Thursday, 11 August 2016

Maaf

Tika seorang ukhti mengadu betapa susahnya ingin memaafkan. Diimbas-imbas semula kenangan, bagaimana dulu pernah dilukakan dan akhirnya mengalah dan memaafkan. Walaupun diri luarnya dipandang lembut, seolah tiada terluka sedikit pun walau sesiapa yang menyakiti, namun hatinya kadang berbara panas melebihi seseorang yang marahya tampak di luar.

Allah takdirkan itu mujahadah untuk diri ini, yang cukup lemah dalam mengawal perasaan. Dan ingin diceritakan satu kisah diri, moga-moga ada yang peroleh sesuatu.

Perjalanan Ke Alexandria

Akhirnya kami berdua mengambil keputusan untuk bergerak sendiri ke sana. Bosan berkurung di rumah, sedangkan masa kami di Mesir hanya seminggu. Disebabkan rakan-rakan di sana terlalu sibuk beraktiviti, tiada yang berkesempatan untuk melayani dan menguruskan kami.

Dan kami keluar, lalu menadah tangan,

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepadaNya, tiada daya kekuatan melainkan dari Allah"

Kali ini doa itu dengan sepenuh ikhlas dan tunduk kerana memang tiada pergantungan melainkan hanya dariNya. Sungguh, diri takut kerana berada di Negara arab ini tak seperti di eropah. Walau hakikatnya dihuni oleh mejoriti penduduk Islam, namun yang ummat harus terima sekarang, hakikatnya yang mengamalkan nilai-nilai suci Islam itu ramainya di Negara-Negara eropah. Moga Allah ampunkan ummat ini terhadap fitnah yang dicipta.

Setelah menaiki tremco menuju ke Ramsis, kami tiba di tengah-tengah jalan yang sesak. Tanpa malu, kami bertanya orang-orang sekitar cara untuk menuju ke stesen keretapi. Alhamdulillah, Allah temukan kami dengan orang-orang yang terlalu baik dan ingin membantu. Walhal hari sebelumnya, kami sudah beranggapan negative dengan rakyat-rakyat Mesir kerana kedinginannya untuk membantu. Atas rahmat Allah, perjalanan hari ni dimudahkan dan dilancarkan sebaiknya sehingga ke akhirnya.


(Kerana setiap detik perjalanan dan pengembaraan di sana terlalu bermakna, maka akanku asing-asingkan setiap ceritanya, dan hari ini yang ingin diceritakan adalah berdasarkan tuntutan di atas.)

Dikatakan ada satu perpustakaan yang merupakan terbesar di sana. Sepanjang perjalanan tadi, aku berbalas-balas mesej dengan seorang rakan, bertanya arah ke tempat-tempat yang ingin dilewati. Dan salah satu tempat tuju utama, Bibliotheca Alexandrina Egypt.

Kami tiba di pecan... Kata rakanku, perpustakaan itu tidak jauh, hanya perlu terus berjalan sehingga berjumpa. Kami pun mengambil keputusan untuk berjalan yang mana di tepi kiri kami terdampar indah laut Mediteranean. Sambil menghayati pemandangan, kami meneruskan perjalanan walau kadang keletihan dan ketidakpastian turut mengusik hati.

Tiba-tiba hujan turun, kami terus ke masjid berdekatan dan pada masa yang sama azan asar berkumandang. Kami lantas menunaikan solat di situ.

Dan perjalanan diteruskan lagi, akhirnya ternampak sign board yang menunjuk ke arah perpustakaan itu. Sedikit lega aku.

Diringkaskan cerita akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju. Sungguh, aku yakin inilah tempatnya dek lain seni binanya, juga seakan bertepatan dengan namanya.

Dan di situ masalah menimpa.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sakitnya hatiku ketika itu tak dapat diungkap. Aku berjalan sambil memarahi.

"Ishhhh, aku tak sangka ada orang kat dunia macam ni. Orang Islam pulak tu, takde langsung budi pekerti. Tak tau ke akan ada balasan di akhirat nanti. Orang yang beriman dengan hari akhirat takkan bertingkah-laku macam ni la! Dia ni beriman ke tak entah? Patutla orang mesir ni kejam, boleh pulak menyokong as-sisi yang membunuh muslim tu. Dia ni mesti antara orangnya."

Entah mana hilang siumannya, manakan tidak hati tak habis-habis menyumpah orang itu. Sakit hati ini tak mampu diungkap. Syaitan seakan mengusai amarah.

Tiba-tiba seakan dunia terbehenti, teringat satu ayat yang pernah dikongsi seorang ukhti;

".. dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu.." (an-nur:22)


Allah....

Laju air mata mengalir.

Kenapa ayat ini tiba di saat ini? Aku taknak! Sakitnya untuk memaafkan.

Ayat itu diulang-ulang lagi. Seakan membuka ruang sedikit untuk iman menguasai hati.

Nura, itulah hidup seorang mukmin, seorang hamba bertuhankan Allah. Walau sakit, walau perit, dia akan tetap melakukan jika itu arahan dari Tuhan yang dikasihi.

Allah kata,

"Maafkan dan berlapang dada."

Seakan arahan yang bertepatan saat itu. Kenapa Allah tak tegur Nura dengan bersabar je ke berhadapan dengan orang macam tu, tapi terus ke arahan ini. Yang lebih susah, sungguhh. Maafkan dia? Atas pengembaraan susah ni, yang disebabkan dia akhirnya perjalanan jadi tak bererti? Berlapang dada? Melupakan segala? Sedangkan dari tadi aku seakan ingin berdoa agar Allah membalasnya.

Tapi,

"Apakah kamu tidak suka kalau Allah mengampunimu."

Makin deras air mata mengalir.

Allah...

Entah ke mana hambaMu ingin pergi jika bukan di bumiMu? Entah bagaimana hidupnya jika bukan atas rahmatMu?

Entah apa erti hidup singkat ini jika tidak dapat pengampunan dariMu?

Tentu yang diharapkan sangat-sangat adalah pengampunan dariMu. Dengan itu dia akan peroleh kehidupan indah di akhirat yang diharap-harapkannya tiap masa, tiap detik.

Allah, mengapa Engkau bertanya? Sedang Engkau mengetahui.

Terlalu banyak dosa. Dikenang-kenang dirinya yang lampau. Sungguh banyak perintah yang tidak dilaksanakan, batasan-batasan yang dilanggar. Dan dek rahmatMu dan pegampunanMu, engkau hadiahkan aku peluang untuk bertaubat, kembali, dan mengenalMu sedikit demi sedikit, menjadikan obsesiku terhadap akhirat melebihi dunia dan menjadikan hidup ini adalah nilainya, menjadikan aku antara orang istimewa yang mengenal dunia dakwah dan tarbiyah.

Sungguh Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Siapalah hambaMu ini untuk setandingMu. Tapi, sungguh, aku hamba. Kalau itu arahanMu, maka aku akan laksanakan. Kurniakan aku sedikit rahmatMu, untuk aku mengasihi manusia lain sekelilingku.

Sambil mengesat-ngesat air mata, aku terus berjalan pada rakan yang menunggu di hujung sana. Apabila dipastikan muka mampu tersenyum, terus dia menegur rakan yang sedang khusyuk membaca. Lalu dikatakan,

"Jom pergi."

Kelihatan indahnya matahari yang hamper terbenam.

"Jom lintas ke sana, lihat lebih dekat pemandangan matahari terbenam di laut Mediteranean itu."

Aku mereenung jauh. Indah! Tiada langsung cacat cela pada ciptaannya.

Seakan keindahan itu melambangkan kasih sayang Tuhan terhadap hambaNya. Terlalu nikmat, terlalu sayang.

Sambil mengucapkan syukur, aku berbisik di hati,

"Alhamdulillah untuk ujian  ini, untuk tarbiyah ini, yang akhirnya memberi erti besar pada hari, dan pada hidupku."