Dari Abi Musa, dari Rasulullah SAW, sabdanya:
"Perumpamaan hidayah dan ilmu yang aku bawa daripada Allah adalah bagaikan hujan yang lebat menimpa bumi; maka ada bahagiannya yang subur dan mudah menyerap air, lalu tumbuhlah pokok dan rumput yang banyak, dan ada pula bahagiannya yang keras hanya menakung air tetapi tidak menyerap, lalu manusia dapat mengambil manfaat daripadanya seperti minum, menyirami dan pengairi tanaman, dan ada pula bahagian yang lain iaitu bahagian tanah yang sama sekali tidak menerima air dan tidak pula tumbuh tanaman (diatasnya). Yang demikian itu adalah perumpamaan (untuk) orang yang memahami agama Allah (tafaqquh fid din), dia dapat mengambil manfaat daripada apa yang diberikan oleh Allah kepadaku, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya (kepada orang lain); dan perumpamaan (untuk) orang yang tidak mengangkat kepala dengan itu; dan (perumpamaan untuk orang) yang tidak menerima hidayah yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepadaku".
SYARAH AL HADIS:
Baginda Rasul SAW membuat perumpamaan diri beliau yang telah menerima hidayah dan ilmu dari Allah seperti hujan yang lebat, sedangkan sikap umat manusia pula seperti tiga jenis tanah yang berbeza-beza.
1. TANAH YANG SUBUR :
Baginda menyamakan sikap orang yang bersedia mengambil pengajaran yang beliau bawa dan bersungguh-sungguh berusaha memahami dan mendalami urusan agamanya (tafaqquh fiddin), lalu ilmu tersebut diamalkannya dan disebarkannya kepada orang lain, dan dengan demikian dirinya menjadi tenang dan tenteram dan orang lain juga mendapat manfaatnya. Mereka tidak ubahnya seperti bahagian tanah yang menerima air hujan. Tanah tersebut akan menjadi subur dan akan tumbuh diatasnya pohon-pohonan dan rumput yang subur dan berguna untuk makhluk lain.
2. TANAH KERAS YANG MENAKUNG AIR :
Baginda juga mengumpamakan orang yang mahu menerima pengajaran daripada beliau dan disebarkannya kepada orang lain tetapi sayangnya dia sendiri tidak tafaqquh fiddin (tidak berusaha untuk mendalami agamanya) dan tidak mengamalkan ajaran tersebut dalam kehidupannya sehari hari. Manusia jenis ini pula tidak ubahnya seperti bahagian tanah yang keras tetapi berlekuk-lekuk, ia hanya mampu menakung air hujan tetapi tidak menyerap airnya, tidak ada pohon dan rumput yang tumbuh kerana keras permukaannya. Makhluk lain dapat mengambil manfaat daripada air yang ditakungnya itu, samada untuk minum, berwuduk, mandi, berkubang, menyirami tanaman dan lain-lain. Mereka tidak ubah seperti lilin yang menerangi orang lain tetapi memusnahkan dirinya sendiri.
3. TANAH YANG DATAR LAGI KERAS:
Selanjutnya baginda mengumpamakan orang yang menolak ajaran yang beliau bawa dan tidak pula berusaha memahaminya seperti tanah yang keras. Sudahlah tidak mahu menerima air hujan, malahan menakungnya pun tidak. Maknanya selain tidak memberi manfaat kepada orang lain, dirinya juga tidak mendapat manfaat. Semoga kita semua termasuk kedalam kelompok pertama iaitu: ‘Alim (berilmu), ‘Amil (beramal), Mu’allim (mengajar orang lain) Kita bersedia menerima apa saja yang datang dari Rasulullah SAW., berusaha sekuatnya untuk mendalami segala selok-belok ajaran baginda , mengamalkannya dalam kehidupan lalu hidayah tersebut kita sebarkan semampu boleh kepada orang lain supaya kewujudan kita di muka bumi ini memberi manfaat kepada mereka, terutama sekali keluarga dan kerabat sendiri. Jika usaha ke arah itu telah wujud pada seseorang, itu bermakna Allah menghendaki agar dia menjadi orang yang baik.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW;
"Barangsiapa yang Allah inginkan agar dia menjadi orang yang baik, maka Allah akan memahamkannya dalam urusan agama."
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar,
nescaya Allah akan memperbaiki amal-amal kamu dan mengampuni dosa-dosamu..."
( al ahzab: 70-71 )
Satu hari seorang ukhti berkongsi perasaan tentang ayat ini. Katanya, teruskanlah menyebarkan perkataan kita yang benar ini, syahadah kepada seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment