Wednesday, 9 November 2016

Tiada Duka Yang Abadi

Sering mengatakan cinta, tapi entah ke mana buktinya. Lidah tidak henti melafazkan kata itu, tapi entah ke mana hati pergi?

Hingga satu ketika, Dia menuntut hati untuk bertumpu kepadaNya, dan menuntut segala anggota untuk turut menunduk. Itulah manusia, itulah insan yang nisyan, sering terlupa dan terlalai. Atau sebenarnya itulah nura, seorang manusia lemah.

Apabila diimbau-imbau semula hidup, ketika kecil, tiada apa yang perlu dirisaukan, semua ada orang yang fikirkan, tiada duka, kesedihan. Namun, sedikit-sedikit kesenangan dunia ditarik, dan akhirnya manusia itu tahu kegembiraan dahulu tidak mungkin dan mustahil akan dicapai lagi melainkan jika Allah anugerahkannya syurga.

Jika ada kesedihan mendatang, kemudian Allah akan hadiahkan kegembiraan. Dan hidup akan terus berputar, kadang di atas, dan kadang kembali semua ke bawah. Berputar, bermacam-macam perasaan, namun biarlah hati hamba ini terus di radar tawakal yang sama, cinta dan kasih yang sama, bukan turun naik. Kerana sungguh hamba ini tidak tahu bila nyawanya akan ditarik.

Pernah tak rasa satu nikmat ditarik?

Dan kini nura diuji lagi. Kembali semula ke zaman dulu kala, waktu sekolah rendah, di mana dia kadang terasa terhina, sangat-sangat merendah diri, tiada confident dan tiada pun yang punya keyakinan bahawa satu hari nanti budak itu akan berjaya, melainkan ibu bapanya. Bahkan guru-guru, rakan sekeliling dan adik beradiknya pun kadang seakan mengejeknya, dan sungguh dia berasa sungguh kerdil dan konfidennya seakan dirobek-robek.

Dan budak itu membesar dan belajar. Dan dia sangat-sangat menghargai kedua ibu bapanya yang tak pernah membuat semangatnya luntur, yang sangat percaya pada dirinya, dan membelanya ketika tiada yang suka.

Dan akhirnya budak itu membesar, dan menjadi seorang yang sangat konfiden.

Mungkin konfiden itu kadang merobek tawakalnya pada Tuhannya, dan kini Tuhan menguji kembali. Diambil sedikit keyakinan, dan diri kembali merasa hina.

Untuk kembali bersujud, meminta dan berharap pada Dia yang satu. Supaya hilang segala sifat yang dibenciNya yang hingga kini ada pada diri.

Allah, kembalikan keyakinan untuk berdiri dan berjalan kembali. Sedikit-sedikit. Ampunkan dosa seorang hamba ini yang lupa diri satu ketika. Ujian sekarang terlalu hebat, jadikan aku orang hebat yang mampu menghadapi semuanya mengikut apa yang Engkau kehendaki.

InsyaAllah duka ini pasti akan berakhir. Tak lama lagi je, bertahan dan ikhlaslah hidup kerana Allah.

Hargai dirimu, wahai Nura. Kerana sungguh Allah telah pun menghargaimu, sejak dia kenalkan dakwah dan tarbiyah itu, maka Dia telah memilihmu. Engkau special nura, jangan jatuh kerana manusia. Hiduplah kerana Allah.

Allah, seronoknya kalau hamba ini mampu mencintaiMu sehingga dia berharap semua yang dilakukan untuk keredhaanMu, bukan untuk syurga dan nerakaMu.