Jam loceng berbunyi kuat, membangunkan aku dari tidur. Jam
menunjukkan pukul 3.00 pagi, aku lantas mengejutkan ahli-ahli usrah kesayangan
yang tidur bersama.
Hari ini kami tidur bersama di sebuah RI bertujuan untuk
mengadakan liqa’ usrah sebelum waktu subuh. Pada awalnya aku seakan tidak dapat
terima hakikat ini, perlu berliqa’ sebelum subuh, di waktu hari persekolahan
pula. Seakan tidak masuk akal kan?
Namun, semangat ahli-ahli usrah ini yang sangat membara dan
membayangkan masa depan yang pastinya akan lebih sibuk berbanding sekarang,
mengapa tidak aku menyahut cabaran ini? Hakikatnya, memang susah untuk seorang
nura ini mengubah tabiaatnya yang tidak baik moodnya apabila mengantuk.
Kami memulakan pagi itu dengan solat sunat tahajud fardhi.
Lalu kami berkumpul membuat bulatan cinta. Dimulakan dengan bacaan al fatihah
dan iftitah rabbani dari ukht mc.
Kami berqodoya nafsi, apa terjadi pada diri, pada dakwi dan
pada tarbawinya? Pada setiap satu, aku ada berita dan cerita penting untuk ahli
usrah kesayanganku. Sudah lama tidak berjumpa, terlalu banyak perlu di’update’.
Lalu aku memulakan, berkenaan tarbawiku. Aku menceritakan
jaulahku bersama akhowat ke uk-ireland. Jarang aku menangis, namun waktu itu
jiwa tidak tertahan. Air mata mengalir tak henti-henti. Aku bercerita tentang
hebatnya mereka, seolah aku menjumpai para sahabat versi kini, yang rela
mengorbankan bermacam-benda, jiwa, raga dan harta untuk Islam. Aku bercerita
tentang mereka yang hebat ruhiyynya sehingga tidak henti-henti air mata
mengalir ketika menunaikan solat. Aku meluahkan tentang jiwa hebat yang berjaya
melawan dan meruntuhkan nafsunya, semata-mata kerana Allah. Walau di dunia
seakan punya segala, namun dicampak jauh-jauh segala nikmat itu dan digunakan
sepenuhnya untuk dakwah. Bukankah hebat mereka itu? Mereka berada di zaman ini
dan di umur sebaya dengan aku. Tidakkah aku rasa tercabar? Dibandingkan dengan
diri yang seakan menunggu disuap dan hanya bergerak apabila ditolak.
Dibanding-banding dengan mereka, di manakah nilai dan darjat diri di mata
Allah?
Dan satu kata berharga yang tersemat di jiwa sehingga
sekarang.
“Gerabak dakwah ini memang akan terus berjalan walaupun tanpa
kita. Tapi pernah tak kita terfikir, dengan lambatnya kita, gerabak ini akan
terlambat sekali apabila kita mengikuti dan memberati.”
Aku tidak sedih tertinggal di belakang sebagaimana aku sedih
jika aku yang menjadi sebab kelambatan itu. Realitinya sebab kelambatan Islam
menang. Moga Allah ampunkan dosa aku, hamba yang terlalu sering lalai dengan
kehidupan dan hiburan-hiburan dunia.
Dari menangis, aku bertukar ke senyuman. Kuserapkan segala kekuatan diri supaya tidak tertumpah air mata lagi. Kali ini, akan aku
sampaikan satu berita sedih untuk ahli-ahli usrahku. Hampir dua minggu aku
sedih, aku senyap dan berkurung di dalam bilik. Tapi kini aku kuat menerima
kenyataan dan terus meluahkan. Bahawa seorang anak usrah aku meminta untuk
keluar usrah atas alasan-alasan tertentu. Pada mulanya aku sangat menyalahkan
diri dan tak mampu menerima kenyataan. Namun, apabila dipujuk-pujuk diri,
insyaAllah pada setiap satunya ada hikmah.
Hati terbuka luas mendengar segala apa yang disampaikan
malam itu. Kami meneruskan bahan sirah dan hari ini berkenaan birr maunnah dan
yaumur raji’.
Selesai usrah, kami diberi masa untuk menunaikan solat witir
sebelum masuk waktu subuh. Lama sujudku ketika itu. Sungguh, aku ingin menjadi
seperti sahabat-sahabat itu yang rela diutus ke mana-mana sahaja untuk
berdakwah. Dan akhirnya mereka syahid.
Aku memohon kepada Tuhanku untuk menjadi kesayanganNya. Jika
posisi terbaikku adalah untuk ke mantiqah luar, apa salahnya.
Jernih hati ketika itu memohon supaya diberi peluang untuk
membuktikan kecintaan diri ini terhadap Islam, terhadak gerakan dakwah dan
tarbiah ini. Sungguh aku tak tahu, apakah yang terbaik untukku, tapi hatiku
terlalu cenderung untuk bermusafir. Lalu aku memohon lama-lama untuk ditentukan
sebaik mungkin posisi diri dalam dakwah.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lama aku pandang setiap satu wajah anak-anak usrahku.
Nama-nama inilah yang sering kusebut dalam solat malamku. Mohon agar mereka
diampunkan dosa dan dikuatkan terus untuk bermujahadah menjadi seorang individu
muslim yang hebat dan sempurna muwasofatnya.
Dan tak lama lagi mereka bakal kutinggalkan, tiada lagi
perjumpaan tiap-tiap minggu. Tiada lagi debaran dek mahu melakukan penyampaian
terbaik dalam setiap usrah. Tiada lagi rindu terhadap perjumpaan hati-hati yang
cinta akan Tuhannya. Dan tiada lagi masakan-masakan sedap yang hanya disediakan
untuk mereka. Dan tiada lagi itu dan ini.
Sedangkan matlamatku pada setiap satunya tinggi. Aku lihat
potensi dan peningkatan mereka. Aku mahu mereka meniti jalan indah ini
bersamaku hingga ke syurga. Setahun setengah aku mengambil masa menstabilkan
usrah ini. Dengan sepenuh tenaga, sepenuh jiwa dan ragaku dan akhirnya aku
terpaksa tinggalkan.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Aku menangis sendirian lagi. Bagaimana aku mahu tinggalkan
keselesaan ini, keindahan ini? Untuk sesuatu yang aku tak pasti keadaannya.
Adakah di sana akan aku berjumpa suka atau duka?
Malam raya itu, ahli rumah mengajakku bermain bunga api
bersama. Sungguh, aku ingin ikut bersama, namun dek kenangkan kelemahanku untuk
berqiamullail apabila tidur lewat, aku batalkan niat itu. Bukan apa, kerana di
Ramadhan telah bermacam janji aku ikat dengan Tuhanku, takkan aku ingin
korbankan semua itu hanya kerana hari raya ini, yang sepatutnya meraikan
kejayaan dan pengembalian umat islam terhadap fitrah sucinya.
Sungguh, aku suka melihat keindahan mercun bunga api apabila
diterbangkan ke langit. Salah satu keindahan yang sangat dirindukan dan
dinantikan. Lalu aku berbisik,
“Apa salahnya meninggalkan sesuatu yang cantik untuk sesuatu
yang lebih cantik di sana. Sabarlah wahai hati.”
Dan aku tukarkan status di whats app ku.
Seolah mendapat jawapan, apa salahnya aku korbankan satu
keseronokan untuk keseronokan yang lebih di sana? Bersabarlah menanti keindahan
di syurga. Lalu aku tertidur dan sempat air mata mengalir perlahan.
Aku menyahut seruan itu. Bas bergerak perlahan membawa hati
yang baru pulih dan ingin memulakan langkah baru, dengan semangat dan keimanan.
Sungguh, jika niat awal ini lillah, pasti Allah akan sentiasa ada di sisi
hingga ke akhirnya. Pasti tiada manusia mahupun musuhnya syaitan yang mampu
mematahkan. Lalu dengan sepenuh hati dia bertwakkal, walaupun dia kenal dirinya
yang sebenarnya tidak mampu. Kenal akan kepenatannya setiap hari, kehilangan
semangat dan mood apabila penat. Dan ini cabaran baru baginya. Sama ada jatuh
atau berubah, lalu dia berserah.