akan dapatinya. Lihatlah sahaja lepasan luar negara, kebanyakannya faham agama, bahkan lebih hebat daripada ustaz ustazah. Aku baca novel yang menceritakan suasana di sana. Aku sudah mula rindukan tarbiyah di sana walaupun belum menjejakkan kaki ini lagi.

Aku terus memujuk mak. Walaupun pahit untuk meninggalkan mak dan adik, aku terus nekad untuk tetap ke sana kerana aku yakin di sana aku boleh jadi lebih hebat dan faham agama berbanding jika aku belajar di Malaysia. Dan kerana aku sayang Allah lagi. Jika ditanya, apakah pegorbanan terbesar aku sepanjang hidup ini unutk Allah, aku akan jawab aku tinggalkan mak dan adik demiMu.

Aku kata pada mak,
" Akak janji akan belajar betul-betul, nak hafal al Quran supaya nanti dapat bagi syafaat kat mak dan abah. Nak bersama dengan mak di akhirat nanti. "

Mak seakan meredhai. 

Aku bersiap sedia untuk memasuki PASUM untuk menyambung bidang Sains Sosial. Barang semua telah siap dikemas. Tiba-tiba dapat panggilan telefon. Seorang pegawai MARA menyatakan bahawa rayuan diterima untuk ke timur tengah. Alhamdulillah, keajaiban datang.

Kini, aku di sini. Aku berpuas hati. Aku mula mengenal tarbiyah dan makin dekat dengan pencipta diri ini. Namun, ujian datang dan pergi. Medic bukan ujian besar untukku walaupun itu ujian untuk ramai orang. Apa yang selalu aku risaukan adalah mak dan adikku.

Adik sakit lagi. Aku gelisah lagi. Risau dengan keadaan mereka berdua di rumah. Aku tidak dapat belajar dengan baik walaupun exam hanya seminggu cuma. Aku terus-terusan menangis, tidak mampu melakukan apa-apa.

Liqa' usrah kali ini sama seperti minggu lepas. Tidak ada apa-apa yang memasuki fikiran. Seakan ada cermin di hati yang memantulkannya semula. Semua yang aku lakukan tidak ada hatinya. Aku sedih, tersangat sedih dengan keadaan diri.

Hinggalah pada satu hari aku menangis pada murobbi. Dia sangat memahami. Selepas itu, aku belajar untuk redha dengan segala ujian, aku belajar bertawakkal dengan sebaiknya.

Aku yakin adik aku Allah terlalu sayang dia. Terlalu banyak dugaan dilaluinya, Hidup kami bagai langit dan bumi. Aku peroleh segala-galanya dari kecil sampailah besar. Namun, banyak ujian yang sentiasa melandanya.

Aku terlalu sayang dia. Suatu hari dia terpaksa dimasukkan ke dalam high dependency ward kerana immune badan yang rendah. Hanya seorang yang dapat menemaninya ketika itu dan tanpa aku sangka dia memilih aku untuk menemaninya. Aku terharu dan ingin terus menjaganya. Moga Allah bagi kami peluang untuk terus bermesra di syurganya nanti.

Wahai adik, sesungguhnya di syurga nanti bahagia, tiada sakit-sakit lagi. Di sana kita dapat bersama dengan seluruh ahli keluarga jika kita sama-sama beriman.
Harap kita dapat berjumpa di sana dan teruslah bermujahadah untuk menjadikan Allah tujuan utama hidup di muka bumi. Moga Allah ganjarkan adiik syurga atas segala ujian yang menimpa.

Uhibbuki fillah..

Aku dan Al Quran

Sungguh, hati ini sunyi. Cuti sudah berlalu hampir 3 minggu. Namun, kurasakan kosong diri ini. Cuti tidak dimanfaatkan pun untuk menambah pengetahuan, menambahkan amal, membasahkan hati, bekerja atau menulis pun. Masa banyak terbuang.


Alhamdulillah satu hari aku ditawarkan oleh seorang ukhti untuk sama-sama mengulang kembali hafalan al quran yang sudah banyak dilupakan. Dia menjadi sheikhoh yang akan memperbetulkan bacaan aku.

"Awak tak lancar ni. Jadi, awak kene ulang hafalan ini dalam solat sunat awak sebanyak 5 kali."
"Awak tak lancar juzuk ni, jadi awak kene baca juzuk ni dalam qiyam awak esok."

Macam-macam denda yang dikenakan. Baru aku tahu ini kehidupan orang yang menghafal al quran. Patutlah selama ini hafalan aku tidak lekat di ingatan lama. Itu adalah kerana aku tidak mengulang dengan bersungguh-sungguh.

Sampai satu masa aku perlu habiskan hafalan juzuk 29 pada petang itu. Aku pada mulanya sangat yakin dengan hafalan juzuk ini. Jadi aku lambat-lambatkan mengulangnya. Tiba-tiba hanya 5 jam lagi sebelum tasmi3. Aku kelam kabut membuka al quran dan menghafalnya. Aku tersekat di surah Jinn. Susah untuk menghafalnya. Hampir 2 jam aku menghabiskan masa untuk menghafalnya. Macam mana dengan baki surah yang masih belum terhafal.

Aku stress, aku jadi tertekan dengan hafalan ini. Aku seperti tidak dapat accomplish tugas hari ini. Aku tidak tahu apa perlu dilakukan tapi aku tak mampu. Aku penat, aku tahu mustahil aku dapat habiskan semua hafalan sebelum tasmi3.

Aku terduduk di sofa rumah. Mereka sedang solat berjemaah. Aku mengambil keputusan untuk berehat sebentar sambil mendengar bacaan solat imam.

Sedap imam mengalunkan surah al qiyamah, sampailah tiba di satu ayat;

" Janganlah engkau (wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).

Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);"

(al qiyamah:16-17)

Air mata menitis. Allah sedang berbicara denganku, sedang memujukku. Entah kenapa hati ini terlalu sebak, dirasakan sudah lama tidak berhubung dengan Allah. Allah sentiasa ada bersama kita, cuma kita manusia selalu lupa. 

Mungkin ini kenangan termanis untuk cuti kali ini. Segala puji bagi Allah yang memaniskan hidup ini dengan cintaNya.



Jika hamba-Ku mendekati-Ku satu jengkal 
maka Aku akan mendekatinya satu hasta, 
dan jika dia mendekati-Ku satu hasta
 Aku akan mendekatinya satu depa. 
Jika dia datang pada-Ku dengan berjalan maka 
Aku akan mendatanginya dengan berlari .

(HR. Bukhari - Hadits Qudsi)

Thursday, 21 August 2014

Allah Pilih Aku



Allah pilih Aku..
Aku seorang manusia biasa yang aku rasa tiada kelebihan sedikit pun pada diri ini. Aku seorang penakut, suka bersendirian, aku tak fasih berbahasa inggeris, arab apatah lagi. Kalau di sekolah dulu aku hanya mampu menjadi pelajar yang bagus dari segi akademiknya tetapi tidak aktif pun dalam bersukan dan berpersatuan. Cemburu melihat rakan-rakan yang pandai berbicara, ramah dengan cikgu sehinggakan cikgu sangat sayang pada mereka. 

Suatu hari aku belajar mengenai definisi introvert dan extrovert. Memang selama-lamakah aku akan menjadi introvert ini? Bukanlah introvert ini negative, tetapi aku rasa sangat terasing, dipinggirkan dan rasa tidak berharga pun pada masyarakat. Seorang yang tidak memiliki keyakinan langsung pada diri, tidak pernah menyertai public speaking, bercerita, forum, apatah lagi perbahasan yang memang tidak langsung aku minati. Kadang, aku terasa loser. Suara pun sangat susah didengari orang, sampaikan aku disuruh menguatkan suara berkali-kali jika disuruh baca oleh guru-guru. 

Berurusan dengan masyarakat perkara yang aku paling tidak disukai, walaupun hanya di telefon, aku amat segan, bukan pemalu kata kakak aku, tetapi penakut. Sampai bilakah aku akan jadi begini? Bagaimana mahu berurusan dengan orang lain, mampukah aku menyumbang pada masyarakat? 

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk meneruskan pelajaran di SMKA biasa. Alhamdulillah aku beroleh keputusan cemerlang dalam PMR dan ditawarkan untuk menyambung di SBPI. Pada mulanya, aku sangat seronok untuk meneruskan pelajaran di sana, namun bila memikirkan yang betapa susahnya abah dan mak aku hantar  atau melawat aku di sekolah ini yang sebenarnya senegeri sahaja dengan kampung, apatah lagi ingin menghantar aku ke sekolah yang lebih jauh dan berlainan negeri. Tidak rela aku menyusahkan mereka lebih dari itu. Kalau mereka datang ke sini pun tidak senang hati aku mengenangkan betapa bahayanya dan mahalnya perbelanjaan ke sini, apatah lagi jika jauh dari itu.
Alhamdulillah setelah bersolat istikharah, Allah menguatkan hati ini untuk terus kekal di sini. Aku terus menghubungi abah. 

“ Abah, kami nak terus stay di sini, boleh tak?” jawapan aku kepada abah.


 “ Betul ke? Sayang tak masuk sekolah asrama penuh.”


“ Tak pe je. Tengok la abah, sini pun kami boleh dapat straight A’s insyaAllah.” Abah tidak berkata apa, hanya menuruti permintaan aku. 

Kawan-kawan yang cemerlang mula meninggalkan sekolah. Result pertengahan tahun ditampal di dinding. Hanya aku seorang mendapat straight A’s. Hal ini berterusan hingga ke ujian topikal dan seterusnya. Aku tidak berguna pada mereka, malu untuk berkongsi ilmu dengan mereka. Berjaya sendiri tanpa memperdulikan rakan-rakan. Bukan tidak peduli, namun aku malu untuk berkata-kata, berbincang dan mengajar mereka. Aku perlu kikis sifat pemalu yang terlampau ini. Aku mula memerhatikan bagaimana guru-guru yang aku minati mengajar, kawan-kawan yang hebat berkata-kata membuat pembentangan di dalam kelas dan aku menguasai ilmu dalam kelas itu betul-betul untuk aku ajarkan pada kawan-kawan nanti. 

Alhamdulillah sifat malu dapat diatasi, aku mampu mengadakan kelas tambahan di bilik persediaan asrama, mampu berkata-kata di khalayak ramai, perubahan yang drastik aku rasakan. Aku sangat seronok apabila dapat berkongsi dengan rakan-rakan dan bersama-sama mendapat keputusan peperiksaan yang baik. 

Allah pilih aku,
Berita kematian abah pada malam peperiksaan percubaan itu amat mengejutkan. Abah kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kesedihan tidak mapu ditahan, namun ini adalah ujian.

Petikan buku ‘Di Mana Dia di Hatiku’ tulisan Ustaz Pahrol. 

“Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!


Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..


Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu.”

Mungkin ini tulisan untuk isteri yang kehilangan suaminya. Namun, rangkap-rangkap itu sangat terkesan di jiwaku. Ya, doa anak-anak yang soleh dan solehahlah menjadi bekalan untuk bapaku dan aku ingin menjadi anak yang solehah itu.

Jenazah dah selamat dikebumikan, ramai sangat yang hadir. Arwah memang sangat baik dan menjaga silaturrahim dengan sahabatnya. Moga aku menunaikan hak sebagai anak dan terus menyambung silaturrahim dengan sahabatnya.

Allah pilih aku,
Aku mendapat straight A’s lagi dalam peperiksaan SPM. Terkilan tidak dapat menunjukkan keputusan ini pada abah. Kalau lah abah ada lagi, mesti dia amat berbangga dengan aku. Janji tertunai, moga abah bahagia di sana.

Kini, masa untuk aku memilih kerjaya dalam hidup. Memori terimbau kembali.

“ Akak , nanti aku Form 4, hang nak aku ambik apa?”. Aku bersembang dengan kakak aku sambil melontar kerikil batu ke arah permukaan tasik, dan gelombang terbentuk, cantik.


“ Hang ambik la Science, nanti boleh jadi doctor, kesian Mimi tu nanti bila dah besar macam mana nak sambung rawatan dia kalau dalam keluarga kita takde doktor. Tapi hang kene operate katak la nanti. Gelinya..”


Aku mencuit  lengan kakak aku. “  Eii, gelinya, hang ni suka usik aku. Tapi aku nak ambik akaun, aku minat sangat akaun, siap selalu dapat full mark masa ambik perdagangan dulu. Hebat  tak aku. Nanti kalau aku ambik akaun, boleh kita buka audit firm keluarga. Aku bos, hampa semua jadi pekerja aku, kaya kita nanti. ” Kata-kata ini berakhir dengan gelak tawa kami berdua.

Namun, itu dulu, keadaan sekarang sudah tidak mengizinkan. Aku menanda bidang perubatan timur tengah pada borang biasiswa JPA itu.

Jika dibicarakan mengenai cita-cita, tidak pernah tercetus di benak hatiku untuk menjadi doktor.  Mungkin kerana aku sememangnya suka bersendiri dan jauh sekali ingin bersosial dengan ramai orang, aku tidak menyukai profesion kedoktoran ini.

Terngiang-ngiang pesanan terakhir dari abah. Ketika itu aku bersama akak di dalam kereta, dalam perjalanan menghantar ku balik asrama.

“ Nanti hampa berdua  jagalah adik elok-elok. Dia sakit tu sebenarnya, bukan saja-saja je dia garang dengan hampa. Jagalah adik bila abah dah takde nanti.”

Aku kembali ke realiti. Susah sebenarnya amanah abah ni. Bila difikirkan betul jugak kata abah tu, garang sebab sakit, depression agaknya. Pandai abah aku ni, belajar agama tetapi di rak bukunya buku perubatan pun ada. Hebat sungguh si pencinta ilmu ni, memang role model yang sangat best.
Mana tahu, kan ada ayat Allah,


“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah. Al Baqarah:216)

Mungkin ini terbaik bagiku.

Allah pilih aku,
Aku ditawarkan menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Jordan University of Science and Technology. Walaupun pada mulanya aku menyangka tidak berjaya memperolehnya dan sudah siap sedia pun memasuki Universiti Malaya, PASUM, asasi dalam bidang sains sosial, namun Allah pilih aku untuk menyambung pelajaran di bumi Jordan. Walaupun, pada awalnya mak agak keberatan untuk melepaskan anak yang dicintainya pergi, namun apabila difikirkan masa depan anak ini di dunia dan akhirat, redha juga ibu ini. 

Allah pilih aku,
Allah memilih aku untuk mengenali tarbiyah di bumi Jordan ini. Aku menghadiri program yang membicarakan kembali sejarah umat Islam terdahulu. Sudah hampir dua bulan aku di bumi Jordan ini. Sangkaan aku ingin berubah menjadi lebih baik di sini, namun internet yang laju lebih menarik aku. Aku tersangkut dengan cerita-cerita korea yang sangat melalaikan sampai satu masa aku hanya berhenti untuk solat sahaja, dan terus menyambung menonton cerita itu tanpa henti. 

Aku bayangkan bila datang ke sini, aku akan berubah, bahkan dirasakan makin teruk. Selain usrah, aku hanya belajar sedikit-sedikit dan membuang masa dengan banyak. Culture shock agaknya, di rumah dahulu tidak pernah pun dipasangkan internet, sampaikan isi borang universiti pun di cyber cafĂ©. 

Namun, hari ini aku merasakan Allah betul-betul memilih aku untuk mendengar segala cerita yang disembunyikan ini. Bagaimana sistem pembelajaran di Malaysia menutup mata kita, orang Islam untuk memandang sejarah ini. Sebenarnya, masyarakat Malaysia kini bukan semakin maju, bahkan lebih mundur dari segi akhlaknya dan sosialnya. 

Dahsyatnya, orang kafir menyerang kita dengan perang-perang pemikiran seperti hiburan, bola sepak dan sebagainya sehingga menyebabkan umat Islam kini lalai dan tidak sedar pun akan kejatuhan Islam dan kesengsaraan saudara seIslam di luar sana. Apakah kita hendak berhibur, sedangkan saudara di Syria dan Palestin sedang berjuang berhabis-habisan. Apakah kita ingin duduk diam apabila mengenangkan yang di akhirat kelak, jika salah seorang budak Palestin itu bertanya, ketika aku sedang berjuang untuk mempertahankan tanah Islam ini, apa yang kau buat. Berhibur? Mengagungkan orang-orang yang menghancurkan Islam? Atau duduk diam sahaja? Gerun bila memikirkan keadaan itu. 

Jika dahulunya Islam bermula dengan seorang, iaitu nabi Muhammad s.a.w sendiri sehingga akhirnya terbinalah qaedah-qaedah sulbah yang kuat dan kental iman dan akidah mereka. Dengan menghantar seorang daripadanya iaitu Mus’ab bin Umair yang mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk menyebarkan dan mengajarkan penduduk Yathrib mengenai Islam, maka terbinalah daulah Islamiyah yang pertama. Ditukarkan nama kepada Madinah al-Munawwarah yang pada ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w sangat aman dan damai sehinggakan hanya beberapa kes zina dan mencuri yang berlaku yang itupun untuk kita mengetahui hukum-hukum hudud yang berkaitan dengannya. 

Suatu masa dulu Islam pernah menakluki dua pertiga dunia, pernah menjadi ustaziatul ‘alam di mana ketika itu Islamlah yang paling berkuasa, menjadi rujukan dan kebanggaan. 

Sehinggalah pada tahun 1924, di saat khalifah digulingkan, ke manakah umat Islam ketika itu? Jika negara-negara Arab sendiri yang melancarkan peperangan terhahadap Turki Uthmaniyah ketika itu, siapa lagi yang akan menegakkan Islam jika kita berperang sesama sendiri? Sehingga kini, Revolusi Arab itu dibanggakan. Lihatlah di wang Jordan dinar, gambar Arab Revolt itu dibangga-banggakan yang kononnya adalah kemerdekakaan mereka. Tidak sedarkah yang kini umat Islam terseksa, dek tiadanya khalifah yang menyatukan seluruh umat Islam? 

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Aku membina azam, biarlah hari ini menjadi turning point untuk aku berubah. Aku yakin akulah logam itu yang mampu menyumbang untuk Islam tercinta ini jika memahami Islam ini dengan hati. Moga langkah ini sentiasa bersama Allah.

Allah pilih aku,
Aku sampai ke Istanbul yang pernah satu masa dahulu digelar Kota Konstantinople. Cantik negara ini, banyak kelihatan menara-menara masjid mencecah awan. Namun, tidak nampak kesan ketamadunan Islam yang sangat hebat suatu ketika dahulu di negara ini. Aurat tidak dijaga, maksiat berlaku di merata-rata. Manakah Turki Uthmaniyah yang dahulu?

Betapa dahsyatnya penangan sekularism yang dibawa oleh Kamal Atarturk  sehinggakan rakyat-rakyat Turki yang merupakan keturunan Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya ini, kini sudah tidak nampak keislaman mereka. Aku mula merasa tanggungjawab dan beban dakwah itu di atas bahuku. 

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk menyertai usrah, yang sentiasa mengingatkan aku padaNya. Ahli usrah aku rasakan macam ahli keluarga aku di Jordan ini. Kami saling mengingatkan tentang Allah, saling memberi sokongan dan dorongan, menjadi peneman dan aku sangat cinta mereka dan terutamanya tarbiyyah ini. 

Hidup tidak lagi dirasakan kosong. Manakan tidak, tugas kita sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini sangatlah besar. Pesanan Imam Hasan al Banna,

 “Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.”

 Kata-kata seorang ukhti yang disegani menjentik hati. 

“ Matlamat hidup kita adalah sebagai hamba dan khalifah. Bayangkan kalau kita letak matlamat hidup kita untuk menjadi doktor dan sebagainya, dan kalaulah kita mati di pertengahan jalan, maka sia-sialah hidup kita.” 

Kini, aku sedar yang doktor, peperiksaan, harta, pangkat dan segalanya yang berharga di muka bumi ini bukan benda yang patut aku kejar bermati-matian. Namun, segalanya adalah alat yang perlu aku gunakan untuk mencapai matlamat hidup itu. 

Allah pilih aku,
Akademik aku di sini agak stabil dan alhamdulillah aku beroleh anugerah dekan semasa berada di tahun satu. Minat aku letak tepi dan bidang akademik dan pembelajaran ini memang sangat aku minati. Aku sangat suka proses pembelajaran ini dan kemudian mengajar orang lain.

Allah pilih aku bersama dalam batch DOME. Batch yang aku rasakan kuat ikatan ukhwahnya dan tinggi cita-citanya. Kami pernah merancang untuk menjadi doktor muslim bersama-sama dan ingin mendirikan sebuah hospital swasta yang menekankan syariah Islam dan sebagainya. Dan ini aku rasakan tidak mustahil apabila melihat potensi dan semangat rakan-rakan.

Namun, dalam melalui pembelajaran bersama-sama, ada yang kecundang dan ada yang terus berlari. Aku belajar mengenai semangat bekerjasama sebagai sebuah team, bukan menjadikan teman sebagai pesaing. Aku cuba membantu sedaya-upaya, apa yang aku mampu. Namun, aku seorang hamba yang lemah juga, walaupun aku sangat sayang pada rakan-rakan dan ingin meneruskan perjuangan bersama-sama, aku tidak dapat melawan takdir. Ada yang perlu mengulang tahun dan ada yang pulang ke Malaysia. 

Namun, mereka ini kuat, masih meneruskan perjalanan ini bersungguh-sungguh. Moga kita terus berlari dan bersama-sama sampai ke garisan penamat itu dan agar setiap usaha ini dinilai Allah.
Di sini aku belajar mengenai bersyukur dan berkongsi.

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."”

(Ibrahim:7)

Kata seorang sahabat,

“Kita bersyukur apabila kita berkongsi dengan orang nikmat dan kelebihan yang kita ada. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan dan jika kelebihan itu kita kongsi bersama, nescaya mereka pula akan membantu top up kan kelemahan kita akan kita suatu hari nanti.”

Kalau kita bersyukur, dan berkongsi dengan orang, Allah janji Allah akan tambahkan lagi, bukan kurangkan. Di sinilah dan dalam batch inilah aku belajar mengenai semangat team ini.

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk mengambil jurusan perubatan ini. Sebuah program yang dianjurkan Majlis Mahasiswa JUST, salah seorang panelnya berkata;

“Tahukan anda semua yang manusia ini berada dalam ego-deficient condition apabila mereka sakit. Masa itulah yang kita boleh membawa mereka pada Allah, mengajak mereka kembali memperhambakan diri pada yang Maha Esa.” 

Aku rasa istimewa. Ya, inilah alat aku, sebagai doktor untuk aku gunakan untuk terus menyebarkan Islam. Moga Allah redha dengan pilihan ini dan sentiasa bersama dalam langkahku. 

Petikan dari syarah hadith 40 Imam An-Nawawi, Hadis 7;
Beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. berkata:

 “Demi Dia yang memegang jiwaku dalam genggamanNya jika kamu mahu akan bersumpah untuk kamu dengan nama Allah: sesungguhnya hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah adalah mereka yang menyebabkan para hamba mencintai Allah dan menyebabkan Allah mencintai para hambaNya dan bergerak di atas muka bumi dengan melaksanakan tugas nasihat ini.”

Allah pilih aku,
Ada kemalangan di hadapan tu, apa aku boleh buat ni. Kelihatan dua badan terjelopok dilumuri darah. Malangnya, tiada satu kereta pun yang berhenti, aku sangat kesal kerana aku tidak mampu tolong apa-apa. 

Teringat lagi cerita dari kawan-kawan abah, ketika kemalangan itu, abah dah tersepit di bawah trailer. Ada sebuah ambulans yang juga berkejar ke tempat lain berhenti seketika dan seorang darinya turun membantu abah mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir. Aku nak balas jasa orang itu dan ingin membantu orang lain pula. Kalau tidak mampu membantu menyelamatkan nyawanya, at least membantunya mengucap pun sudah cukup. 

Minat pada bidang perubatan pun makin bertambah. Ciri-ciri seorang doktor pun makin menyerlah. Alhamdulillah, aku bersyukur pada Allah atas segala nikmat dan mempermudahkan aku di jalan ini. Moga Allah terus kuatkan aku untuk mencapai redhaNya melalui bidang ini.

Allah pilih aku,
Kata-kata sheikhah sebentar tadi menusuk hatiku. Sepanjang kelas tadi bergenang air mata ini. Buat pertama kalinya aku berasa diri ini amat berharga. Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian sehinggakan malaikat pun diarah Allah untuk sujud pada nabi Adam, manusia pertama yang diciptakan.

Aku baru tahu yang Allah sebenarnya sangat sayang pada hamba-hambanya. Jika dahulu aku sering diperingatkan untuk sentiasa takut kepada Allah, namun aku tidak pernah tahu mengenai cinta Allah kepada manusia. Cukuplah asmaul husna dan nikmat-nikmat yang dikurniakan menjadi bukti cinta Allah kepada kita. 


‘Dalam perjalanannya kepada Allah Azza Wa Jalla , qalbu itu bagaikan seekor burung. Cinta adalah kepalanya, takut dan harap adalah dua sayapnya. Bila kepala dan dua sayapnya sihat , tentu burung itu akan baik terbangnya; bila kepalanya terpotong , tentu ia akan mati.’

Sesungguhnya tiada yang lain hanya Allah yang memilih aku untuk memiliki perasaan ini. Allah sangat sayang hamba-hambanya dan rahsia untuk seorang hamba itu mencintai Khaliknya apabila mengetahui betapa Allah cinta pada makhluknya. Moga aku beristiqamah dengannya.

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk berada di Jordan. Bumi anbiya’, bumi yang pernah dijejaki Rasulullah tercinta, bumi yang pernah dijejaki para sahabat untuk menyebarkan dakwah dan meluaskan jajahan Islam, bumi yang banyak terkandung dalam al-Quran.

Di sinilah tempat di mana gua yang ashabul kahfi tinggal. Dikatakan inilah 7 pemuda yang sangat beriman pada Allah dan kuat akidahnya sehingga mereka lari meninggalkan kekayaan dan keselesaan untuk memelihara akidah mereka.

Di sini jugalah tempat terletaknya laut mati yang dikatakan kawasan kaum nabi Luth diazab dengan dahsyatnya akibat maksiat homoseksual yang dilakukan mereka. Di sini jugalah terdapatnya Petra yang dikatakan tempat kaum Sadam dikenakan azab akibat melanggar perintah Allah.

Di sini jugalah tempat berlakunya dua peperangan besar; perang Yarmouk dan perang Mu’tah. Di sini jugalah terletak makam-makam sahabat yang hebat seperti Muaz bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah, Syurahbil bin Hasanah, Amru bin Abi Waqas, Abdullah bin Rawahah, Jaafar bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah.

Di sini bumi kuda-kuda dan tentera-tentera hebat berlari untuk berjihad dan syahid di jalan Allah. Makam-makam sahabat yang dilawati itu sangat berbau harum menandakan yang betapa bahagia mereka di sana. Mereka syahid dalam menyebarkan Islam, kematian itu menandakan selesainya tugas mereka di dunia ini. Allah telah redha dengan segala perbuatan mereka. 

Allah pilih aku untuk meneruskan pelajaran di sini dalam bidang perubatan. Moga semangat para sahabat dahulu aku contohi dan moga aku dapat meneruskan dan menyambung perjuangan itu.


Kenapa aku rasa dipilih Allah?
Kerana perjalanan hidup ini memang diatur Allah dan semua bukan kebetulan. Ramai lagi di luar sana tidak merasai apa yang Allah pilih aku untuk rasa. Moga aku terus dipilih Allah untuk memenangkan Islam di muka bumi ini kerana memang Allah sudah menetapkan yang sejarah akan kembali berulang. Islam pasti akan kembali ke puncak yang tertinggi, namun sama ada aku menjadi salah satu dari yang memenangkannya atau sekadar melihat kemenangan itu, itulah bezanya.
Aku tidak sempurna, walaupun terlalu banyak yang aku ketahui sekarang, aku masih banyak kekurangan. Aku mahu berubah dan moga perjalanan ke arah perubahan ini sentiasa  dalam linkungan pemeliharaan Allah.

Perubahan dan mujahadah itu sememangnya sangat susah kerana syurga itu sangat manis. Namun, aku akan mencuba untuk terus menjadi hamba yang terbaik. Dalam perjalanan, akan banyak rintangan dan ujian yang hikmahnya menjadikan aku lebih baik daripada sebelumnya. Moga redha Allah mengiringi perjalanan ini.

( Sepatutnya cerita ini dikirimkan untuk diterbitkan dalam medicine for soul, tp takde rezeki, jadi post di blog je la ^.^ )