Malam itu dia berdiri lagi menghadap Tuhannya Yang Maha Esa,
setia seperti biasa. Setiap hari amat dirindui detik ini, sunyi, tiada yang
mengganggu, fikiran tidak serabut. Hanya dia sendirian bersama Tuhannya.
Dia tahu dia perlu memanfaatkan masa itu sebaiknya untuk
berhubung dengan Tuhan. Tiada masa lagi yang lebih baik dari ini. Kerja-kerja
dunia selalu menjauhkan hatinya dari berhubung dekat dengan Allah. Dia ingin
sekali agar setiap amal, perbuatan, pendengaran, penglihatan, hati dan
segalanya bergerak mengikut apa yang Allah inginkan. Dia tidak ingin satu pun
sebaliknya, melanggar perintah Tuhannya yang satu itu. Lalu, dia mengambil masa
sepenuhnya ketika berdua-duaan ini untuk memohon, moga Allah terus pandu
dirinya ke syurga.
Hari ini dia membuat keputusan untuk tasmi’ dengan Allah
surah al-haqqah yang merupakan surah kegemarannya. Berkali-kali minggu ini dia
membaca surah yang sama. Tak pernah jemu mulut menuturkan ayat satu persatu
kerana itu ayatNya dan kalamNya sentiasa menyentuh hati dengan pelbagai cara
walau dalam keadaan apa pun.
Sampai satu ketika, dia berhenti seketika, menangis teresak-esak,
ayat ini tak pernah jemu menyentuh hatinya. Dia mengulangi sekali lagi;
“Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan
kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di
sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!”
Dalam hati dia membalas, “Ya Allah, aku ingin sekali
jadi seperti ini. Aku ingin sekali terima kitab amalan dari tangan kananku dan
terlalu gembira seperti ini, sehinggakan aku ingin menunjuk pada semua orang
kegembiraan itu. Ya Allah, bantulah aku untuk mencapai kegembiraan itu.”
"Sesungguhnya aku telah
mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari
yang ditentukan)!"
“Ya Allah, hadapkanlah hati aku
yang satu ini untuk Engkau sahaja. Jadikanlah aku golongan yang sentiasa
berharap pada pertemuan denganMu. Jangan biar aku terlalu terikat dengan dunia.
Semua ini sungguh sementara. Aku tak ingin hanyut, aku ingin setia bersamaMu.”
“Maka (dengan itu) tinggalah dia
dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, -
Di dalam Syurga yang tinggi
(darjatnya), -
Buah-buahannya dekat untuk
dipetik.
(Masing-masing dipersilakan menikmatinya
dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai
nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang
telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"”
“Allah, kurniakan aku semua ini,
Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Aku terlalu rindu syurga.”
Lalu, dia meneruskan bacaan. Kali
ini tersekat-sekat bacaannya dek esakan tangis yang lebih teruk kerana terlalu
takut.
Adapun orang yang diberikan
menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan
sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, -
"Dan aku tidak dapat
mengetahui hitungan amalku.
"Alangkah baiknya kalau
kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan
kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); -
“Ya Allah, jangan jadikan aku
orang yang menyesal seperti itu. Aku takut kerana aku tahu pada hari itu aku
memang tak boleh lari. Hanya pertolongan engkau sahaja yang aku sangat harapkan
pada waktu itu.”
"Harta kekayaanku tidak
dapat menolongku sedikitpun; -
Kekuasaanku telah binasa dan
hilang lenyap dariku".
“Semua hilang, harta dan pangkat,
sudah tiada apa yang tinggal.”
(Lalu diperintahkan malaikat
penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia,
-
"Kemudian bakarlah dia di
dalam neraka Jahiim; -
"Selain dari itu,
masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh
puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!
“Ya Allah, sungguh aku takut
seksaan ini. Sungguh itu sangat ngeri. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, jangan
biarkan hambaMu ini larut dengan dunia sehingga di akhirat dia menyesal dan
diseksa. Bantu sangat-sangat aku yang terlalu lemah, walaupun untuk memilih
mana yang terbaik untuk kehidupanku, bantu aku dalam amalku, dalam segala
perbuatanku biarlah segalanya hanya untukMu. Sungguh, hanya ini yang aku harapkan,
kebahagian di sana bersama keluargaku dan orang yang aku sayang, menemuiMu
dalam keadaan terbaik.”
Dia akhiri malam itu dengan solat
witir tiga rakaat berharap agar malam esok dia bertemu lagi. Dia terlalu takut
dengan dunia. Dia takut dia hadapinya sesuka hati, bukan menurut apa yang Tuhannya
inginkan.
Dan setiap malam dia terus
memohon dan berjanji. Sehinggalah datang ujian dari Tuhannya. Lalu tiba-tiba
dia jatuh. Tiada lagi perjumpaan indah itu setiap malam. Hari-harinya kelam,
penuh dengan esak tangis yang tak berkesudahan. Susah untuk dia terima, susah
untuk Dia redha dengan ujian itu.
Hatinya bertanya, adakah dia
seperti hamba itu?
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan
disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta
merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"
Dia berasa berada di bawah sekali, dia berasa seperti
sehina-hina manusia. Dia tahu perasaan ini terlalu salah tetapi ujian ini tak
berhenti, terus datang dari semua arah sehingga dia seperti tidak tahu di mana
ingin berpaut. Dia tahu perasaan ini salah, tetapi hati dia tak pernah jemu
meminta Allah kuatkan dan bantu dia untuk hadapi dengan cara yang terbaik yang
Allah inginkan.
Dia buntu, lama dibiarkan perasaannya begini. Dia mula bangkit,
sedikit-sedikit namun jatuh kembali. Terlalu berat, kadang dia rasa seperti
tidak mampu lagi meneruskan hidup. Tapi, dia tahu dan sangat sedar amalannya
terlalu kecil sebagai bekalan bertemuNya.
Dan ketika itu, Allah tidak berhenti-henti memujuk untuk tidak
berputus asa dari rahmatNya. Kalamnya sangat memujuk;
“Janganlah kamu lemah dan janganlah bersedih, dan kamulah orang
yang paling tinggi (darjatya di sisi Allah) jika kamu beriman.”
“Janganlah kamu bertus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada
yang berputus asa melainkan orang yang kafir.”
Datanglah mereka-mereka ini, saudara-saudara di atas
jalan Allah yang tak jemu-jemu memberi sokongan dan menggembirakan diri. Dia
bersyukur atas nikmat ini, memiliki mereka sebagai peneman yang tak pernah jemu
mengingatkan tentang Allah, yang sentiasa menghargai keberadaan dia dalam hidup
mereka walaupun dia tahu dia tak memberi apa.
Lalu, dia tersedar yang ujian itu
rahmat dan merupakan kasih sayangnya. Bukan dia tidak tahu itu, tapi hatinya
berat menerima. Bukankah suatu ketika dahulu dia meminta untuk ke syurganya
dengan sepenuh hati. Jadi, inilah cara yang terbaik. Allah beri ujian untuk
menyucikan dosa-dosanya yang terlalu banyak, yang sememangnya tak terbanding pun dengan
butiran-butiran pasir di pantai.
Allah ingin sangat dia bertemuNya
dalam keadaan yang suci. Walaupun sakit, tapi ini caranya untuk dia layak ke
syurganya. Allah ingin ganjarkan dia di sana, di akhirat yang kekal abadi. Allah
ingin terus sedarkan bahawa dunia ini tidak bersamaan apa pun, tiada apa
yang perlu dikejar dengan sepenuh jiwa. Lantas, sebagai manusia dia perlu terus
tunduk dan redha dengan segalanya. Supaya satu masa nanti, Dia akan menyeru
hambaNya ini;
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan
diredhai Nya.”
Maka, demi TuhanMu dan pertemuan yang indah itu, bersabarlah
wahai hati. Terus dia memohon kepada Tuhannya
agar terus menguatkannya untuk menjadi hamba yang setia.
No comments:
Post a Comment