Kematian yang menghidupkan.
Suka dengar phrase ni, dan berimpian peroleh pengakhiran seperti itu.
Bayangkanlah, seseorang yang telah meninggalkan dunia ini, jasad dan rohnya sudah terkubur dan tiada di sisi. Namun, peristiwa dan kematian itu, iman dan amalnya yang lalu telah menghidupkan jiwa-jiwa insan sekeliling sama ada yang mengenalinya atau tidak.
Sedangkan inspirasi aku untuk mula menulis pun datang dari sebuah blog yang penullisnya sudah tiada di dunia ini, tetapi kalam-kalam indahnya menjadi rujukan dan menghidupkan hati aku dan juga anak-anak usrahku. Aku ingin jadi seperti itu, yang ketika adanya bermanfaat dan ketiadaannya masih meninggalkan kesan.
Sebut mati sahaja sudah takut, bahkan berimpian seperti itu. Kenapa takut mati? Rasa amal tidak cukup, banyak amanah yang tidak tertunai lagi, dan rasa belum layak lagi untuk berkata depan Allah yang aku telah berusaha sebaik mungkin menjadi hamba dan khalifahnya yang terbaik di muka bumi.
Takut dan tahu. Sudah sedarkah? Sedar namun tidak mahu bangkit? Lakukanlah! Tunaikanlah! Lengkapkanlah!
Sudah rancangkah kehidupan selepas matimu? Itu berdasarkan amalmu sekarang! Berdebar sudah, kerana apa yang dilakukan sekarang hanya berehat, berangan-angan dan berenak-enak dengan masa lapang yang diberikan. Berjihad dan bersungguh-sungguhlah. Kerana itu membolehkanmu untuk rehat selepas matimu. Adakah kamu menyangka kamu layak berehat lagi di sana jika di dunia lagi kamu telah menggunakan hampir kebanyakan masamu berehat-rehat?
Tajuknya lain, dan muqaddimah pun sudah seperti bertukar cerita. Kenapa aku letakkan cinta yang pudar? Kisahnya aku terbaca kisah-kisah Allahyarham ukht eliyana dan post-post di facebooknya. Seorang mujahidah dan pejuang kanser stage 4 dalam usia yang sangat muda. Ditarik nyawanya ketika dia menunggu-nunggu kematian itu, dan sudah berpuas hati dengan nikmatnya di dunia.
Tahu tak apa yang ditulis membuatkan aku tersentak. Katanya ketika mendapat khabar itu, dia berasa sedih dan dalam masa yang sama bersyukur. Bersyukur kerana dalam banyak-banyak orang dia dipilih Allah untuk menerima sayangNya melalui ujian itu.
Ujian. Dan yang pertama difikirnya dipilih Allah. Dan dipilih Allah untuk merasa cintaNya. Sedangkan itu ujian yang berat.
Begitulah iman menukar perspektif insan, membuatkan mereka memandang yang lebih jauh, lebih besar yang tidak dapat pun dirasa oleh mereka yang tidak keimanan dan kecintaan mendalam.
Di'scroll-scroll' post di facebooknya lagi, dia menceritakan perubahannya selepas mengenal Allah, dan banyak yang dikorbankan, baju-baju lama dibuangnya untuk berubah agar pakaiannya selepas itu diredhai Allah, dan tentunya banyak lagi yang dibersihkan dari diri. Sungguh, aku tahu dan faham itu, menghilangkan kotoran bukan hanya mencuci namun ditarik satu-satu dari diri yang awalnya sangat menyakitkan, namun apa yang dinikmati selepas itu kurniaan yang sangat besar, yang tak banyak manusia merasainya.
Cinta bukan hanya pada kata, namun pada amalnya, pada mujahadahnya. Sungguh, dengan segala yang dikorbankan cinta itu akan bertambah-tambah lagi dan tiada apa yang rugi.
Kemudian dia tuliskan Allah berikan nikmat punya suami, anak-anak, kerjaya yang mungkin membuatkan cintanya berkurang sedikit. Lantas Allah berikan dia ujian yang besar untuk mengembalikan seluruh cintanya pada Allah semula.
Takut. Sebab aku rasa sudah lama dalam keadaan yang senang dan tiada apa yang difikirkan sangat. Tiada sakit-sakit emosi, mental dan fizikal, cuma sekarang terasa ujiannya untuk membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Moga-moga Allah pelihara diri untuk lepasi segala ujian yang diberikan dengan sebaiknya.
Walau bagaimanapun keadaan aku sekarang, aku perlu membina semula cintaku. Supaya setiap detik aku rasa Dia ada, melihat dan mendengar aku. Supaya aku berusaha beramal dengan perkara disukaiNya dan membatasi diri melakukan perkara yang dibenciNya.
Supaya aku ikhlas dengan hidup, seluruh amal hanya bermatlamatkan untuk mencapai redhaNya. Supaya aku rindukan setiap masa untuk bertemuNya; dalam ibadahku dan juga pertemuan hakiki suatu hari nanti. Moga-moga diizinkan pertemuan yang indah.
Agar pertemuan indah itu sentiasa menjadi obsesiku, maka berubahlah! Bermujahadahlah dan bersusahlah! Bukan berehat-rehat dan berlena berlama-lama.
Allah, bantu aku. Kini aku sendiri. T.T Kini aku sendiri. Tidak punya mereka di sisiku, tiada mentadabbur al Qur'an bersama-sama dan tiada siapa memperingatkan, memujuk untuk sama-sama beramal, memberi solusi terhadap permasalahan dan mengajak berjuang melupakan rehat.
Sakit hilang mereka. Susah untuk adapt dengan suasana baru. Aku ingat dapat membina pulau, namun tambak sedikit pun tidak kelihatan. Lemahnya aku. Layakkah orang seperti ini meminta syurga firdaus?
Meningkat umur lain suasananya, meningkat fasa lain tuntutannya. Nura kena kuat dalam setiap yang dilaluinya, jadikan semuanya seperti apa yang Allah inginkan dari hambaNya, dan apa yang Rasulullah suka ummatnya lakukan. Nura boleh! Hidup kerana Allah, jangan mati kerana manusia. Mereka hanyalah hadiah-hadiah untukmu sepanjang perjalanan ini. Sedangkan redha Allah tujuannya. Seka air mata, angkat kepala dan berjalanlah sehingga Allah telah menetapkan tamat tugasanmu di muka bumi ini.
No comments:
Post a Comment