Saturday, 28 November 2015

Allah, aku makin mengenalMu..

Allah, aku makin mengenalMu,
Engkau Tuhan yang tak pernah tinggal aku.
Maafkan aku yang tak habis-habis merungut,
tak habis-habis bersangka,
tak sabar-sabar menanti rehat.

Ampunkan aku dan aku ingin sekali kembali,
Kembali menjadi hambaMu yang taat,
yang sentiasa setia dan hatinya tak henti berbicara denganMu.

Allah, izinkan aku kembali..

Aku bergegas ke asrama kerana waktu sudah terlalu lewat, matahari hampir sahaja terbenam. Aku perlu segera bersiap dan berkemas untuk ke surau menunaikan solat maghrib berjemaah.

Seketika aku melalui kawasan yang dipenuhi pondok rehat untuk pelajar bertemu bersam keluarga yang datang melawat. Aku terhenti, lama aku termenung di situ.

"Abah, comot la. Makan elok-elok, nanti kalau orang tengok malu." Adik menegur abah.

Hari itu sekolah mengadakan hari kooperasi dan banyak makanan serta barangan dijual. Aku mendapat kunjungan dari abah, mak dan adikku. Jarang mereka melawat aku tetapi kali ini mereka sanggup datang dari jauh untuk menggembirakan aku.  Kami membeli beberapa juadah yang menyelerakan dan ambil keputusan untuk makan di situ.

Mak menghulurkan tisu pada abah sambil menghidangkan lebih banyak makanan lagi pada kami. Betapa bahagianya perasaan ini hanya Allah sahaja yang tahu. Masakan tidak, dapat berjumpa dan bermesra dengan keluarga tercinta yang sudah lama tidak ketemu.

"Terima kasih mak, abah dan adik sudi datang hari ni. Jom makan banyak-banyak. Nanti mesti bila semua dah balik kami tak lalu pun nak makan."

Aku gembira dan terlalu bahagia ketika itu. "Ya Allah, tolong jangan tarik kegembiraan ini," hatiku berbisik.

Lamunanku terhenti seatakat itu. Air mata mengalir laju. Terus aku berjalan pantas meninggalkan tempat itu. Ya Allah, tuhanku satu-satunya, aku yakin semua ini pasti ada hikmahnya dan aku yakin kegembiraan yang aku pohon itu Engkau sudah simpan di syurgaMu.

Dan aku tiba di hadapan asrama. Melihatkan temanku punya pengunjung yang datang memberi semangat untuk menghadapi peperiksaan besar nanti, aku termenung kembali.

"Akak, minumlah air ni sebelum peperiksaan. Moga Allah bukakan hati. Air bacaan Yasin dan doa kami." Mak berpesan kepada aku. Abah hanya memandang penuh senyuman.

Seronoknya mereka datang memberi sokongan untuk aku yang akan menghadapi peperiksaan PMR esok walau aku tahu pengorbanan mereka untuk datang ke sini sangat besar.

Dan apabila aku akan hadapi peperiksaan yang lebih besar lagi esok, dan mereka tiada. Ya Allah, aku yakin engkau tarik nikmat ini untuk nikmat yang lebih besar nanti.

Hidup kami bertukar sepenuhnya. Hari-hari selepas pemergian abah penuh ujian dan cabaran. Sakit adik makin teruk. Banyak adaptasi yang perlu kami lakukan. Susah sebenarnya hidup tanpa abah ni. Sakit rupanya bila dia ditarik tiba-tiba. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kami yang tak cukup menghargai nikmat itu suatu ketika dahulu.

Namun, ujian yang mendatang itu sentiasa ada hikmahnya. Selepas itu, hati ini tidak pernah berhenti untuk bergantung padaNya. Masakan tidak, hanya Dia yang dapat mempertemukan kami kembali suatu ketika nanti.

Dan aku makin mengenaliMu. Dan hatiku makin lunak menerima kebaikan dan mudah terkesan dengan setiap apa yang berlaku. Dan hatiku punyaMu sebagai tempat pergantungan aku satu-satunya. Tika aku melihat kebahagiaan dan kegembiraan orang lain, hati tak berhenti memohon agar Allah kuatkan aku untuk bersabar bagi kegembiraan yang lebih di sana tentunya.

..........................................................................................................................................

Aku berjalan sambil menahan air mata yang tak berhenti mengalir.

"Ya Allah, aku tak tahan dengan ujian ini. Maafkan hambaMu yang hina ini. Aku tak mampu bersabar, aku tak mampu menanti hikmah itu. Aku tak nampak cahaya lagi. Aku penat, penat dengan hidup ini, letih dengan segala ujian yang menimpa. Aku tak kuat untuk terus berjalan, meniti saki-baki hidup ini."

Ujian datang lagi. Aku tak mampu menahan kesedihan, tak berhenti air mata mengalir. Entah mana perginya iman ketika ini. Aku seakan ingin lari, lari dari perjalanan susah ini.

Ketika mula aku mengambil keputusan untuk mula berubah, aku bertanya kepada dia, murabbiku;

"Akak, saya takut untuk berubah. Kerana dulu pernah saya mengambil keputusan yang sama, dan ketika itu saya diuji dengan ujian yang saya tak mampu pun hadapi. Saya takut, takut diuji lagi."

Dan ketika itu dia menjawab yang sesungguhnya pahitnya hidup itu mesti untuk dapat manisnya syurga nanti.

Kata-kata itu sungguh menusuk aku dan menjadi pegangan aku sehingga kini. Aku memulakan langkah untuk berubah tanpa ada rasa takut lagi. Dan ketika itu ujian datang pergi, namun aku tetap teguh berdiri.

Namun, kali ini lain rasanya. Bukan satu, bukan dua tapi seakan ujian itu datang dari semua arah. Aku rasa berputus asa.

Dan ketika aku menangis menyalahkan jalan dakwah yang aku pilih ini, tiba-tiba seorang gadis arab menghulurkan dua coklat.

Dan ketika aku menangis tertekan dengan segala tanggungjawab yang terbeban di bahu, mereka housemateku memelukku seakan ingin meringankan beban.

Dan ketika aku diuji dengan kesusahan dan kecemasan ketika kereta itu rosak, tak berhenti-henti manusia yang berhati baik datang membantu.

Dan ketika aku menangis memikirkan keluarga yang sangat memerlukan aku namun aku tak mampu pun berada di sana, hadirlah seorang sahabat yang tak jemu menceriakan hati.

Dan ketika aku menangis memikirkan betapa teruknya aku menghampakan mereka, betapa teruknya aku dalam pelajaranku, maka tidak henti-henti hadir doctor-doctor yang hebat memberi semangat untuk bangun.

Dan ketika aku hadapi semua kesusahan dan kesedihan itu, tak henti-henti mereka menghulurkan coklat, menghadiahkan pelukan, mengirim mesej-mesej dan post-post indah di wall ku, menghadiahkan senyuman yang ikhlas dan hadirnya insan-insan yang aku tidak kenali membantuku.

Dan sebenarnya Dia tidak henti memujukku. Memujukku untuk terus bangun, berjalan dan meniti jalan yang semestinya ke syurganya ini, walau penuh ranjau dan duri.

Alhamdulillah atas semua ini, aku lebih mengenaliMu. Engkau yang sentiasa memujuk diri ketika jatuh, mengajak aku kembali kepada jalan ini, jalan untuk bertemuMu dalam keadaan yang terbaik.

Ya Allah, anugerahkan aku syahid.

Saturday, 7 November 2015

Ujian Itu Rahmat


Malam itu dia berdiri lagi menghadap Tuhannya Yang Maha Esa, setia seperti biasa. Setiap hari amat dirindui detik ini, sunyi, tiada yang mengganggu, fikiran tidak serabut. Hanya dia sendirian bersama Tuhannya.

Dia tahu dia perlu memanfaatkan masa itu sebaiknya untuk berhubung dengan Tuhan. Tiada masa lagi yang lebih baik dari ini. Kerja-kerja dunia selalu menjauhkan hatinya dari berhubung dekat dengan Allah. Dia ingin sekali agar setiap amal, perbuatan, pendengaran, penglihatan, hati dan segalanya bergerak mengikut apa yang Allah inginkan. Dia tidak ingin satu pun sebaliknya, melanggar perintah Tuhannya yang satu itu. Lalu, dia mengambil masa sepenuhnya ketika berdua-duaan ini untuk memohon, moga Allah terus pandu dirinya ke syurga.

Hari ini dia membuat keputusan untuk tasmi’ dengan Allah surah al-haqqah yang merupakan surah kegemarannya. Berkali-kali minggu ini dia membaca surah yang sama. Tak pernah jemu mulut menuturkan ayat satu persatu kerana itu ayatNya dan kalamNya sentiasa menyentuh hati dengan pelbagai cara walau dalam keadaan apa pun.

Sampai satu ketika, dia berhenti seketika, menangis teresak-esak, ayat ini tak pernah jemu menyentuh hatinya. Dia mengulangi sekali lagi;

Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): ` Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!”
 
Dalam hati dia membalas, “Ya Allah, aku ingin sekali jadi seperti ini. Aku ingin sekali terima kitab amalan dari tangan kananku dan terlalu gembira seperti ini, sehinggakan aku ingin menunjuk pada semua orang kegembiraan itu. Ya Allah, bantulah aku untuk mencapai kegembiraan itu.”

 

"Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)!"

 

“Ya Allah, hadapkanlah hati aku yang satu ini untuk Engkau sahaja. Jadikanlah aku golongan yang sentiasa berharap pada pertemuan denganMu. Jangan biar aku terlalu terikat dengan dunia. Semua ini sungguh sementara. Aku tak ingin hanyut, aku ingin setia bersamaMu.”

 

“Maka (dengan itu) tinggalah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan, -

Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya), -

Buah-buahannya dekat untuk dipetik.

 (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"”

 

“Allah, kurniakan aku semua ini, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Aku terlalu rindu syurga.”

 

Lalu, dia meneruskan bacaan. Kali ini tersekat-sekat bacaannya dek esakan tangis yang lebih teruk kerana terlalu takut.

 

Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku, -

"Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku.

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); -

 

“Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang menyesal seperti itu. Aku takut kerana aku tahu pada hari itu aku memang tak boleh lari. Hanya pertolongan engkau sahaja yang aku sangat harapkan pada waktu itu.”

 

"Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; -

Kekuasaanku telah binasa dan hilang lenyap dariku".

 

“Semua hilang, harta dan pangkat, sudah tiada apa yang tinggal.”
 

(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): "Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, -

"Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; -

"Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!

 

“Ya Allah, sungguh aku takut seksaan ini. Sungguh itu sangat ngeri. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, jangan biarkan hambaMu ini larut dengan dunia sehingga di akhirat dia menyesal dan diseksa. Bantu sangat-sangat aku yang terlalu lemah, walaupun untuk memilih mana yang terbaik untuk kehidupanku, bantu aku dalam amalku, dalam segala perbuatanku biarlah segalanya hanya untukMu. Sungguh, hanya ini yang aku harapkan, kebahagian di sana bersama keluargaku dan orang yang aku sayang, menemuiMu dalam keadaan terbaik.”

 

Dia akhiri malam itu dengan solat witir tiga rakaat berharap agar malam esok dia bertemu lagi. Dia terlalu takut dengan dunia. Dia takut dia hadapinya sesuka hati, bukan menurut apa yang Tuhannya inginkan.

 

Dan setiap malam dia terus memohon dan berjanji. Sehinggalah datang ujian dari Tuhannya. Lalu tiba-tiba dia jatuh. Tiada lagi perjumpaan indah itu setiap malam. Hari-harinya kelam, penuh dengan esak tangis yang tak berkesudahan. Susah untuk dia terima, susah untuk Dia redha dengan ujian itu.

 

Hatinya bertanya, adakah dia seperti hamba itu?

 

Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!"

 

Dia berasa berada di bawah sekali, dia berasa seperti sehina-hina manusia. Dia tahu perasaan ini terlalu salah tetapi ujian ini tak berhenti, terus datang dari semua arah sehingga dia seperti tidak tahu di mana ingin berpaut. Dia tahu perasaan ini salah, tetapi hati dia tak pernah jemu meminta Allah kuatkan dan bantu dia untuk hadapi dengan cara yang terbaik yang Allah inginkan.

 

Dia buntu, lama dibiarkan perasaannya begini. Dia mula bangkit, sedikit-sedikit namun jatuh kembali. Terlalu berat, kadang dia rasa seperti tidak mampu lagi meneruskan hidup. Tapi, dia tahu dan sangat sedar amalannya terlalu kecil sebagai bekalan bertemuNya.

 

Dan ketika itu, Allah tidak berhenti-henti memujuk untuk tidak berputus asa dari rahmatNya. Kalamnya sangat memujuk;

 

“Janganlah kamu lemah dan janganlah bersedih, dan kamulah orang yang paling tinggi (darjatya di sisi Allah) jika kamu beriman.”

 

“Janganlah kamu bertus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada yang berputus asa melainkan orang yang kafir.”

 

Datanglah mereka-mereka ini, saudara-saudara di atas jalan Allah yang tak jemu-jemu memberi sokongan dan menggembirakan diri. Dia bersyukur atas nikmat ini, memiliki mereka sebagai peneman yang tak pernah jemu mengingatkan tentang Allah, yang sentiasa menghargai keberadaan dia dalam hidup mereka walaupun dia tahu dia tak memberi apa.

 

Lalu, dia tersedar yang ujian itu rahmat dan merupakan kasih sayangnya. Bukan dia tidak tahu itu, tapi hatinya berat menerima. Bukankah suatu ketika dahulu dia meminta untuk ke syurganya dengan sepenuh hati. Jadi, inilah cara yang terbaik. Allah beri ujian untuk menyucikan dosa-dosanya yang terlalu banyak, yang sememangnya tak terbanding pun dengan butiran-butiran pasir di pantai.

 

Allah ingin sangat dia bertemuNya dalam keadaan yang suci. Walaupun sakit, tapi ini caranya untuk dia layak ke syurganya. Allah ingin ganjarkan dia di sana, di akhirat yang kekal abadi. Allah ingin terus sedarkan bahawa dunia ini tidak bersamaan apa pun, tiada apa yang perlu dikejar dengan sepenuh jiwa. Lantas, sebagai manusia dia perlu terus tunduk dan redha dengan segalanya. Supaya satu masa nanti, Dia akan menyeru hambaNya ini;

 

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai Nya.”

 

Maka, demi TuhanMu dan pertemuan yang indah itu, bersabarlah wahai hati. Terus dia memohon kepada Tuhannya agar terus menguatkannya untuk menjadi hamba yang setia.

 

 

  

Sunday, 1 November 2015

Terasa Berputus Asa

"Please la Nini, stop menangis! Teruk sangat ni. Entah mana hilang iman engkau? Entah ke mana hilang keyakinan dan kepercayaan engkau pada  janji-janji Dia? Redha lah! Sabar lah! Sikit je lagi tu. Semua pasti ada hikmah."

"Entah la tapi aku tak mampu pun. Serius lah, aku lemah sangat sekarang ni. Aku tak tahu macam mana nak teruskan hidup. Aku sudah tak sabar menanti hari sana. Seriously, aku tak mampu. Aku nak stop!"

"Engkau nak stop apa? Entah apa je bekalan engkau bertemu Dia. Engkau kata nak stop?"

Air mata deras mengalir. "Aku tahu tu tapi makin lama aku hidup, aku takut makin teruk. Engkau faham kan? Aku tak de lah kuat sangat. Aku tahu banyak lagi dugaan orang yang lebih besar. Aku malu, engkau tahu tak aku malu sangat menangis teruk untuk perkara-perkara sebegini. Tapi, aku sakit sangat sekarang ni."

Memang itulah perangai aku, suka bermonolog sendiri. Kadang terlepas juga menjadi monolog luaran.

Satu-satu ujian mendatang. Pelangi yang indah dahulu kini seakan hilang, sekelip mata. Jalan indah ini seakan suram. Aku tak nampak lagi cahaya di hadapan, walau hanya sekadar nyalaan kecil. Tiada langsung. Gelap, suram, bahkan seakan untuk melangkah pun aku terjatuh-jatuh tak nampak.

Ujian ini seakan datang dari semua arah. Tiada lagi tempat untuk aku mengenakkan diri. Jika dulu, apabila aku ada masalah pelajaran, aku boleh mengadu pada keluarga. Jika aku rasa kesunyian dan futur, aku akan pergi ziarah anak-anak usrah yang comel dan ceria. Jika kepala aku rasa terbeban, aku boleh cerita semua pada dia, sahabat baikku. Tapi, kini semua tiada lagi, seakan semua ditarik sedikit demi sedikit.

Aku seakan masuk ke dunia baru. Dunia dakwah dan tarbiyahku sangat baru, sangat asing bagi aku. Sakit ye sebenarnya untuk terus ikhlaskan diri. Apabila kegembiraan dahulu tiada lagi, kebasahan hati dahulu entah kering ke mana dan segala-galanya perlu kepada titik permulaan yang sememangnya sangat susah.

"Boleh tak aku berhenti sekejap?"

"Maksud engkau berhenti apa?"

"Entah, kenapa aku rasa macam nak cuti dari usrah ye? Aku cuti je, bukan stop tau."

"Suka hati engkau lah."

Sakitnya kepala. Banyak yang difikirkan. Masalah keluarga, masalah dnt, masalah pelajaran, masalah keselamatan dan macam-macam lagi. Serabut sangat. Sungguh, kalau aku kuat imannya, tak perlu pun fikir semua ini kerana masalah ini memang tak dapat diselesaikan pun. Cuma, perlu pada hati yang redha dan tawakal.

Aku menyelak satu-satu helaian Raheek Makhtum di bawah tajuk perang ahzab. Memang menjadi kebiasaan aku membaca sirah-sirah atau kisah-kisah sahabat kerana aku kagum dengan mereka. Bagaimana mereka dapat mengharungi segala ujian mendatang? Aku pelik.

Ketika berlakunya perang Ahzab, penduduk-penduduk Islam Madinah berasa sangat terancam. Musuh Musyrikin dating dengan membawa tentera seramai 10000 orang yang mana melebihi penduduk Islam Madinah sendiri termasuk wanita dan kanak-kanak. Mereka menghadapi kegoncangan yang sangat dahsyat. Cadangan bernas Salman Al Farisi untuk menggali parit di bahagian utara madinah itu telah menghalang tentera Musyrikin dari memasuki Madinah.

Namun, ancaman tiba-tiba datang dari dalam Madinah sendiri daripada golongan-golongan yahudi yang memungkiri janji. Bayangkanlah mereka meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah tanpa pengawasan dari sesiapa. Dan mereka perlu berada di kubu pertahanan untuk mematahkan serangan dari kafir Quraisy. Lalu, apa yang tinggal pada mereka? Hanya iman dan tawakal sahaja menjadi penenang diri.

Orang-orang munafik memberi alasan dan melarikan diri dari medan perang. Memang dasar munafik, hanya bermanis mulut sahaja, namun di dalam hati tiada iman. Apabila datang kemenangan, mereka ke mari, apabila digoncang, mereka cepat sahaja pergi. Mereka pulang beralasan rumah mereka tidak bertutup. (baca tafsir)

Itulah waktu kegoncangan yang amat dahsyat pada mereka. Namun, satu kejadian aneh berlaku, pelik sangat. Apabila mereka melihat tentera-tentera bersekutu itu, lantas berkata;

"Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasulnya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya." Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambah iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.


Entah dari mana mereka dapat hati dan kekuatan sebegitu? Mereka jadikan ujjian dan dugaan itu sebagai wasilah untuk mendapat pertolongan Allah. Bukankah Allah selalu berjanji, apabila sampai kepada kemuncak ujian itu, maka bantuan Allah pasti tiba.

Tak lama lagi Nini. Percayalah. Trust Him because He is the most Trustworthy.