Monday, 12 September 2016

Bestnya Jadi Murabbi

Malam itu selepas selesai liqa' usrah bersama adik-adik, aku terus bergegas ke rumah murabbiku yang berdekatan,

"Akak, bestnya jadi murabbi. Kenapa baru sekarang saya tahu. Kalau dari dulu lagi sudah tahu, takkan saya sia-siakan umur ini tanpa nikmat itu."

20 tahun berlalu, baru kini aku buka hati untuk berkenalan dan bergaul dengan junior-junior, mereka yang lebih muda daripadaku. Ini pun selepas menerima tanggungjawab berat.

"Selesai sudah kisah Habib an Najar. Sekarang, akak nak cakap something. Untuk menegakkan Islam ini, kita perlu jundi-jundi persis seperti Habib an Najjar, yang once dia tahu kebenaran, lalu bersegera untuk menyampaikan. Dan kita tahu dalam tarbiyah kita juga sangat perlukan pewaris-pewaris  yang akan menyambung rantaian dakwah ini. Semua orang cuba tutup mata dan ambil masa berfikir dan berbicara dengan Allah sejauh mana kita ingin menjadi satu. Dan akak nak bertanya, siapa di sini sudi menjadi murabbi? Tiada paksaan dan siapa yang sudi boleh mengangkat tangan."

Tanpa ragu aku mengangkat tangan. Kenapa tidak? Tiada alasan untuk aku menolak. Kerana jalan ini terlalu banyak mengubah aku, seluruh hidup seorang aku. Adakah aku ingin menyimpan nikmat ini seorang . Tidak sama sekali, aku tidak ingin menjadi hamba yang mengingkar nikmat. Atas keindahan dan kenikmatan hidup yang Allah beri ini, jadi mengapa perlu bersembunyi, bahkan berjual belilah dengan Allah. Allah bagi aku nyawa, harta, tenaga, masa, kekuatan dan yang paling besar nikmat iman dan islam, mengapa aku tak gunakan semua demi agamaNya. Sudah tentu aku ingin banyak lagi muslim yang sedar akan matlamat hidup, akan agama suci yang menuntut lahirnya lebih banyak lagi individu-individu muslim.

Dan jika aku menjadi salah satu wasilah Allah untuk menyampaikan hidayah kepada mereka, mengapa perlu ragu? Dan jika tugas ini untuk memuliakan aku, mengapa menolak? Dan jika seorang murabbi itu merupakan pewaris dakwah para rasul dan sahabat, adakah aku ingin memutuskan? Dan jika kerja ini bakal mendekatkan aku dengan Sang Pencipta, apa lagi yang aku inginkan selain itu?

Dan akan aku simpan kemas-kemas detik permulaan yang mengubah hidup aku sepenuhnya ini.

Dan ujian itu bermula. Satu-satu perkara yang aku benci untuk lakukan, aku perlu harungi.

"Bencinya buat benda ni. Tolong la, aku bukan kenal adik-adik ni pun. Kenapa perlu bertegur sapa pulak? Malu lahhh. Gaya syok sendiri pulak. Tengok la tu diorang bukan balas pun.."

Itu lah aku, mungkin dulu terlalu sombong, sehingga dengan junior tidak pernah bersembang apatah lagi memulakan perkenalan. Bagi aku, kenapa yang tua perlu memulakan, junior yang memerlukan pertolongan la yang meminta. Dan kini sebaliknya perlu dilakukan. Benci benci. Sudah la aku seorang yang tak suka bercakap, lebih suka menyendiri dan berbuat kerja berseorangan.

Kadang, hati ini meronta untuk menarik diri. Tapi aku punya pegangan sendiri. Tidak suka kalau ada kerja yang aku tidak selesaikan sehabis baik. Untuk pertama kalinya aku rasa ingin berputus asa. Sehinggalah...

"Akak, terima kasih contact saya. Akak, macam mana keadaan kat sana ye? etc..."

Akhirnya mesej itu berbalas. Berbunga hati, seakan nampak cerahnya jalan selepas ini. Kami berbalas mesej, seronoknya seakan mempunyai kekasih. Sehingga mereka sampai di sini.

Rupanya adik yang dimesej dulu tidak ingat pun akan nama kakak yang menghantar mesej ini. Dan dikurniakan beberapa mantee untuk diuruskan secara teknikal. Apalagi aku mengambil peluang sepenuhnya untuk berkenalan sebaiknya, bukankah langkah pertama dalam dakwah fardhiyah adalah tautan hati. Sehingga adik-adik ini sangat terikat denganku, setiap pertanyaan di benak semuanya ditanya padaku.

Diringkaskan cerita, akhirnya tiga orang adik sudi berusrah denganku. Tapi sungguh, ceritanya tak seringkas itu. Pertama kali aku berasa sepenat itu, perlu mengorbankan segala kerehatan cuti, sebanyak-banyak harta, dan perasaan terutamanya. Sungguh, susah untuk menukar seorang nura yang pendiam, tak suka bergaul, ego kepada seorang yang peramah, humble, sweet dan segala-galanya. Tak tipu sepanjang perjalanan itu, banyak kali ingin berputus asa menarik diri. Dan ketika itu tiada sang murabbi yang sering menguatkan dan sahabat-sahabat seusrah yang lain. Lalu kepada Dialah aku cerita segalanya, aku mohon kekuatan. Dan sehingga kini, detik inilah yang aku rindu. Sungguh aku kuat hanya keranaNya.

Satu hari ketika badanku terlalu penat dan menagih rehat, aku pasangkan satu ceramah daripada Tawfique Chowdry, tafsir surah al qalam. Dan tiba pada ayat ini,

Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. (al qalam: 48)

Dan katanya, pada ayat ini Allah mengarahkan nabi Muhammad bersabar. Seolah memujuk untuk bersabar sekejap je lagi, tak lama lagi pasti ada cahaya.  Bersabarlah kerana Allah, jangan pernah berputus asa walau sebentar. Jangan berputus asa terhadap mad'u sebagaimana nabi Yunus pernah berputus asa pada kaumnya.

Dan kerana pujukan itu, nabi Muhammad tidak berputus asa terhadap kaumnya dan kerana itu aku menerima nikmat Islam dan iman ini. Dan kerana pujukan Allah yang ini, seakan ada semangat  baru menguasai diri. Aku lantas bangun, bangkit semula dari kelelahan. Buang segala kepenatan, perasaan, ego yang menguasai diri.

Dan aku mula berusrah dengan tiga orang. Bagaimana aku mendapat ketiga-tiganya? Sungguh tak mampu diceritakan semuanya di sini.

Satu hari aku ke rumah seorang adik, ingin berkongsi tazkiran mengenai interaksi dengan al quran. Selesai solat Jemaah bersama, aku dengan membuang segala sifat malu menawarkan diri untuk berkongsi sesuatu, padahal sebelum itu aku tidak pernah melakukannya. Aku meneruskan perkongsian memandangkan tiada yang menolak. Dan yang gembiranya, kawan-kawanku yang serumah dengan adik itu seronok mendengar, namun adik yang aku harapkan mendengar malangnya bermain phone. Ujian untuk hati bersabar, lantas menggunakan cara-cara lain menyentuh hati.

Sekarang tibalah waktu untuk aku melamar mereka untuk menjadi mutarabbiku. Perasaan bergetar, jiwa berkocak tak mampu pun dituliskan di sini. Allah je yang tahu perasaan ketika itu. Namun, aku terus gagahkan diri untuk bertanya.

Aku memujuk diri,

"Nura. tiada salahnya untuk dia menolak kerana bukan itu yang engkau harapkan, namun cinta Allah pada engkau yang diharapkan lebih. Allah melihat usaha-usaha ini, dan semua out pasti tak disiakan."

Lantas aku beranikan diri bertanya, dan tiba-tiba jawapannya,

"Boleh je akak."

Terus aku bergegas berjumpa murabbi cerita akan khabar gembira ini. Hampir menangis aku kerana terlalu gembira. Namun, sudah tentu hasil seperti ini ada rahsianya. Tiap-tiap malam aku tidak berhenti-henti berdoa agar mereka menerima diriku menjadi murabbi dan agar Allah memberi aku peluang itu. Dek terikatnya hati-hati kami, aku menjadi sangat sayang kepada mereka, dan sungguh aku tahu cara ekspresikan saying yang paling besar adalah membawa mereka dekat dengan Tuhan, agar boleh sama-sama bahagia di akhirat yang lebih kekal abadi.

Dan aku mulakan usrah yang pertama, aku bawa seorang peneman kerana tidak yakin pada diri. Alhamdulillah berjalan lancar sahaja. Dan masa terus berjalan, sehingga aku dikhabarkan perlu menerima lagi dua adik untuk diusrahkan bersama.

Dan malam itu kami dijadualkan untuk ber'mabit'. Adik-adik usrahku tidak dapat hadir tiba-tiba. Malam itu hujan, aku membuat keputusan untuk meredah hujan ke rumah mereka. Dan aku sampai di bangunan itu. Waktu itu, perasaan berbelah-bahagi, tidak berkeyakinan untuk menekan loceng rumah itu. Banyak kali aku menghadapi situasi ini, tapi sebelum ini aku berjaya mengatasi perasaan malu dan tak berkeyakinan. Namun, hari ini aku kalah.

Dalam hujan aku menangis kerana tidak mampu melawan perasaan ini, kerana aku gagal mengajak adik-adikku untuk ke program. Dan Alhamdulillah, Allah mengurniakan aku seorang teman yang memujuk untuk tidak menyalahkan diri.

Dan tugas perlu disambung, aku perlu juga ke program itu, walau tidak membawa sesiapa pun bersama. Di situ aku bakal menerima algi dua orang adik. Dan bukan "yeahhhh" atau "bestnyaaa" yang aku rasakan, bahkan yang lebih kuat itu adalah bebanan. Allah, sungguh 3 orang pun aku tak mampu bawa, dan Engkau tambahkan lagi dua.

Dan malam itu aku mencari kekuatan demi kekuatan. Aku tidak terus naik bermabit bersama, tapi mengambil keputusan untuk hadir di pagi hari.

Terdengar perbualan mereka di sebelahku.

"Entunna akan dapat usrah baru! Bersama kawan-kawan dan murabbi baru. Nak tahu tak siapa murabbi baru itu?"

Sungguh, takut untuk mengakui aku sebagai murabbi baru mereka. Allah, sungguh aku tidak layak. Tapi aku takut untuk menghampakan murabbi lamanya yang berusaha sepenuh hati membina mereka. Selepas hari itu, aku berusaha bersungguh-sungguh mempertautkan hati dengan mereka. Dan ajaib, seakan hadiah dari langit Allah turunkan, mereka menjadi kesayanganku dengan cepat dan menjadi penguat dan penceria di usrah kami.

Usrah berlima pun bermula, tapi usrah ini tidak pernah dihadiri oleh kelima-limanya. Dan cabaran besar bermula, untuk menuntut komitmen mereka berusrah. Hampir enam bulan masa diambil dan akhirnya, semua mula memberi komitmen dengan usrah kami. Semua datang dengan ceria, merelakan diri bukan lagi dalam paksaan. Dan kini usrah kami menjadi enam, hadirnya seorang lagi sebagai penyeri.

Enam bulan. Dan pada enam bulan itu, seolah perjalanan perubahan seorang nura. Mungkin cerita ini sedikit-sedikit akan ditulis.

Susah, penat, perit, takut, pengorbanan dan bermacam lagi dilalui. Namun, akhirnya menjadi bahagia, rindu, sayang,, etc.

Sungguh, indah perubahan kerana Allah.

Dan pada enam bulan itu, nura seakan tidak pernah missed tahajud. Tak berhenti-henti dia berdoa. Sungguh dia menangis banyak, dan semua perkara diadukan pada Tuhannya. Dan itulah kebahagian yang dia harap akan perolehnya lagi.

 

Sunday, 11 September 2016

Kerana Di Situ Ada Cinta

Belajar tentang cinta,
Cinta yang tiada ganti,
Indah disirami basahan rindu,
Rindu kepada pemilik hati ini.

Wahai pemilik hati,
Izinkan kuberi cinta sepenuh hati,
Agar tiada yang bisa menandingi,
Dan tiada satu yang dapat menyaingi.

Sungguh getar hati ini,
Apabila disebut nama itu,
Kadang, bila ada yang menyeru,
Seakan diri ingin bingkas berdiri,
Dan berlari.

Berlari dan berlari,
Penat namun indah,
Kerana di mula perkenalan,
Seakan jatuh cinta pertama kali,
Sanggup berbuat apa,
Sungguh mendambakan satu pertemuan,
Agar bisa bersama,
Tidak akan berpisah.

Pertemuan itu,
Sangat dinanti,
Seakan di hujung,
Dan...
Diri baru di permulaan.

Mula memberi,
Mula menjual,
Dan yang dijual itu keseronokan, kerehatan, harta,
Tapi itu semua milik dunia,
Kerana cinta direlakan,
Agar si Dia membeli,
Dengan keampunan, syurga, dan pertemuan indah.

Peliknya diri,
Sanggup mencabut,
Satu-satu duri dalam diri,
Seakan ingin sembuh sepenuhnya,
Biar sakit di awalnya,
Namun apabila semuanya mampu dibuang,
Alangkah indahnya hidup,
Bersih.

Bersih dari kekotoran jahiliyah,
Yang merantai diri,
Menghalang dari menerima kebaikan.

Kerana cinta dia sanggup,
Kerana rindu dia kuat,
Kerana sayang dia berkorban.

Dan satu ketika,
Si Dia hadiahkan satu nikmat,
Hati mudah terusik,
Jiwa mudah bergoncang,
Apabila dilaungkan namaNya,
Apabila didengarkan kalam-kalamNya,
Dan sujud menjadi kerinduan hatinya setiap masa.

Sungguh, ubudiyyah itu adalah syurga dunia,
Tiada nikmat lain yang mampu menandingi,
Ketika semua perkara lain ditolak sepenuh hati,
Kerana dia tidak sanggup hatinya direnggut yang lain,
Dan berjauhan lagi.

Namun sungguh,
Perjalanan terasa panjang,
Cinta itu perlu diperjuangkan,
Agar takkan pernah kalah,
Pada si musuh yang tak henti-henti cuba menjauhkan.

Manusia,
Mudah kalah,
Memandang kiri dan kanan,
Siapa lagi yang ingin disalahkan?

Dan mula memandang ke belakang,
Mengingati saat-saat indah dulu,
Tika diri lemas dalam cinta,
Dan mula mengeluh,
Menangisi akan kehilangannya.

Wahai pemilik hati,
Jangan pernah tinggalkan diri kerdil ini,
Kerana sungguh dia tidak punya yang lain,
Sungguh..

Hamba kerdil ini merayu,
Agar jangan ditarik nikmat ini,
Diri berjanji sanggup berbuat apa,
Supaya tidak ditinggalkan lagi.




 

Monday, 5 September 2016

Banyak yang dilalui akhir-akhir ni. Bermacam perasaan bertukar ganti. Bestnya kalau dapat dituliskan dan dibaca suatu ketika nanti tika diri diambang kefuturan.

Thursday, 11 August 2016

Maaf

Tika seorang ukhti mengadu betapa susahnya ingin memaafkan. Diimbas-imbas semula kenangan, bagaimana dulu pernah dilukakan dan akhirnya mengalah dan memaafkan. Walaupun diri luarnya dipandang lembut, seolah tiada terluka sedikit pun walau sesiapa yang menyakiti, namun hatinya kadang berbara panas melebihi seseorang yang marahya tampak di luar.

Allah takdirkan itu mujahadah untuk diri ini, yang cukup lemah dalam mengawal perasaan. Dan ingin diceritakan satu kisah diri, moga-moga ada yang peroleh sesuatu.

Perjalanan Ke Alexandria

Akhirnya kami berdua mengambil keputusan untuk bergerak sendiri ke sana. Bosan berkurung di rumah, sedangkan masa kami di Mesir hanya seminggu. Disebabkan rakan-rakan di sana terlalu sibuk beraktiviti, tiada yang berkesempatan untuk melayani dan menguruskan kami.

Dan kami keluar, lalu menadah tangan,

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya, tiada daya kekuatan melainkan dari Allah"

Kali ini doa itu dengan sepenuh ikhlas dan tunduk kerana memang tiada pergantungan melainkan hanya dariNya. Sungguh, diri takut kerana berada di Negara arab ini tak seperti di eropah. Walau hakikatnya dihuni oleh mejoriti penduduk Islam, namun yang ummat harus terima sekarang, hakikatnya yang mengamalkan nilai-nilai suci Islam itu ramainya di Negara-Negara eropah. Moga Allah ampunkan ummat ini terhadap fitnah yang dicipta.

Setelah menaiki tremco menuju ke Ramsis, kami tiba di tengah-tengah jalan yang sesak. Tanpa malu, kami bertanya orang-orang sekitar cara untuk menuju ke stesen keretapi. Alhamdulillah, Allah temukan kami dengan orang-orang yang terlalu baik dan ingin membantu. Walhal hari sebelumnya, kami sudah beranggapan negative dengan rakyat-rakyat Mesir kerana kedinginannya untuk membantu. Atas rahmat Allah, perjalanan hari ni dimudahkan dan dilancarkan sebaiknya sehingga ke akhirnya.


(Kerana setiap detik perjalanan dan pengembaraan di sana terlalu bermakna, maka akanku asing-asingkan setiap ceritanya, dan hari ini yang ingin diceritakan adalah berdasarkan tuntutan di atas.)

Dikatakan ada satu perpustakaan yang merupakan terbesar di sana. Sepanjang perjalanan tadi, aku berbalas-balas mesej dengan seorang rakan, bertanya arah ke tempat-tempat yang ingin dilewati. Dan salah satu tempat tuju utama, Bibliotheca Alexandrina Egypt.

Kami tiba di pecan... Kata rakanku, perpustakaan itu tidak jauh, hanya perlu terus berjalan sehingga berjumpa. Kami pun mengambil keputusan untuk berjalan yang mana di tepi kiri kami terdampar indah laut Mediteranean. Sambil menghayati pemandangan, kami meneruskan perjalanan walau kadang keletihan dan ketidakpastian turut mengusik hati.

Tiba-tiba hujan turun, kami terus ke masjid berdekatan dan pada masa yang sama azan asar berkumandang. Kami lantas menunaikan solat di situ.

Dan perjalanan diteruskan lagi, akhirnya ternampak sign board yang menunjuk ke arah perpustakaan itu. Sedikit lega aku.

Diringkaskan cerita akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Sungguh, aku yakin inilah tempatnya dek lain seni binanya, juga seakan bertepatan dengan namanya.

Dan di situ masalah menimpa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sakitnya hatiku ketika itu tak dapat diungkap. Aku berjalan sambil memarahi.

"Ishhhh, aku tak sangka ada orang kat dunia macam ni. Orang Islam pulak tu, takde langsung budi pekerti. Tak tau ke akan ada balasan di akhirat nanti. Orang yang beriman dengan hari akhirat takkan bertingkah-laku macam ni la! Dia ni beriman ke tak entah? Patutla orang mesir ni kejam, boleh pulak menyokong as-sisi yang membunuh muslim tu. Dia ni mesti antara orangnya."

Entah mana hilang siumannya, manakan tidak hati tak habis-habis menyumpah orang itu. Sakit hati ini tak mampu diungkap. Syaitan seakan mengusai amarah.

Tiba-tiba seakan dunia terbehenti, teringat satu ayat yang pernah dikongsi seorang ukhti;

".. dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu.." (an-nur:22)


Allah....

Laju air mata mengalir.

Kenapa ayat ini tiba di saat ini? Aku taknak! Sakitnya untuk memaafkan.

Ayat itu diulang-ulang lagi. Seakan membuka ruang sedikit untuk iman menguasai hati.

Nura, itulah hidup seorang mukmin, seorang hamba bertuhankan Allah. Walau sakit, walau perit, dia akan tetap melakukan jika itu arahan dari Tuhan yang dikasihi.

Allah kata,

"Maafkan dan berlapang dada."

Seakan arahan yang bertepatan saat itu. Kenapa Allah tak tegur Nura dengan bersabar je ke berhadapan dengan orang macam tu, tapi terus ke arahan ini. Yang lebih susah, sungguhh. Maafkan dia? Atas pengembaraan susah ni, yang disebabkan dia akhirnya perjalanan jadi tak bererti? Berlapang dada? Melupakan segala? Sedangkan dari tadi aku seakan ingin berdoa agar Allah membalasnya.

Tapi,

"Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu."

Makin deras air mata mengalir.

Allah...

Entah ke mana hambaMu ingin pergi jika bukan di bumiMu? Entah bagaimana hidupnya jika bukan atas rahmatMu?

Entah apa erti hidup singkat ini jika tidak dapat pengampunan dariMu?

Tentu yang diharapkan sangat-sangat adalah pengampunan dariMu. Dengan itu dia akan peroleh kehidupan indah di akhirat yang diharap-harapkannya tiap masa, tiap detik.

Allah, mengapa Engkau bertanya? Sedang Engkau mengetahui.

Terlalu banyak dosa. Dikenang-kenang dirinya yang lampau. Sungguh banyak perintah yang tidak dilaksanakan, batasan-batasan yang dilanggar. Dan dek rahmatMu dan pegampunanMu, engkau hadiahkan aku peluang untuk bertaubat, kembali, dan mengenalMu sedikit demi sedikit, menjadikan obsesiku terhadap akhirat melebihi dunia dan menjadikan hidup ini adalah nilainya, menjadikan aku antara orang istimewa yang mengenal dunia dakwah dan tarbiyah.

Sungguh Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Siapalah hambaMu ini untuk setandingMu. Tapi, sungguh, aku hamba. Kalau itu arahanMu, maka aku akan laksanakan. Kurniakan aku sedikit rahmatMu, untuk aku mengasihi manusia lain sekelilingku.

Sambil mengesat-ngesat air mata, aku terus berjalan pada rakan yang menunggu di hujung sana. Apabila dipastikan muka mampu tersenyum, terus dia menegur rakan yang sedang khusyuk membaca. Lalu dikatakan,

"Jom pergi."

Kelihatan indahnya matahari yang hamper terbenam.

"Jom lintas ke sana, lihat lebih dekat pemandangan matahari terbenam di laut Mediteranean itu."

Aku mereenung jauh. Indah! Tiada langsung cacat cela pada ciptaannya.

Seakan keindahan itu melambangkan kasih sayang Tuhan terhadap hambaNya. Terlalu nikmat, terlalu sayang.

Sambil mengucapkan syukur, aku berbisik di hati,

"Alhamdulillah untuk ujian  ini, untuk tarbiyah ini, yang akhirnya memberi erti besar pada hari, dan pada hidupku."
 

Saturday, 16 July 2016

Jemu

Pernah tak rasa jemu? Mesti pernah kan? Jika sesuatu yang dilakukan secara terpaksa, tidak diminati, statik tidak berubah dan bervariasi, dan banyak lagi faktornya.

Dan sekarang aku berasa jemu. Dan yang dijemukan itu adalah jalan tarbiyah ini, yang satu ketika dulu aku sangat cinta.

Kenapa jemu?

Entah. Jiwa kosong, bergerak tanpa perasaan, dan rasa ingin meninggalkan, kini jalan ini tak mengesani diri lagi.

Tidak basah seperti dulu?

Kenapa tunggu usrah untuk membasahkan hati, sedangkan diri sendiri sepatutnya memainkan peranan besar.

Usrah tak seperti dulu lagi? Hilang sosok-sosok qudwah? Seakan-akan nampak masalah, kelemahan dan segala gah dan kegembiraan pergi.

Dan akhirnya semua berbalik kepada diri. Kerana engkau tidak pernah menjadi seperti 'dia' atau 'mereka' yang engkau inginkan. Engkau perlukan 'harun', sedangkan engkau tidak pernah menjadi 'harun'. Engkau perlukan qudwah untuk dikagumi dan diikuti, sedangkan engkau tidak pernah menjadi satu.

Dan bosan itu kerana statik? Sedangkan dulu tak henti-henti bahan-bahan tarbiyah menyentuh hati dan membuatkan diri berubah dan bergerak. Kini, seakan-akan telinga menadah, akal berfikir, namun hati menolak. Jika terima, maka seolah air yang direnjis sahaja bukan disiram.

Banyak diperoleh, sehingga rasa ingin stopkan aliran kosong itu. Mungkin aliran itu suci, namun hati yang hitam sehingga terasa semua itu kosong, adakah kerana tidak layak menerima? Apakah faktornya?

Semak hati. Sejauh mana ikhlasmu? Setinggi mana azammu? Sebesar mana cintamu? Lantas, apakah yang hendak dirungutkan lagi?

Semua itu salahmu. Fullstop. Don't blame people around you for not becoming this, this and etc. Because you're not becoming one. That's the answer.

Baiki hati, baiki hubungan dengan Pencipta yang Esa. Kerana itu sumber kekuatan. Jika tidak, maka you'll be surely defeated.

Kerana engkau pernah berada di atas dahulu kerana Tuhanmu dekat di hatimu, tiap malam engkau isi dengan tangisan, setiap hari rindukan malam yang dikhaskan untuk berbicara dengan Tuhan. Dan kini engkau hilang itu. Memang sudah tentu engkau jatuh.

Entah apa erti hidup jika tidak berpaksikan Allah, Tuhan yang dicinta.

Allah, aku akan berlari. T.T

Saturday, 23 April 2016

Takkan Pernah Berhenti Menyebarkan CintaNya

Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW, sabdanya: 

"Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya). Yang demikian itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku". 



SYARAH AL HADIS: 

Baginda Rasul SAW membuat perumpamaan diri beliau yang telah menerima hidayah dan ilmu dari Allah seperti hujan yang lebat, sedangkan sikap umat manusia pula seperti tiga jenis tanah yang berbeza-beza. 

1. TANAH YANG SUBUR : 

Baginda menyamakan sikap orang yang bersedia mengambil pengajaran yang beliau bawa dan bersungguh-sungguh berusaha memahami dan mendalami urusan agamanya (tafaqquh fiddin), lalu ilmu tersebut diamalkannya dan disebarkannya kepada orang lain, dan dengan demikian dirinya menjadi tenang dan tenteram dan orang lain juga mendapat manfaatnya. Mereka tidak ubahnya seperti bahagian tanah yang menerima air hujan. Tanah tersebut akan menjadi subur dan akan tumbuh diatasnya pohon-pohonan dan rumput yang subur dan berguna untuk makhluk lain. 

2. TANAH KERAS YANG MENAKUNG AIR : 

Baginda juga mengumpamakan orang yang mahu menerima pengajaran daripada beliau dan disebarkannya kepada orang lain tetapi sayangnya dia sendiri tidak tafaqquh fiddin (tidak berusaha untuk mendalami agamanya) dan tidak mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupannya sehari hari. Manusia jenis ini pula tidak ubahnya seperti bahagian tanah yang keras tetapi berlekuk-lekuk, ia hanya mampu menakung air hujan tetapi tidak menyerap airnya, tidak ada pohon dan rumput yang tumbuh kerana keras permukaannya. Makhluk lain dapat mengambil manfaat daripada air yang ditakungnya itu, samada untuk minum, berwuduk, mandi, berkubang, menyirami tanaman dan lain-lain. Mereka tidak ubah seperti lilin yang menerangi orang lain tetapi memusnahkan dirinya sendiri. 

3. TANAH YANG DATAR LAGI KERAS: 

Selanjutnya baginda mengumpamakan orang yang menolak ajaran yang beliau bawa dan tidak pula berusaha memahaminya seperti tanah yang keras. Sudahlah tidak mahu menerima air hujan, malahan menakungnya pun tidak. Maknanya selain tidak memberi manfaat kepada orang lain, dirinya juga tidak mendapat manfaat. Semoga kita semua termasuk kedalam kelompok pertama iaitu: ‘Alim (berilmu), ‘Amil (beramal), Mu’allim (mengajar orang lain) Kita bersedia menerima apa saja yang datang dari Rasulullah SAW., berusaha sekuatnya untuk mendalami segala selok-belok ajaran baginda , mengamalkannya dalam kehidupan lalu hidayah tersebut kita sebarkan semampu boleh kepada orang lain supaya kewujudan kita di muka bumi ini memberi manfaat kepada mereka, terutama sekali keluarga dan kerabat sendiri. Jika usaha ke arah itu telah wujud pada seseorang, itu bermakna Allah menghendaki agar dia menjadi orang yang baik. 
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW; 


"Barangsiapa yang Allah inginkan agar dia menjadi orang yang baik, maka Allah akan memahamkannya dalam urusan agama." 

 
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar,
nescaya Allah akan memperbaiki amal-amal kamu dan mengampuni dosa-dosamu..."
( al ahzab: 70-71 )

Satu hari seorang ukhti berkongsi perasaan tentang ayat ini. Katanya, teruskanlah menyebarkan perkataan kita yang benar ini, syahadah kepada seluruh dunia.

Nimat Ini

Terlalu banyak syndrome yang perlu dihafal, yang pelik namanya dan yang tidak pernah dijumpai pun kerana terlalu rare agaknya. Pandangan dialihkan ke luar tingkap. Kelihatan dua orang kanak-kanak menconteng buku sambil berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Hearing loss atau articulation disorder ke adik ni? Tapi kedua-duanya tampak aktif dan tiada sign of dysmorphism. Ada apa-apa chromosomal abnormalities ke?

Pening memikirkan itu dan ini. Terlalu banyak penyakit di dunia... dan kadang-kandang penyakit yang sangat jarang berlaku itu boleh dijumpai di sini kerana banyak kadar 'consanguinity' atau kahwin sepupu di negara arab ini.

Tiba-tiba, sesuatu terlintas di hati. Alangkah indahnya nikmat pendengaran dan percakapan ini. Dengannya aku dapat mengalunkan dan mendengar alunan bacaan al-quran. Entah apa terjadi dengan hidup kalau diri tidak lagi dapat mendengar alunan-alunan indah itu.

Tak habis-habis diri mengadu kekurangan itu dan ini. Padahal nikmat Allah itu tidak terhitung.

" Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohon kepada-Nya. Dan jika kamu mengitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). "
( ibrahim:34 )

Moga tidak tergolong dalam kalangan yang mengingkari nikmatNya.. T.T