Friday, 10 November 2017

Coretan tentang Thabat

Kerana aku bukan dari keluarga yang aktif dalam gerakan dakwah dan tarbiyah.
Bukan juga dari kalangan mereka yang sejak kecilnya terdedah dengan tarbiyah menerusi sekolah dan program-program.
Bukan juga akhowat yang tinggal di kawasan yang aktif DnT dan sudah tersebar fikrahnya di tempat itu.
Bukan juga lahir dari keluarga yang sangat support atau salim dengan fikrah yang dibawa.
Maka, di sini aku tuliskan agar mereka yang sama situasi seperti aku dapat manfaat daripadanya.

Terdetik hatiku untuk menulis entry ini selepas mendengar luahan murabbiahku di Malaysia. Dia menceritakan situasi yang dilalui oleh pelajar-pelajar oversea yang menerima tarbiyah di sana; cabaran dan masalah yang berlaku apabila mereka pulang ke Malaysia. Dan ramai yang mula menarik diri dari terus bersama gerabak ini walaupun mereka dahulunya merupakan penggerak di kawasan masing-masing.

Jadi, di sini aku ingin berkongsi beberapa tips walaupun aku cukup tidak layak dek sedikitnya amal, tetapi jika itu bermanfaat untuk orang sekeliling, apa salahnya untuk aku coretkan sedikit di sini:

1. Mantapkan Fikrah dan Keyakinan

DnT yang kita sayangkan ini bukan hanya bermain sekitar peng'islah'an diri sendiri dan berseronok di dalam bulatan gembira dan konferens riang, namun ada dasar perjuangan dan fikrah yang dibawanya.

Sewaktu berada di dalam biah DnT yang ideal, ambil lah masa untuk tambahkan ilmu agar dapat mantapkan lagi fikrah yang ada. Baca buku-buku berkaitan dan mula bertanya pada mereka yang di'thiqah'i berkaitan fikrah perjuangan dan Jemaah ini.

Bina diri agar yang berkehendakkan kepada tarbiyah itu adalah diri sendiri dan bukan orang sekeliling seperti murabbi, usrahmates atau housemates. Maka, apabila kita ditinggal bersendirian satu hari nanti, kita akan keluar bukan terperuk, dan kita akan mencari bukan dicari. Kita akan berusaha sebaiknya untuk membina semula biah dulu.

Sudah tentu orang yang faham asas fikrah perjuangan ini tidak akan mudahnya meninggalkannya hanya dengan cabaran dan dugaan kecil. Bahkan, bagi mereka yang kukuh fikrahnya, walau badai besar melanda sekalipun mereka tetap utuh bertahan.

Antara contoh ujian yang bakal dihadapi ialah keluarga yang menghalang untuk kita bergerak aktif, tempat usrah yang jauh, tidak punya masa dan wang seperti dulu, ahli usrah baru yang tidak pernah dikenali dan sehinggalah sekecil-kecil perkara iaitu FUTUR; iman yang lemah.

 



2. Bina Diri, Jaga Mutabaah Amal

Jika akhowat masih lagi berada dalam biah tarbiyah yang ideal itu, maka inilah masa yang terbaik untuk benar-benar jaga tarbiyah dan ruhiyyah diri, biarlah sentiasa berada dalam keadaan yang tertinggi walaupun sesibuk  mana, dan walau tak disemak pun oleh murabbi. Kerana apabila kita sudah terbiasa beramal sebaik mungkin, maka jika futur atau jatuh pun tidaklah di tempat yang paling bawah. Masih dekat dan dapat dicapai tangga-tangga untuk kita mendaki semula.

Walau di Malaysia masa dan kesihatan kita akan terlapang tetapi dek tiada usrah atau bukan di dalam biah solehah yang menjadi kebiasaan, tentu akan terkesan juga dan teruji iman seorang daie itu. Setkan atau letakkan target diri pada yang tertinggi dan biasakan beramal sebaik mungkin, agar apabila futur kita sedar akan kekurangan dan sebaik mungkin bermuhasabah dan menasihatkan diri untuk kembali semula bangun dan berlari.

Sefutur mana pun diri, tetaplah istiqamah dengan bacaan al Qur'an harian dan solat di awal waktu sebaiknya dilakukan berjemaah. Elakkan diri dari terjerumus dengan jahiliyah-jahiliyah yang pernah berjaya dibuang dari bersarang dalam diri. Kembalilah bermujahadah melawan nafsu kerana jika terjebak akan membuatkan kita semakin lambat, makin futur dan makin ingin berjauhan dengan perkara yang mengembalikan kita pada akhirat. Dan tentunya boleh menjadi faktor kita rasa rimas atau berat apabila di'contact' murabbiah baru.



3. Rasa 'Belonging' to Jemaah

Dianalogikan kita sebagai tuan rumah bukan tetamu, maka segala kelemahan dan kerosakan akan dibaiki bukan dirungutkan. Penting sangat untuk seorang akhowat yang ingin thabat punya perasaan ini.

Ketahuilah individu-individu hebat seperti anda sangat diperlukan oleh Jemaah! Kalau tiada tenaga muda yang jelas dengan fikrah dan mantap tarbiyahnya untuk menggantikan posisi pakcik dan makcik di masa hadapan, maka siapa lagi? Walaupun sebenarnya gerabak ini akan terus bergerak tanpa kita, tapi sangat rugilah untuk diri yang tidak langsung menyumbang dan hanya diam memerhatikan.

Apa aplikasinya perasaan ini terhadap akhowat BFG?

Anda tidak hanya menunggu panggilan usrah tetapi berusaha mencari dengan 'contact' akhowat-akhowat yang sama negeri atau kawasan. Anda tidak terus merajuk dek lambatnya di'contact', tetapi terus bertanya paling kurang pun murabbiah lama. Dan usaha 'simple' yang anda boleh lakukan adalah 'contact' Ikram kawasan walaupun hanya melalui facebook. Percayalah, ia sangat berkesan! Walau mungkin bukan di semua kawasan.


 


4. Jangan 'lost contact' dengan Akhowat

Kadang, mungkin ujian atau cabaran yang bakal dilalui waktu BFG sangat berat. Contohnya, keluarga yang sangat-sangat melarang dari meneruskan DnT di Malaysia. Mungkin pada waktu itu kita berasa sangat 'down' dan cemburu dengan rakan-rakan yang dengan mudahnya bergerak di kawasan masing-masing apatah lagi yang punya ibu bapa sefikrah.

Maka, ketika ini sangat penting untuk kita 'mindsetting' yang sebenarnya akhowat-akhowat sangat sayangkan kita dan tak mahu kita berputus asa. Mungkin fasa ini sementara sahaja sementara menunggu panggilan kerja. Manfaatkan peluang sebaiknya untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan eratkan silaturrahim sesama adik-beradik. Bukankah itu satu dakwah?

Dapatkan kekuatan dari akhowat-akhowat tidak kiralah mereka yang dahulunya bersama kita sewaktu di luar negara ataupun akhowat kawasan sendiri. Jangan 'awkward'. Walaupun mungkin baru berkenalan, tetapi mereka masih akhowat sefikrah yang tentunya sangat menyayangi dan menghargai rakan seperjuangan.

Rancanglah strategi walau sedikit seperti memperkenalkan 'parents' dengan akhowat melalui ziarah. Mungkin akan lembut sedikit hati mereka dek tulus dan solehahnya akhowat-akhowat kita!



5. Rapatkan Diri Dengan Murabbiah

Jadi, ini tips untuk yang sudah mula berusrah di Malaysia. Mungkin pada awalnya malu, 'awkward', 'inferior' tetapi semua masalah itu datang dari diri dan mudah untuk ditangani dengan hanya membetulkan 'mindsetting' diri. Percayalah, mereka pun rasa perkara yang sama tetapi once barrier sudah pecah, mungkin ukhuwah yang bakal dibina lebih meriah berbanding sewaktu di oversea.

Ramai akhowat sering mengadukan tentang usrah di Malaysia yang tentunya sedikit berbeza terutama apabila murabbiah dan ahli-ahli usrah terdiri dari kalangan makcik-makcik dan orang yang lebih tua dari kita. Dan kita menjadi yang paling muda! Cuak tak? Jadi, sudah tentu akan berbeza dari segi tenaga, masa dan komitmennya. Mereka kebanyakan sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak bahkan cucu-cucu pun. Tentulah sangat lain dengan murabbiah dulu yang single-mingle, mungkin punya banyak masa ber'muayashah', 'calling-calling', 'pillow talk' bersama, pantau mutabaah amal ketat-ketat dan 'tasyji3' dengan sepenuh hati untuk kita turun berdakwah atau bersungguh dalam medan amal.

Dan perkara inilah yang diadukan oleh murabbiahku apabila akhowat luar negara suka membandingkan murabbi lama dengan makcik-makcik yang akhirnya menjadi penyebab mereka meninggalkan gerabak dakwah ini. Patutkah begitu?

Ketahuilah betapa untungnya kita bermurabbikan mereka; daieyah-daieyah yang Allah telah pilih untuk thabat dan istiqomah hingga ke tua. Cedoklah ilmu-ilmu mereka, ambillah pengajaran dari pengalaman-pengalaman mereka dan manfaatkan sebaik mungkin kehadiran mereka sebagai murabbiah kita untuk meminta nasihat dan menjadi rujukan dalam permasalahan-permasalahn kita.

Kadang-kadang kita takut untuk mulakan, tetapi percayalah walau mesej panjang yang kita hantar berbalas pendek, bahawasanya makcik-makcik sangat okay je dan seronok untuk kita bersembang secara berdepan. Maka, curilah masa bersama mereka! Bergantung kepada kreativiti akhowat, boleh jadi dengan tidur di rumah mereka atau menjadi PA setia menguruskan program-program Ikram kawasan. Tunjukkan kesungguhan untuk belajar dan menyumbang supaya di'thiqah'i dan diberi tugas-tugas baru yang sangat membantu membina diri. Belajarlah bergaul dengan kanak-kanak atau non-muslim; cara berkomunikasi dan berdakwah kepada mereka yang tidak kita peroleh di luar negara misalnya.

 
 

6. Usaha Sebaik Mungkin untuk Commit dalam Wasilah Tarbiyah


Seperti yang dijangkakan, tentunya banyak cabaran ketika di Malaysia untuk akhowat commit dengan wasilah tarbiyah. Jika usrah di oversea hanya di rumah sendiri, mungkin di Malaysia jaraknya boleh jadi setengah ke satu jam untuk ke tempat usrah. Diuji pula dengan rancangan-rancangan keluarga yang sering bertembung dengan program-program DnT.

Waktu seperti ini, tipsnya hanya satu. Jika tidak dapat dielakkan masalah itu, maka okay je untuk minta kebenaran murabbi untuk tidak hadir, tetapi jangan pernah 'create' sendiri alsan-alasan yang boleh je diatasi oleh diri sebenarnya. Once apabila kita sudah memberi kelonggaran pada diri sendiri, maka makin lama makin tidak mengambil berat soal tarbiyah.

Biasalah untuk kita berubah tika mana suasana berubah. Kuatkan diri dan jangan berada di takuk lama. Apabila tarbiyah menuntut untuk kita berkorban sedikit, maka lakukanlah!


7. Carilah Pasangan Sefikrah atau yang paling kurang pun Seseorang yang Menyokong Kita untuk Aktif DnT

Sengaja dimasukkan point ini untuk tulisan kali ini sebab sangat faham je dengan concern-concern akhowat BFG. Maklumlah, baru pulang dari oversea dan tentu ada yang akan mula ditanya-tanya dan dilamar.

Jika anda merasakan DnT ini adalah kehidupan yang tidak boleh ditinggalkan, maka jadilah mereka yang aktif dalam menilai lamaran bukan hanya pasif menerima. Lakukan perbincangan dengan murabbiah dalam soal yang tentunya akan mempengaruhi masa depan DnT anda.

Usahalah! Walau belum pulang ke Malaysia dan dapat ujian seperti ini, usahalah untuk menjadi wanita yang terbaik kerana Allah sudah berjanji, 'wanita yang baik untuk lelaki yang baik'. Kalau yang diimpikan pasangan hidup kita adalah ikhwah yang aktif DnT, takkanlah kita sebaliknya. Jadi, mulai sekarang, layakkan diri anda! Banyakkan berdoa dan buktikan dengan amal kita!



8. Doa! Doa! Doa!

Apabila satu soalan diajukan, 'apa pandangan ukht terhadap DnT?' lama aku terdiam dan muhasabah. Mengimbau semula kenangan apabila mula berkenalan hingga akhirnya ditaklifkan membawa usrah mantiqah luar. Teringat jawapan murabbiah satu ketika dulu, 'DnT itu nyawa bagi ana'. Dan aku pegang hingga sekarang.

DnT adalah nyawa yang menghidupkan diri yang suatu ketika dirasakan mati, membuka mata seluas-luasnya memandang kehidupan yang di sananya kekal abadi, menukar obsesi diri kepada keredhaan Allah dan syurganya, membuatkan diri ingin berjuang melihatkan keadaan ummat yang tenat. Tidak mungkin tarbiyah hidup tanpa dakwah dan dakwah hidup tanpa tarbiyah. Tidak mungkin aku hanya berusrah tanpa ada medan amalnya, atau aku berdakwah tanpa mengikuti manhaj tarbiyah ini.

Maka, hadirkan erti DnT dalam diri anda, hingga boleh menyebabkan anda menangis teresak-esak mohon agar Allah benarkan diri istiqamah dan thabat hingga ke akhir hayat. Kerana Allah yang menentukan masa depan kita, maka tunduk rebahlah mohon agar diampunkan dan dipilih untuk tergolong dalam kader-kader yang memperjuangkan dakwahNya.

Akhir kata, sebagai antara akhowat yang melalui fasa-fasa BFG ini,

"Jangan pernah putus asa! Walau seteruk mana pun kita pernah jatuh, ingatlah harapan masih ada selagi Allah izinkan kita bernyawa. Sungguh, Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat."