Tuesday, 21 October 2014

Cinta Allah

Salah satu nama-nama Allah adalah al Wadud ( Yang Maha Mencintai ).
Allah bukan sekadar tempat kita meminta, namun Dia juga tempat kita mengadu dan bercerita.
Ambillah pengajaran dari Rasulullah s.a.w tercinta ketika baginda ditolak dan dilontar bantu di Thaif hanya kerana ingin menyampaikan dakwah;
“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidak berdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku?”
“Ya Allah, kepadamu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah tuhan orang yang ditindas. Engkaulah tuhanku. Kepada siapalah engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai aku? Sekiranya engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatmu sudah cukup buatku. Aku berlinding dengan nur wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan teratur diatas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya(untuk melakukan Kebaikan) dan tiada upaya(untuk meniggalkan kejahatan) kecuali denganMu.”
“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau ridha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau.”
“Hal itu tidak aku risaukan, jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun, rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku menyerahkan diri pada cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan dan menentukan kebaikan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu. Aku senantiasa mohon reda-Mu. Kerana tidak ada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu.”
Marilah kita menghayati kisah seorang wanita yang diceritakan dalam al Quran pula;
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
Allah sangat menyayangi hambaNya ini sehingga kisahnya mengadu dan bercerita pada Allah dinukilkan dalam al-Quran.
Allah sentiasa menjaga aib kita dan tak pernah mendedahkannya walaupun sebenarnya kita terlalu banya melakukan dosa.
Kenapa kita perlu mendedahkanNya.
Bercerita kepada Allah itu sangat best kerana Allah tak pernah jemu mendengar keluhan kita kerana Dia Maha Mendengar dan sangat menyayangi hambaNya. Kerana Allah lah yang paling faham akan kelemahan kita. Bagaimana kita tergamak mengadukanNya kepada manusia lain?
Mujahadah memang susah kerana balasannya syurga. Kita jatuh banyak kali. Tapi apabila kita jatuh, Dia sentiasa ada di sisi, membantu kita mendaki kembali. Kerana Allah itu Maha Pengampun dan sentiasa menerima hambaNya kembali walaupun hambaNya banyak berdosa kepadaNya, Kerana itu, diri ini tak akan pernah berputus asa untuk terus berharap pada keampunanNya dan redhaNya untuk hidup ini.
Dan kerana Allah menyatakan;
Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
Teruslah berusaha untuk menjadi hamba dan khalifahNya yang terbaik kerana dengan itu, walaupun payah dan banyak ujiannya, tapi nikmat yang sangat besar akan dirasai apabila Dia sentiasa menemani perjalanan ini.

Nikmat Allah

Akhir-akhir ini banyak berbicara tentang nikmat. Nikmat Allah yang memang tak terhitung. Diri berasa bahagia, miliki Tuhan yang sangat kaya dengan rahmat-Nya.

Bila dibicarakan tentang nikmat, dahulunya sentiasa menganggap nikmat itu adalah kesenangan-kesenangan yang terpancar jelas di mata manusia. Harta, kekayaan, anak yang banyak, riang gembira dan banyak lagi.

Namun, makin lama diri makin mengenal satu nikmat besar apabila menemui Islam yang sebenar, apabila mula mengenali Allah, apabila menyedari hakikat sebenar keimanan, apabila mula hidup berinteraksi dengan al-quran. Nikmat yang sangat besar apabila Allah menemukan dengan jalan dakwah dan tarbiyah ini. Akhirnya, diri yang mati suatu ketika dahulu mula hidup. Dan akan terus cuba menghidupkan orang lain.

Kenapa tarbiyah memberi kehidupan? Kerana tarbiyahlah yang mendekatkan diri dengan Allah, yang menyebabkan hati yang suatu ketika dahulu kosong walaupun ketika itu sedang menghadap-Nya. Alangkah rugi hidup yang hampir 20 tahun yang disiakan tanpa mengenal tujuan penciptaan manusia dengan sebenar-benarnya iaitu sebagai hamba dan khalifah-Nya.

Menjadi seorang hamba kepada Allah itu juga merupakan nikmat yang terbesar. Mana mungkin seorang hamba itu tidak bahagia apabila Tuhan yang menciptakannya itu telah menetapkan ke atas diriNya sifat Ar-Rahman, Maha Penyayang.

Dengan sifat itu, Allah menurunkan rahmatNya ke atas semua manusia tanpa terkecuali sesiapa pun. Walaupun manusia itu tidak beriman padaNya. Lihatlah sekeliling, langit dan bumi itu penciptaan yang sangat besar. Bagaimana langit dapat berdiri tanpa tiang? Bagaimana air masin dan tawar bertemu tanpa bercampur rasa? Dan macam-macam lagi.

Dan penciptaan manusia itu keajaiban yang sangat besar. Kerana manusia adalah sebaik-baik penciptaan, maka kita lihat setiap dari sel yang membentuk diri ini adalah yang terbaik. Tidak muingkin organ dari haiwan dapat menggantikan organ manusia. Jika kita hayati dengan baik setiap kejadian Allah pada tubuh manusia ini, mesti hati tidak akan berhenti mengagumi dan memuji penciptaanNya. Fasa semasa kita dalam rahim ibu sangatlah kritikal. Pada masa itu, macam-macam abnormality boleh berlaku. Mungkin kita dilahirkan tanpa tangan dan kaki, mungkin kita dilahirkan tanpa penglihatan dan mungkin kita dilahirkan dengan keadaan jantina yang tidak normal. Terlalu banyak kebarangkalian untuk tidak sempurna itu. Namun, Allah telah menjadikan kelahirann  kita dalam keadaan tubuh yang sangat sempurna. Jika kita dapat hayati dengan sebaik-baiknya nikmat itu, mestilah hati akan sentiasa mensyukuri nikmatNya.

Bersyukur. Adakah hanya dengan kata? Hanya dengan mengucapkan alhamdulillah. Tidak, ia lebih dari itu. Apabila hati betul-betul bersyukur, perasaan itu akan terpancar pada perlakuan. Allah sudah beri segala-galanya pada kita, apakah masih susah lagi diri ini untuk menginfakkan seluruh jiwa, tenaga, harta pada jalanNya? Apakah diri tidak ingin menjadi hamba dan khalifahNya yang terbaik apabila Dia sudah memberikan segalanya yang terbaik untuk kita.

Wahai diri, belajarlah untuk bersyukur, belajarlah untuk berkorban, belajarlah untuk bermujahadah sebagai tanda cintamu dan tanda kesyukuranmu terhadap Tuhan yang satu. Dunia hanyalah sementara, akhirat adalah tempat kembali kita. Apakah diri masih ingin terus berehat-rehat lagi. Tugas untuk memakmurkan bumi Allah itu sangat berat dan perjalanan untuk memenangkan agamaNya masih panjang lagi. Adakan diri terus ingin bermain-main, berehat-rehat?

Friday, 10 October 2014

Pengajaran Dari Surah Al-Kauthar

Alhamdulillah, bersyukur sangat kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya diri ini masih bernafas, masih dapat menikmati udara-udara segar milikNya.

Surah al Kauthar sangat memberi pengajaran yang besar. Demi untuk menyampaikan kepada adik-adik tersayang, alhamdulillah dapat mendalami sedikit sebanyak surah ini daripada tafsir fi zilal dan ibnu katsir. Walaupun lain yang disampaikan pada adik-adik, tetapi lain pula yang terkena pada diri.

Surah al kauthar sebagaimana surah ad dhuha dan surah al insyirah, diturunkan oleh Allah kepada kekasihNya untuk memujuk nabi Muhammad yang ketika itu diejek-ejek oleh orang Arab Quraisy kerana tidak memiliki keturunan lelaki. Bagi mereka anak lelaki itu adalah sangat penting kerana mereka akan menyambung  keturunan dan membawa nama mereka sendiri sehingga orang-orang selepas itu tidak akan melupakan mereka.

Allah berfirman;

"Sesungguhnya kami memberikan kepada Engkau (wahai Muhammad) harta yang melimpah ruah."

Al kauthar di dalam surah ini banyak ertinya. Ada hadith yang menyatakan bahawa ia adalah telaga atau anak sungai. Namun ada sesetengah ulama' yang mengatakan bahawa ia adalah nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung. Di dalam tafsir fi zilal, penulis menghuraikan nikmat yang diberikan kepada nabi Muhammad s.a.w iaitu nikmat kenabian dan berhubung dengan Allah, nikmat al Quran yang diturunkan dan nikmat sunnah nabi yang diikuti hingga ke hari ini.

Tetapi kita sendiri tahu al Quran bukan hanya diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w, namun kitab ini diturunkan kepada seluruh umat Islam, iaitu kita sendiri. Jadi kata "Engkau" di situ boleh diganti dengan wahai nura contohnya.

Jadi, jom reflect diri. Allah bagi kita nikmat yang melimpah ruah dan sebenarnya tidak layak pun kita untuk menghitungnya kerana ia sangat banyak.

Jom kita dengar sebahagian dari nikmat-nikmat Allah yang disuarakan oleh beberapa adik comel ini mengenai nikmat.

A: Antara nikmatNya ialah Dia menghadiahkan rakan-rakan sekeliling yang amat menyayangi diri ini.

Ya, ini nikmat yang sangat hebat, yang tak terhitung nilainya, apabila Allah menjadikan rasa cinta sesama manusia itu kerana tanpanya, musnahlah dunia ini. Mungkin tiada langsung bahagia di sini.

B: Nikmat yang saya rasa amat besar adalah nikmat udara itu. Apabila kita terasa sesaknya untuk bernafas, baru kita sedar betapa nikmatnya Allah kurniakan udara yang segar itu.

Adik ini pernah menghidap asthma. Betul, mereka yang pernah merasa kehilangan yang mampu menghargai nikmat tersebut.

C: Nikmat yang paling best apabila Allah mengurniakan ayah dan ummi. Bila berada di samping mereka, hidup dirasakan tenang.

Sungguh tulus mereka, kasih sayang mak ayah memang merupakan antara nikmat terbesar Allah beri pada kita. Tidak dapat dibayangkan hidup tanpa mereka.

D: Nikmat hidup ini merupakan nikmat yang besar Allah beri pada kita. Tanpanya kita tidak dapat merasa nikmat-nikmat lain.

Ye adik, Allah beri kita hidup di hari ini merupakan nikmat yang sangat besar, Allah beri kita bahagia, Allah beri kita segala-galanya dan Allah masih memberi peluang untuk kita terus dekat padaNya dan memohon keampunan dariNya.

E: Nikmat kesenangan merupakan antara nikmat terbesar yang Allah bagi pada saya. Allah menguji saya takat mana yang saya mampu. Allah mudahkan saya belajar, Allah mudahkan saya mendapat biasiswa. Alhamdulillah atas segala nikmat itu.

Kesenangan merupakan nikmat yang jelas dan ketara dilihat oleh manusia.

Dan dalam hati kakaknya, antara nikmat yang besar yang dirasakan apabila Allah memilih hamba yang lemah ini, yang memang tak punya apa-apa ini bertemu dengan jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan mengenal Allah, jalan hamba-hamba yang ingin membantu agama Allah. Jalan ini sangat manis kerana membawa kita mengenal Pencipta Agung, menyebabkan kita mengenal matlamat hidup sebagai hamba dan khalifah Allah dan banyak lagi yang tak terkata.

Tapi kadang-kadang datang pelbagai ujian. Ujian untuk berubah, ujian yang menggoyahkan keyakinan kita pada jalan ini dan banyak lagi.

Dan adik-adik inilah yang dirasakan nikmat yang sangat best, kerana gelagat mereka menggembirakan, penghargaan mereka terhadap kita terlalu besar dan kerana kita tahu merekalah yang boleh menjadi saham-saham kita di akhirat kelak. Moga adik-adik tersayang ini terus melaju dalam jalan dakwah dan tarbiyah.

" Maka dirikanlah solat kepada TuhanMu (dengan ikhlas) dan berkorbanlah "

Selepas betapa banyak nikmat yang Allah bagi, apa yang Allah suruh kita lakukan, 2 perkara:

1. Solatlah iaitu berhubunglah dengan Dia. Solatlah dengan ikhlas, dengan khusyuk. Tinggalkan dunia sementara dan tumpulah hanya padaNya, tempat kita kembali suatu hari nanti

2. Berkorbanlah. Jika di dalam tafsir mengatakan lakukanlah ibadah korban.

Pengorbanan. Erti pengorbanan dihayati pada hari raya aidiladha yang baru lepas ini. Terjumpa satu kata-kata dari Yasmin Mogahed;


Sangat terkesan. Selama hidup 21 tahun ni, baru tahun ini dapat menghayati sedikit pengorbanan Nabi Ibrahim. Hebatnya beliau mampu mengorbankan orang yang tersayang demi Allah yang lebih disayangi. Itulah orang-orang yang faham, yang kenal penciptaNya. Mereka sanggup lakukan apa sahaja semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah.

Tengok apa yang nabi Ibrahim dapat apabila sanggup berkorban segalanya kerana Allah;

"Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia berusaha mengerjakan kebajikan dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus; dan (kerana itulah) Allah menjadikan nabi Ibrahim kesayanganNya."

(4:125)

Allah, kami mahu menjadi kesayanganMu. Maka bantulah diri kami dalam setiap langkah untuk mengislahkan diri. Kerana kami hamba yang lemah, sering terpedaya dengan syaitan dan sering tergelincir dengan nafsu sendiri. Namun, Engkau Pelindung terutama, maka lindungilah kami dari segala perkara dan  syaitan yang membisikkan kejahatan.

Menjadi kesayangan Allah memerlukan pengorbanan. Membuang segala perkara yang memberatkan kita untuk terus melaju dalam jalan dakwah dan tarbiyah merupakan satu pengorbanan. Susah untuk membuang tabiat-tabiat yang sudah sebati dalam diri dan kesayangan-kesayangan yang sudah bertapak di hati. Itulah pengorbanan atau mujahadahnya tapi ingatlah bahawa janji Allah itu adalah syurga, ganjaran yang amat besar dan tak terbayang oleh fikiran.

" Sesungguhnya orang yang membenci kamu, dialah orang yang terputus. "

Terputus keturunan?
Sebenarnya orang-orang seperti Abu Jahal dan kafir-kafir Quraisy yang lain, mereka memiliki anak lelaki. Contohnya Ikrimah bin Abu Jahal, panglima perang yang hebat. Namun, apabila memeluk Islam, Ikrimah sendiri enggan mengaku Abu Jahal sebagai ayahnya. Maka, sebenarnya bukan nabi Muhammad s.a,w yang terputus, merekalah yang terputus.

Nama Rasulullah s.a.w disebut-sebut hingga ke hari ini. Sunnah-sunnahnya sentiasa diamalkan oleh kaum muslimin. Selawat tidak putus-putus dihadiahkan kepadanya. Kaum muslimin cinta akannya.

Terbukti di sini penentu kepada keturunan itu bukanlah dari segi nasab, namun dari segi orang yang terbina disebabkan kita. Alangkah ruginya hidup jika sepanjang perjalanan, kita tidak menyumbang apa pun dalam jalan dakwah dan kita tidak menjadi penyambung tugas para nabi. Kita tak nak rantai dakwah itu terputus disebabkan kita. Kita ingin nama Allah terus diagungkan dan sunnah Rasulullah terus diikuti.

Tapi, hari ini dapat satu berita. Tidak dapat diekspresikan berita gembira atau sedih. Namun, hati terasa sebak. Sebak sangat-sangat.


Rumah didatangi oleh pegawai pejabat agama Islam Lenggong. Mereka ingin meminta kebenaran untuk menamakan jalan baru di mana terdapatnya pejabat agama Islam yang baru menggunakan nama abah.

MasyaAllah, hebatnya abah sehingga apabila dia sudah meninggal dunia pun, jasanya dikenang dan namanya disebut-sebut. Allah, rindunya untuk bertemu abah. Moga Allah temukan kami di syurga.

Ingin menjadi sepertinya. Mungkin ini cara Allah tunjukkan di dunia orang-orang hebat. Namanya sering disebut, ilmunya terus diamalkan. Nak sangat menjadi penyambung risalah yang agung ini. Nak sangat menjadi jundi-jundi Allah yang bakal memenangkan agamaNya.


Belon yang diterbangkan menjadikan simbolik untuk melepaskan segala ikatan yang menghalang kami dari terus melaju. Seronok bila dilakukan bersama.

Moga Allah bimbing kami dan thabatkan hati kami di jalan ini.
Moga Allah ganjarkan kami dengan perkara yang lebih baik dari apa yang dikorbankan.
Saling mendoakan agar kita sama-sama kuat dan agar Allah mempertemukan kita di syurga suatu hari nanti.
Don't underestimate the power of dua :)

Wallahua'lam..

Wednesday, 1 October 2014

Hajar Ibu Ismail

Hajar..

Kisah seorang anak dan ibu yang ditinggalkan sendirian di suatu tempat yang tandus, tiada bekalan air untuk diminum. Dalam pada itu, mengenangkan anaknya yang kehausan, si ibu berlari-lari anak dari safa ke marwa. 

Dikhabarkan apa kisah di sebaliknya, ibu itu hanya berlari berulang-ulang di kawasan yg sama? Ada yg berkata mungkin kerana fatamorgana. Tertipu dengan fatamorgana ibu tersebut berlari-lari ke tempat yang sama.

Namun, di sebalik semua kisah dalam al quran ada sahaja pengajarannya, tiada satu kalam Allah yang sia-sia. Manusia hidup di dunia ada tugasnya, bukan hanya diciptakan untuk dunia, namun terdapat tujuan hidupnya; sebagai khalifah dan hamba Allah. Sungguh, di sebalik kisah Hajar ini ada pengajarannya. 

Lihatlah betapa dahsyatnya dia berusaha, berlari-lari anak antara safa dan marwa sebanyak tujuh kali dalam keadaan bumi yang tandus. Betapa kuatnya seorang ibu yang baru kelahiran bayi ini. Namun, lihatlah Allah tak mensia-siakan usahanya. Allah terus bagi ganjaran, peroleh air yang melimpah ruah hanya di bawah kaki Ismail. Ajaib bukan, tempat itu kini menjadi tumpuan ramai, air itu masih mengalir tanpa henti.

Berdasarkan kisah ini, kita dapat lihat sesuatu ganjaran itu Allah tidak kurniakan percuma sahaja. Mesti ada benda yg dikorbankan, mesti ada peluh yang dikeluarkan, mesti ada harta yg digunakan dan perlu pada jiwa yang kuat untuk bermujahadah dan mengharap pada Allah sebagai satu-satu penolongnya.

Dan kita dapat lihat juga kadang-kadang bila kita sudah penat berusaha, Allah tetap akan kurniakan ganjaran walau dalam keadaan atau di tempat lain. Jadi, kalau rasa putus asa sebab kita dah betul-betul berusaha kadang-kadang sebenarnya Allah nak simpan something untuk kita di akhirat kelak.

“Mahasuci Allah yang menguasai (segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan dia Maha Perkasa Maha Pengampun.”

Menarik surah al-mulk ayat kedua ini, Alah menerangkan yang sememangnya dia tidak ciptakan kita semua sia-sia dan tidak senang hidup di muka bumi ini. Setiap manusia pasti akan diuji tidak kiralah sama ada musibah ataupun berupa kenikmatan. Tidak beriman seseorang itu selagi mana mereka tidak diuji.

Dan sebenarnya sangat best apabila kita rasa yg kehidupan ini adalah satu ujian supaya kita sentiasa hadapinya dengan baik, dengan cara yang Allah inginkan, dengan amalan yang baik. Dan sebenarnya susah semua ini tanpa dipermudahkan oleh Allah. Doa supaya moga  perkataan, perbuatan, pendengaran, percakapan kita dipandu oleh Allah setiap hari sangat diperlukan.

Kalau dulu saya sangat suka ayat ni:

“Dan adapun orang-orang yang takut dengan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari hawa nafsunya. Maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya.”

( an-naziat:40-41 )

Setiap usaha yang dilakukan sangat memerlukan mujahadah. Bukan senang nak mengorbankan sesuatu, bukan senang nak keluar dari hirom dek kesejukan winter, bukan senang untuk menjadi asing dalam keadaan umat yang tenat ini, bukan senang nak mengorban keseronokan dunia untuk keseronokan dan kebahagian akhirat yang lebih kelak kekal abadi.

Bermujahadah itu sangat susah, kerana syurga itu sangat manis. Dan kemanisan sebenar apabila kita dapat bertemu Allah, tuhan yang menciptakan kita, tuhan yang bagi penglihatan pada kita yang akhirnya membuatkan kte dapat melihat warna-warna alam, salji yang cantik, pelangi yang berwarna-warni, kucing comel, yang memberikan kita nikmat ibu dan bapa yang sangat sayang pada kita. 

Bila mengenangkan betapa sayangnya ibu pada kita, maka sesungguhnya Allah sayang kita lebih dari itu kerana Allah lah yang mengurniakan kasih sayang ibu, Allah lah yang bagi kita keluarga sebegitu.

Supaya kita mendapat syurga teringgi itu, syurga firdaus untuk bertemu Allah, banyak benda yang perlu dikorbankan, dunia hanya sementara, akhirat selama-lamanya. Semoga berjaya mencari redha Allah di dunia ini dan selamat kembali kepada Allah dengan jiwa yang sejahtera. Moga kehidupan kita kehidupan mulia, dan mati kita adalah syahid.