Thursday, 21 August 2014

Allah Pilih Aku



Allah pilih Aku..
Aku seorang manusia biasa yang aku rasa tiada kelebihan sedikit pun pada diri ini. Aku seorang penakut, suka bersendirian, aku tak fasih berbahasa inggeris, arab apatah lagi. Kalau di sekolah dulu aku hanya mampu menjadi pelajar yang bagus dari segi akademiknya tetapi tidak aktif pun dalam bersukan dan berpersatuan. Cemburu melihat rakan-rakan yang pandai berbicara, ramah dengan cikgu sehinggakan cikgu sangat sayang pada mereka. 

Suatu hari aku belajar mengenai definisi introvert dan extrovert. Memang selama-lamakah aku akan menjadi introvert ini? Bukanlah introvert ini negative, tetapi aku rasa sangat terasing, dipinggirkan dan rasa tidak berharga pun pada masyarakat. Seorang yang tidak memiliki keyakinan langsung pada diri, tidak pernah menyertai public speaking, bercerita, forum, apatah lagi perbahasan yang memang tidak langsung aku minati. Kadang, aku terasa loser. Suara pun sangat susah didengari orang, sampaikan aku disuruh menguatkan suara berkali-kali jika disuruh baca oleh guru-guru. 

Berurusan dengan masyarakat perkara yang aku paling tidak disukai, walaupun hanya di telefon, aku amat segan, bukan pemalu kata kakak aku, tetapi penakut. Sampai bilakah aku akan jadi begini? Bagaimana mahu berurusan dengan orang lain, mampukah aku menyumbang pada masyarakat? 

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk meneruskan pelajaran di SMKA biasa. Alhamdulillah aku beroleh keputusan cemerlang dalam PMR dan ditawarkan untuk menyambung di SBPI. Pada mulanya, aku sangat seronok untuk meneruskan pelajaran di sana, namun bila memikirkan yang betapa susahnya abah dan mak aku hantar  atau melawat aku di sekolah ini yang sebenarnya senegeri sahaja dengan kampung, apatah lagi ingin menghantar aku ke sekolah yang lebih jauh dan berlainan negeri. Tidak rela aku menyusahkan mereka lebih dari itu. Kalau mereka datang ke sini pun tidak senang hati aku mengenangkan betapa bahayanya dan mahalnya perbelanjaan ke sini, apatah lagi jika jauh dari itu.
Alhamdulillah setelah bersolat istikharah, Allah menguatkan hati ini untuk terus kekal di sini. Aku terus menghubungi abah. 

“ Abah, kami nak terus stay di sini, boleh tak?” jawapan aku kepada abah.


 “ Betul ke? Sayang tak masuk sekolah asrama penuh.”


“ Tak pe je. Tengok la abah, sini pun kami boleh dapat straight A’s insyaAllah.” Abah tidak berkata apa, hanya menuruti permintaan aku. 

Kawan-kawan yang cemerlang mula meninggalkan sekolah. Result pertengahan tahun ditampal di dinding. Hanya aku seorang mendapat straight A’s. Hal ini berterusan hingga ke ujian topikal dan seterusnya. Aku tidak berguna pada mereka, malu untuk berkongsi ilmu dengan mereka. Berjaya sendiri tanpa memperdulikan rakan-rakan. Bukan tidak peduli, namun aku malu untuk berkata-kata, berbincang dan mengajar mereka. Aku perlu kikis sifat pemalu yang terlampau ini. Aku mula memerhatikan bagaimana guru-guru yang aku minati mengajar, kawan-kawan yang hebat berkata-kata membuat pembentangan di dalam kelas dan aku menguasai ilmu dalam kelas itu betul-betul untuk aku ajarkan pada kawan-kawan nanti. 

Alhamdulillah sifat malu dapat diatasi, aku mampu mengadakan kelas tambahan di bilik persediaan asrama, mampu berkata-kata di khalayak ramai, perubahan yang drastik aku rasakan. Aku sangat seronok apabila dapat berkongsi dengan rakan-rakan dan bersama-sama mendapat keputusan peperiksaan yang baik. 

Allah pilih aku,
Berita kematian abah pada malam peperiksaan percubaan itu amat mengejutkan. Abah kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kesedihan tidak mapu ditahan, namun ini adalah ujian.

Petikan buku ‘Di Mana Dia di Hatiku’ tulisan Ustaz Pahrol. 

“Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!


Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..


Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu.”

Mungkin ini tulisan untuk isteri yang kehilangan suaminya. Namun, rangkap-rangkap itu sangat terkesan di jiwaku. Ya, doa anak-anak yang soleh dan solehahlah menjadi bekalan untuk bapaku dan aku ingin menjadi anak yang solehah itu.

Jenazah dah selamat dikebumikan, ramai sangat yang hadir. Arwah memang sangat baik dan menjaga silaturrahim dengan sahabatnya. Moga aku menunaikan hak sebagai anak dan terus menyambung silaturrahim dengan sahabatnya.

Allah pilih aku,
Aku mendapat straight A’s lagi dalam peperiksaan SPM. Terkilan tidak dapat menunjukkan keputusan ini pada abah. Kalau lah abah ada lagi, mesti dia amat berbangga dengan aku. Janji tertunai, moga abah bahagia di sana.

Kini, masa untuk aku memilih kerjaya dalam hidup. Memori terimbau kembali.

“ Akak , nanti aku Form 4, hang nak aku ambik apa?”. Aku bersembang dengan kakak aku sambil melontar kerikil batu ke arah permukaan tasik, dan gelombang terbentuk, cantik.


“ Hang ambik la Science, nanti boleh jadi doctor, kesian Mimi tu nanti bila dah besar macam mana nak sambung rawatan dia kalau dalam keluarga kita takde doktor. Tapi hang kene operate katak la nanti. Gelinya..”


Aku mencuit  lengan kakak aku. “  Eii, gelinya, hang ni suka usik aku. Tapi aku nak ambik akaun, aku minat sangat akaun, siap selalu dapat full mark masa ambik perdagangan dulu. Hebat  tak aku. Nanti kalau aku ambik akaun, boleh kita buka audit firm keluarga. Aku bos, hampa semua jadi pekerja aku, kaya kita nanti. ” Kata-kata ini berakhir dengan gelak tawa kami berdua.

Namun, itu dulu, keadaan sekarang sudah tidak mengizinkan. Aku menanda bidang perubatan timur tengah pada borang biasiswa JPA itu.

Jika dibicarakan mengenai cita-cita, tidak pernah tercetus di benak hatiku untuk menjadi doktor.  Mungkin kerana aku sememangnya suka bersendiri dan jauh sekali ingin bersosial dengan ramai orang, aku tidak menyukai profesion kedoktoran ini.

Terngiang-ngiang pesanan terakhir dari abah. Ketika itu aku bersama akak di dalam kereta, dalam perjalanan menghantar ku balik asrama.

“ Nanti hampa berdua  jagalah adik elok-elok. Dia sakit tu sebenarnya, bukan saja-saja je dia garang dengan hampa. Jagalah adik bila abah dah takde nanti.”

Aku kembali ke realiti. Susah sebenarnya amanah abah ni. Bila difikirkan betul jugak kata abah tu, garang sebab sakit, depression agaknya. Pandai abah aku ni, belajar agama tetapi di rak bukunya buku perubatan pun ada. Hebat sungguh si pencinta ilmu ni, memang role model yang sangat best.
Mana tahu, kan ada ayat Allah,


“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah. Al Baqarah:216)

Mungkin ini terbaik bagiku.

Allah pilih aku,
Aku ditawarkan menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Jordan University of Science and Technology. Walaupun pada mulanya aku menyangka tidak berjaya memperolehnya dan sudah siap sedia pun memasuki Universiti Malaya, PASUM, asasi dalam bidang sains sosial, namun Allah pilih aku untuk menyambung pelajaran di bumi Jordan. Walaupun, pada awalnya mak agak keberatan untuk melepaskan anak yang dicintainya pergi, namun apabila difikirkan masa depan anak ini di dunia dan akhirat, redha juga ibu ini. 

Allah pilih aku,
Allah memilih aku untuk mengenali tarbiyah di bumi Jordan ini. Aku menghadiri program yang membicarakan kembali sejarah umat Islam terdahulu. Sudah hampir dua bulan aku di bumi Jordan ini. Sangkaan aku ingin berubah menjadi lebih baik di sini, namun internet yang laju lebih menarik aku. Aku tersangkut dengan cerita-cerita korea yang sangat melalaikan sampai satu masa aku hanya berhenti untuk solat sahaja, dan terus menyambung menonton cerita itu tanpa henti. 

Aku bayangkan bila datang ke sini, aku akan berubah, bahkan dirasakan makin teruk. Selain usrah, aku hanya belajar sedikit-sedikit dan membuang masa dengan banyak. Culture shock agaknya, di rumah dahulu tidak pernah pun dipasangkan internet, sampaikan isi borang universiti pun di cyber café. 

Namun, hari ini aku merasakan Allah betul-betul memilih aku untuk mendengar segala cerita yang disembunyikan ini. Bagaimana sistem pembelajaran di Malaysia menutup mata kita, orang Islam untuk memandang sejarah ini. Sebenarnya, masyarakat Malaysia kini bukan semakin maju, bahkan lebih mundur dari segi akhlaknya dan sosialnya. 

Dahsyatnya, orang kafir menyerang kita dengan perang-perang pemikiran seperti hiburan, bola sepak dan sebagainya sehingga menyebabkan umat Islam kini lalai dan tidak sedar pun akan kejatuhan Islam dan kesengsaraan saudara seIslam di luar sana. Apakah kita hendak berhibur, sedangkan saudara di Syria dan Palestin sedang berjuang berhabis-habisan. Apakah kita ingin duduk diam apabila mengenangkan yang di akhirat kelak, jika salah seorang budak Palestin itu bertanya, ketika aku sedang berjuang untuk mempertahankan tanah Islam ini, apa yang kau buat. Berhibur? Mengagungkan orang-orang yang menghancurkan Islam? Atau duduk diam sahaja? Gerun bila memikirkan keadaan itu. 

Jika dahulunya Islam bermula dengan seorang, iaitu nabi Muhammad s.a.w sendiri sehingga akhirnya terbinalah qaedah-qaedah sulbah yang kuat dan kental iman dan akidah mereka. Dengan menghantar seorang daripadanya iaitu Mus’ab bin Umair yang mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk menyebarkan dan mengajarkan penduduk Yathrib mengenai Islam, maka terbinalah daulah Islamiyah yang pertama. Ditukarkan nama kepada Madinah al-Munawwarah yang pada ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w sangat aman dan damai sehinggakan hanya beberapa kes zina dan mencuri yang berlaku yang itupun untuk kita mengetahui hukum-hukum hudud yang berkaitan dengannya. 

Suatu masa dulu Islam pernah menakluki dua pertiga dunia, pernah menjadi ustaziatul ‘alam di mana ketika itu Islamlah yang paling berkuasa, menjadi rujukan dan kebanggaan. 

Sehinggalah pada tahun 1924, di saat khalifah digulingkan, ke manakah umat Islam ketika itu? Jika negara-negara Arab sendiri yang melancarkan peperangan terhahadap Turki Uthmaniyah ketika itu, siapa lagi yang akan menegakkan Islam jika kita berperang sesama sendiri? Sehingga kini, Revolusi Arab itu dibanggakan. Lihatlah di wang Jordan dinar, gambar Arab Revolt itu dibangga-banggakan yang kononnya adalah kemerdekakaan mereka. Tidak sedarkah yang kini umat Islam terseksa, dek tiadanya khalifah yang menyatukan seluruh umat Islam? 

“Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”

Aku membina azam, biarlah hari ini menjadi turning point untuk aku berubah. Aku yakin akulah logam itu yang mampu menyumbang untuk Islam tercinta ini jika memahami Islam ini dengan hati. Moga langkah ini sentiasa bersama Allah.

Allah pilih aku,
Aku sampai ke Istanbul yang pernah satu masa dahulu digelar Kota Konstantinople. Cantik negara ini, banyak kelihatan menara-menara masjid mencecah awan. Namun, tidak nampak kesan ketamadunan Islam yang sangat hebat suatu ketika dahulu di negara ini. Aurat tidak dijaga, maksiat berlaku di merata-rata. Manakah Turki Uthmaniyah yang dahulu?

Betapa dahsyatnya penangan sekularism yang dibawa oleh Kamal Atarturk  sehinggakan rakyat-rakyat Turki yang merupakan keturunan Sultan Muhammad al-Fateh dan tenteranya ini, kini sudah tidak nampak keislaman mereka. Aku mula merasa tanggungjawab dan beban dakwah itu di atas bahuku. 

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk menyertai usrah, yang sentiasa mengingatkan aku padaNya. Ahli usrah aku rasakan macam ahli keluarga aku di Jordan ini. Kami saling mengingatkan tentang Allah, saling memberi sokongan dan dorongan, menjadi peneman dan aku sangat cinta mereka dan terutamanya tarbiyyah ini. 

Hidup tidak lagi dirasakan kosong. Manakan tidak, tugas kita sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini sangatlah besar. Pesanan Imam Hasan al Banna,

 “Kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakan masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.”

 Kata-kata seorang ukhti yang disegani menjentik hati. 

“ Matlamat hidup kita adalah sebagai hamba dan khalifah. Bayangkan kalau kita letak matlamat hidup kita untuk menjadi doktor dan sebagainya, dan kalaulah kita mati di pertengahan jalan, maka sia-sialah hidup kita.” 

Kini, aku sedar yang doktor, peperiksaan, harta, pangkat dan segalanya yang berharga di muka bumi ini bukan benda yang patut aku kejar bermati-matian. Namun, segalanya adalah alat yang perlu aku gunakan untuk mencapai matlamat hidup itu. 

Allah pilih aku,
Akademik aku di sini agak stabil dan alhamdulillah aku beroleh anugerah dekan semasa berada di tahun satu. Minat aku letak tepi dan bidang akademik dan pembelajaran ini memang sangat aku minati. Aku sangat suka proses pembelajaran ini dan kemudian mengajar orang lain.

Allah pilih aku bersama dalam batch DOME. Batch yang aku rasakan kuat ikatan ukhwahnya dan tinggi cita-citanya. Kami pernah merancang untuk menjadi doktor muslim bersama-sama dan ingin mendirikan sebuah hospital swasta yang menekankan syariah Islam dan sebagainya. Dan ini aku rasakan tidak mustahil apabila melihat potensi dan semangat rakan-rakan.

Namun, dalam melalui pembelajaran bersama-sama, ada yang kecundang dan ada yang terus berlari. Aku belajar mengenai semangat bekerjasama sebagai sebuah team, bukan menjadikan teman sebagai pesaing. Aku cuba membantu sedaya-upaya, apa yang aku mampu. Namun, aku seorang hamba yang lemah juga, walaupun aku sangat sayang pada rakan-rakan dan ingin meneruskan perjuangan bersama-sama, aku tidak dapat melawan takdir. Ada yang perlu mengulang tahun dan ada yang pulang ke Malaysia. 

Namun, mereka ini kuat, masih meneruskan perjalanan ini bersungguh-sungguh. Moga kita terus berlari dan bersama-sama sampai ke garisan penamat itu dan agar setiap usaha ini dinilai Allah.
Di sini aku belajar mengenai bersyukur dan berkongsi.

" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat."”

(Ibrahim:7)

Kata seorang sahabat,

“Kita bersyukur apabila kita berkongsi dengan orang nikmat dan kelebihan yang kita ada. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan dan jika kelebihan itu kita kongsi bersama, nescaya mereka pula akan membantu top up kan kelemahan kita akan kita suatu hari nanti.”

Kalau kita bersyukur, dan berkongsi dengan orang, Allah janji Allah akan tambahkan lagi, bukan kurangkan. Di sinilah dan dalam batch inilah aku belajar mengenai semangat team ini.

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk mengambil jurusan perubatan ini. Sebuah program yang dianjurkan Majlis Mahasiswa JUST, salah seorang panelnya berkata;

“Tahukan anda semua yang manusia ini berada dalam ego-deficient condition apabila mereka sakit. Masa itulah yang kita boleh membawa mereka pada Allah, mengajak mereka kembali memperhambakan diri pada yang Maha Esa.” 

Aku rasa istimewa. Ya, inilah alat aku, sebagai doktor untuk aku gunakan untuk terus menyebarkan Islam. Moga Allah redha dengan pilihan ini dan sentiasa bersama dalam langkahku. 

Petikan dari syarah hadith 40 Imam An-Nawawi, Hadis 7;
Beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. berkata:

 “Demi Dia yang memegang jiwaku dalam genggamanNya jika kamu mahu akan bersumpah untuk kamu dengan nama Allah: sesungguhnya hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah adalah mereka yang menyebabkan para hamba mencintai Allah dan menyebabkan Allah mencintai para hambaNya dan bergerak di atas muka bumi dengan melaksanakan tugas nasihat ini.”

Allah pilih aku,
Ada kemalangan di hadapan tu, apa aku boleh buat ni. Kelihatan dua badan terjelopok dilumuri darah. Malangnya, tiada satu kereta pun yang berhenti, aku sangat kesal kerana aku tidak mampu tolong apa-apa. 

Teringat lagi cerita dari kawan-kawan abah, ketika kemalangan itu, abah dah tersepit di bawah trailer. Ada sebuah ambulans yang juga berkejar ke tempat lain berhenti seketika dan seorang darinya turun membantu abah mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir. Aku nak balas jasa orang itu dan ingin membantu orang lain pula. Kalau tidak mampu membantu menyelamatkan nyawanya, at least membantunya mengucap pun sudah cukup. 

Minat pada bidang perubatan pun makin bertambah. Ciri-ciri seorang doktor pun makin menyerlah. Alhamdulillah, aku bersyukur pada Allah atas segala nikmat dan mempermudahkan aku di jalan ini. Moga Allah terus kuatkan aku untuk mencapai redhaNya melalui bidang ini.

Allah pilih aku,
Kata-kata sheikhah sebentar tadi menusuk hatiku. Sepanjang kelas tadi bergenang air mata ini. Buat pertama kalinya aku berasa diri ini amat berharga. Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian sehinggakan malaikat pun diarah Allah untuk sujud pada nabi Adam, manusia pertama yang diciptakan.

Aku baru tahu yang Allah sebenarnya sangat sayang pada hamba-hambanya. Jika dahulu aku sering diperingatkan untuk sentiasa takut kepada Allah, namun aku tidak pernah tahu mengenai cinta Allah kepada manusia. Cukuplah asmaul husna dan nikmat-nikmat yang dikurniakan menjadi bukti cinta Allah kepada kita. 


‘Dalam perjalanannya kepada Allah Azza Wa Jalla , qalbu itu bagaikan seekor burung. Cinta adalah kepalanya, takut dan harap adalah dua sayapnya. Bila kepala dan dua sayapnya sihat , tentu burung itu akan baik terbangnya; bila kepalanya terpotong , tentu ia akan mati.’

Sesungguhnya tiada yang lain hanya Allah yang memilih aku untuk memiliki perasaan ini. Allah sangat sayang hamba-hambanya dan rahsia untuk seorang hamba itu mencintai Khaliknya apabila mengetahui betapa Allah cinta pada makhluknya. Moga aku beristiqamah dengannya.

Allah pilih aku,
Allah pilih aku untuk berada di Jordan. Bumi anbiya’, bumi yang pernah dijejaki Rasulullah tercinta, bumi yang pernah dijejaki para sahabat untuk menyebarkan dakwah dan meluaskan jajahan Islam, bumi yang banyak terkandung dalam al-Quran.

Di sinilah tempat di mana gua yang ashabul kahfi tinggal. Dikatakan inilah 7 pemuda yang sangat beriman pada Allah dan kuat akidahnya sehingga mereka lari meninggalkan kekayaan dan keselesaan untuk memelihara akidah mereka.

Di sini jugalah tempat terletaknya laut mati yang dikatakan kawasan kaum nabi Luth diazab dengan dahsyatnya akibat maksiat homoseksual yang dilakukan mereka. Di sini jugalah terdapatnya Petra yang dikatakan tempat kaum Sadam dikenakan azab akibat melanggar perintah Allah.

Di sini jugalah tempat berlakunya dua peperangan besar; perang Yarmouk dan perang Mu’tah. Di sini jugalah terletak makam-makam sahabat yang hebat seperti Muaz bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah, Syurahbil bin Hasanah, Amru bin Abi Waqas, Abdullah bin Rawahah, Jaafar bin Abi Talib dan Zaid bin Harithah.

Di sini bumi kuda-kuda dan tentera-tentera hebat berlari untuk berjihad dan syahid di jalan Allah. Makam-makam sahabat yang dilawati itu sangat berbau harum menandakan yang betapa bahagia mereka di sana. Mereka syahid dalam menyebarkan Islam, kematian itu menandakan selesainya tugas mereka di dunia ini. Allah telah redha dengan segala perbuatan mereka. 

Allah pilih aku untuk meneruskan pelajaran di sini dalam bidang perubatan. Moga semangat para sahabat dahulu aku contohi dan moga aku dapat meneruskan dan menyambung perjuangan itu.


Kenapa aku rasa dipilih Allah?
Kerana perjalanan hidup ini memang diatur Allah dan semua bukan kebetulan. Ramai lagi di luar sana tidak merasai apa yang Allah pilih aku untuk rasa. Moga aku terus dipilih Allah untuk memenangkan Islam di muka bumi ini kerana memang Allah sudah menetapkan yang sejarah akan kembali berulang. Islam pasti akan kembali ke puncak yang tertinggi, namun sama ada aku menjadi salah satu dari yang memenangkannya atau sekadar melihat kemenangan itu, itulah bezanya.
Aku tidak sempurna, walaupun terlalu banyak yang aku ketahui sekarang, aku masih banyak kekurangan. Aku mahu berubah dan moga perjalanan ke arah perubahan ini sentiasa  dalam linkungan pemeliharaan Allah.

Perubahan dan mujahadah itu sememangnya sangat susah kerana syurga itu sangat manis. Namun, aku akan mencuba untuk terus menjadi hamba yang terbaik. Dalam perjalanan, akan banyak rintangan dan ujian yang hikmahnya menjadikan aku lebih baik daripada sebelumnya. Moga redha Allah mengiringi perjalanan ini.

( Sepatutnya cerita ini dikirimkan untuk diterbitkan dalam medicine for soul, tp takde rezeki, jadi post di blog je la ^.^ )

No comments:

Post a Comment