Akhirnya berpeluang untuk ber'rehlah' bersama mereka.
Mereka yang sangat dirindui perjumpaannya setiap minggu,
Mereka yang menjadi penyeri hidup di sini,
Mereka yang menjadi tempat untuk menghilangkan stress belajar,
Mereka yang dirasakan hadiah sepanjang melalui jalan ini,
Mereka yang ingin sekali dipimpin tangannya ke syurga,
Dan mereka yang sentiasa disayangi kerana Allah.
"Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati-hati mereka (kaum mukminin), seandainya kamu membelanjakan dunia dan seisinya, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah lah yang mempersatukan hati-hati mereka."
(Al Anfal: 63)
Jika dulu, ketika pertama kali bersua, diri amat kekok. Sangat-sangat ganjal untuk berkata-kata, menziarahi mereka, bercakap melalui telefon dan semuanya. Jika diimbau kembali, proses mengenali dan ber'muayashah' bersama mereka merupakan satu tarbiyah besar untuk diri. Tidak pernah terfikir sebelum ini untuk rapat dengan junior sebagaimana rapatnya dengan mereka. Bahkan, dahulu diri teramat sombong walaupun untuk mengucapkan salam dan berkenalan.
Namun, tarbiyah ini mengajar, mengubah diri dari seorang 'aku' kepada 'kami'. Kalau dulu terlalu amat pentingkan diri. Ingin baik seorang diri, ingin dekat dengan Allah sendiri, bangun malam tanpa mempedulikan rakan-rakan lain yang nyenyak tidur. Namun, kini tidak lagi, kebahagiaan dan kenikmatan itu rasa ingin disebarkan kepada dunia. Bahkan Allah lebih mencintai hambaNya yang mencintaiNya dan turut menyebabkan orang lain turut mencintaiNya. Entah apa yang terjadi pada diri jika tidak disentuh oleh tarbiyah ini. Tidak tahu apa yang akan dijawab di akhirat nanti berkenaan tugas khalifah yang tidak terlunas itu.
Pertemuan dengan mereka mentarbiyah diri dari sudut ini. Dari seorang individu yang sangat mementingkan diri kepada seorang murobbi yang tidak henti-henti memikirkan tarbiyah mutarobbinya. Walaupun hingga sekarang masih mencuba untuk melakukan yang terbaik, namun ujian itu sentiasa ada. Bahkan yang lebih teruk itu ujian dalaman, yang sering menghasut untuk meninggalkan mereka.
Alhamdulillah, Allah thabatkan dalam jalan dakwah ini. Allah sentiasa menghantar seseorang untuk menguatkan diri. RahmatNya terlalu luas untuk seorang hamba itu berputus asa. BantuanNya akan sentiasa tiba dan akan terus mengiringi kehidupan jika segala yang dilakukan hanya untuk peroleh redhaNya. Dan akhirnya, mereka telah dewasa, setahun lebih sudah umur tarbiyah mereka. Bagi seorang hamba yang lemah ini yang akhirnya Allah kuatkan juga untuk menerima tanggungjawab itu, perkembangan tarbiyah mereka dilihat seakan hadiah yang sangat besar. Walaupun peroleh murobbi yang memang tak hebat pun, namun usaha mereka sendiri dan sentuhan dari Allah itu sangat ajaib.
Kata mereka seusai menziarahi makam sahabat Rasulullah saw;
" Terkesan dengan kisah Jaafar bin Abi Talib ketika berjuang di Peperangan Mu'tah. Apabila Zaid bin Harithah syahid, disambutnya panji Islam itu dan dia terus meluru ke hadapan melibas kepala musuh-musuh Islam. Tangan kanannya dipotong si kafir, panji disambut oleh tangan kirinya. Ketika tangan kirinya pula dipotong, dipeluk pula panji itu. Dan akhirnya dia syahid apabila musuh membelah dua badannya. Terlalu sakit apabila tangan dipotong, namun Jaafar at-toyyar ini tidak hirau dengan kesakitan itu dan terus dengan perjuangannya menegakkan Islam tercinta. Dibandingkan dengan kita ini, apa sahajalah kesakitan yang dirasa sepanjang melalui jalan ini. Untuk betul-betul menjadi seorang hamba yang dicintaiNya itu, perlu kepada mujahadah, pengorbanan dan kesakitan membuang jahiliyah-jahiliyah diri. Moga Allah kurniakan keteguhan kita sepertinya. "
" Kisah Abu Ubaidah ketika terpaksa membunuh bapanya sendiri di Perang Badar sangat menyentuh hati. Bayangkan betapa besar cintanya pada Allah dibandingkan dengan cinta pada ayahnya. Bahkan, yang dibunuh itu adalah kekafiran ayahnya. Hidup tetap diteruskan dengan perjuangan untuk Islam tanpa meratapi atau menyesali kematian ayahnya. "
" Makam para sahabat ini seharum bau kasturi. Setelah menziarahi sendiri terbuktilah bahawa itu bukan sekadar kata, namun ia adalah benar. Bahkan, kehidupan mereka di kubur itu sudah dapat dirasa kebahagiaannya. Orang sering datang menziarahi dan mendoakan mereka. Jika manusia pun sangat sayang akan mereka, apatah lagi Allah Yang Maha Penyayang itu. Sudah tentu ganjaran mereka lebih besar di akhirat kelak kerana telah sedaya upaya mempejuangkan agama Allah itu. Moga ketakwaan yang mereka miliki terpercik ke kita juga. "
" Bandingkanlah diri kita dengan mereka. Mereka rela berkorban segalanya untuk Islam. Berkorban keluarga, harta benda, kesenangan bahkan sanggup syahid untuk menyebarkan Islam tercinta ini. Apa yang kita korbankan untuk Islam? Sebelum ini, pengorbanan meninggalkan drama korea pun sudah dirasakan besar, tetapi sebenarnya kecil sangat dibandingkan dengan para sahabat. Malu dengan Allah atas kecilnya pengorbanan namun besarnya permintaan. "
" Terkesan dengan kisah kakak kepada Dhirar al-azwar, Khaulah al-azwar yang dengan beraninya berjuang di dalam perang ketika adiknya menjadi tawanan. Perempuan turut menjadi sumber kekuatan umat Islam. Ketika peperangan, mereka yang berada di belakang menyediakan makanan dan sebagainya. Saya nak menjadi penyokong yang setia yang sama-sama membantu perjuangan menegakkan Islam itu semula. "
Terkesan dengan kata-kata mereka. Jika apa yang dikatakan itu terus mengesani dan meresapi ke dalam diri mereka, aku yakin tentu satu hari nanti mereka akan menjadi pejuang-pejuang Islam yang hebat itu. Tentu mereka akan menggunakan seluruh potensi diri untuk Allah dan Islam tercinta ini. Dan tentu mereka akan rela berkorban segalanya di dunia kerana yakin di akhirat sana mereka akan diganjarkan dengan lebih baik dari apa yang dikorbankan.
Perjalanan aku dan mereka masih panjang. Tidak tahu apa yang akan muncul di hadapan. Namun, apabila kami memilih untuk meneruskan jalan ini, tidak mungkin bagi kami lagi untuk berehat-rehat dan berseronok seperti orang lain. Jika rakan sekeliling mampu berehat di hujung minggu, tidur lebih dari 5 jam, mengurangkan tekanan dengan shopping dan menonton movie, maka itu bukanlah kehidupan orang yang serius memikirkan tentang ummat. Kehidupan mungkin tidak akan sama seperti yang lama. Makin susah, makin sesak, makin sempit. Hujung minggu terpaksa diisi dengan daurah, malam kami yang kebanyakan rakan guna untuk study, terpaksa dikorbankan untuk berusrah dan masa-masa lapang yang orang lain gunakan untuk menonton movie dan sebagainya kami gunakan untuk melunaskan tanggungjawab sebagai seorang pelajar itu. Ini baru pengorabanan kecil, apatah lagi pengorbanan orang-orang sebelum ini. Namun, semuanya akan berbayar apabila ketenangan dan kebahagiaan jiwa dirasai dan apabila diri betul-betul yakin dan berharap akan ganjaran Allah bagi hambaNya yang bersungguh-sungguh bekerja untuk Islam. Jalan ini panjang, lambat namun terjamin. Terjamin kehidupan yang bahagia di akhirat kelak.
Wasiat aku untuk mereka;
Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
( As Saff:14 )
Sebagaimana mereka menyahut seruan Allah untuk menjadi pembela agamaNya, maka jika datang kepada adik-adik seruan yang sama, yang memberi peluang untuk kita terus maju dalam dakwah dan tarbiyah, maka sahutlah seruan itu. Gunakan segala potensi diri untuk Islam. Kita akan dapati perjalanan di hadapan yang lebih bahagia dan setiap langkah kita yang bersamaNya kerana segala yang dilakukan dan dikorbankan itu hanya untukNya.
Uhibbukunna fillah :)